10 kegagalan prinsip dan janji PKR

- Advertisement -

SISWAPAS meneliti ucapan penuh defensif dan terselit unsur provokatif oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia. Kenyataan yang dikeluarkan mereka ternyata usaha terdesak untuk memanjangkan lagi isu yang tidak perlu. 

Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS menegaskan bahawa amalan politik hendaklah berpandukan al-Quran dan Sunnah dalam setiap aspek tindakan kita. Saifuddin Nasution sendiri membawakan contoh yang tidak lengkap semasa menyentuh berkenaan isu politik dan agama. Seharusnya dibawa dengan jelas contoh tindakan dan siapa kumpulan politik yang dikatakan mempolitikkan agama. Maka, tidak menjadi kesalahan bagi Tuan Guru Presiden PAS untuk mengeluarkan kenyataan menegaskan apa kaitan sebenar agama dan politik demi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Retorik air liur itu murah dan mudah. MKM dan PKR boleh menyenaraikan ratusan ucapan dan kalimah kononnya PKR dan Presiden kalian itu membawa imej kononnya menegakkan Islam. Namun apa yang lebih penting adalah aksi dan tindakan.

Hakikatnya aksi dan tindakan kerajaan adalah jauh daripada menepati nilai Islam. Apabila terzahir jelas ciri-ciri tidak menepati janji yang gagal dilunaskan Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan pimpinan Kerajaan Madani termasuk PKR. Antaranya ialah:

i. Janji kononnya tidak ingin memegang jawatan Menteri Kewangan.

ii. Janji kononnya ingin mengumumkan harga telur baharu yang lebih murah.

iii. Janji kononnya ingin melawan rasuah dan kleptokrasi. Akhirnya pemimpin terpalit kes mahkamah dijadikan Timbalan Perdana Menteri.

iv. Permainan politik kotor kepada parti lawan sepertimana tuduhan PN menerima dana daripada industri judi.

v. Janji kononnya ingin membawa reformasi politik. Akhirnya lantikan politik tetap berjalan.

vi. Menteri KDN menggunakan kuasa demi survival politik parti Umno.

vii. Kegagalan menunaikan janji menangani beban kos sara diri rakyat. Walhal, kini sudah pun memasuki bulan ke-4 dalam tempoh pemerintahan.

viii. Kegagalan menunaikan retorik pengeluaran KWSP kepada rakyat yang layak dan memerlukan.

ix. Cengkaman kebebasan bersuara kepada rakyat dan pembangkang. Kritikan dibalas dengan saman dan intimidasi politik.

x. Peruntukan Belanjawan Madani yang tidak menghormati semangat Federalisme.

10 kegagalan menunaikan janji dan prinsip ini hanyalah sebahagian daripada kegagalan parti pemerintah khususnya PKR yang pragmatis. Realiti menunjukkan retorik Malaysia Madani kian dipinggirkan oleh rakyat lantaran jelasnya ketidakseimbangan antara kata-kata yang terpacul dari mulut dengan aksi yang dizahirkan.

Ramadan mulia yang bakal tiba ini menyaksikan rakyat bakal menunaikan ibadah dalam bulan Ramadan dalam situasi cabaran isu kos sara hidup yang masih belum diselesaikan. Maka, ada baiknya kepimpinan MKM bermuhasabah dan berusaha sebaik mungkin menambahbaik kelemahan nyata yang dizahirkan PKR dan Presidennya. Bantulah rakyat dan kurangkan berpolitik.

KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi
Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS) – HARAKAHDAILY 24/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -