Cari jalan terbaik untuk gantikan SRP

Ahmad Fauzi Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemansuhan Skim Rumah Pertamaku (SRP) bermula 1 April 2023 menyebabkan isi rumah di negara ini yang berpendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka dikatakan semakin sukar untuk memiliki kediaman sendiri.

Penganalisis Sosio-Ekonomi Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata kerajaan negeri di seluruh negara dicadangkan agar menggandakan lagi pembinaan skala mega bagi perumahan mampu milik termasuk mereka yang pertama kali ingin memiliki kediaman sendiri.

- Advertisement -

Ini berikutan, pada 22 Mac lalu, Syarikat Cagamas Bhd., yang bertanggungjawab menguruskan skim pembiayaan pemilikan rumah pertamaku telah mengeluarkan satu kenyataan ringkas berhubung dengan pemansuhan SRP pada 1 April ini. 

Penamatan skim berkenaan dikatakan akan menyebabkan proses membeli rumah pertama menjadi sukar apabila pembeli terpaksa membayar deposit 10 peratus daripada harga hartanah.

“SRP mula diperkenalkan pada 2011 bagi membantu pembeli rumah pertama memiliki kediaman tanpa perlu membayar wang pendahuluan terlebih dahulu.  

“Ini termasuk rumah baharu, dalam pembinaan ataupun rumah sedia ada (subsale).

“Penamatan skim itu memerlukan pembeli rumah terpaksa membayar yuran guaman dan duti setem serta 90 peratus daripada harga hartanah,” jelas beliau kepada HarakahDaily.

Ahmad Fauzi turut memberitahu bahawa menerusi pembinaan yang berskala mega seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor malahan di negeri-negeri di bahagian Pantai Timur yang mempunyai pembangunan koridor wilayah, ia dilihat mampu menawarkan skim rumah pertamaku di peringkat negeri.

“Kita lihat, kadang-kala ekonomi masa kini yang sedang giat dipulihkan kemungkinan besar memberi kesan dan impak kepada SRP yang telah lama diperkenalkan di Malaysia. 

“Atas faktor itu, kerajaan perlu mencari jalan terbaik dan membuat kerjasama erat dengan kerajaan negeri supaya dapat membina lebih banyak rumah mampu milik di peringkat negeri,” jelasnya.

Justeru itu, beliau turut berpandangan bahawa selain pembinaan di bandar-bandar setiap negeri ini, mungkin antara lokasi pembinaan juga boleh dilaksanakan di pinggir bandar, bandar satelit yang mempunyai lokasi perniagaan strategik serta berdekatan kawasan perindustrian.

“Menerusi kawasan baharu kediaman di peringkat negeri-negeri, ia boleh membantu persekitaran sosio-ekonomi dapat dipertingkatkan,” katanya.

Tambah beliaui, kebiasaannya skim rumah pertamaku ini di peringkat negeri boleh dijual antara harga RM120,000 hingga RM300,000. 

Sekurang-kurangnya bagi pemohon yang mempunyai pendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000, mereka akan berpeluang membeli kediaman berkenaan.

Dalam perbentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada mengumumkan sebanyak RM389.5 juta disediakan bagi program Perumahan Rakyat dan Program Perumahan Rakyat yang disewa.

Malahan program rumah mesra rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad telah disediakan sebanyak RM358 juta serta pembinaan sebanyak 23,000 unit rumah di bawah projek perumahan awam Malaysia yang menelan kos sebanyak RM463 juta.

Namun demikian, beliau turut mencadangkan supaya para pemaju perumahan dapat menyediakan infrastruktur yang strategik, umpamanya berdekatan dengan jaringan lebuh raya dan jalan utama, akses yang baik ke pusat bandar dan perniagaan serta berdekatan dengan laluan tren seperti MRT, LRT dan komuter. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -