Akta AI Kesatuan Eropah bakal kawal dunia?

Akta Kecerdasan Buatan (AI) Kesatuan Eropah (EU) akan mengawal sesiapa sahaja yang menyediakan produk atau perkhidmatan yang menggunakan AI. (FOTO: Human Rights Channel)
- Advertisement -

Dibangunkan sejak tahun 2021, Akta Kecerdasan Buatan (AI) Kesatuan Eropah (EU) bermatlamat untuk membawa ketertiban dan tadbir urus kepada penggunaan teknologi AI, sambil mengubah blok itu menjadi pemain global yang kompetitif di mana AI berkembang.

Namun, apa yang menimbulkan persoalan adalah adakah akta itu menyediakan penyelesaian yang sempurna atau sebaliknya bakal menimbulkan dilema baharu global?

Ini kerana akta tersebut bersifat meluas dan akan mengawal sesiapa sahaja yang menyediakan produk atau perkhidmatan yang menggunakan AI.  

- Advertisement -

Justeru, ia menimbulkan persoalan dan kebimbangan adakah akta itu nanti akan dijadikan senjata politik buat EU untuk mengawal dan mengekang dunia – melalui teknologi AI?

Akta AI dijangka menjadi bahagian penting dalam perundangan EU yang mengawal penggunaan teknologi AI di Eropah yang telah diusahakan selama lebih dua tahun itu.

Di laman webnya, Suruhanjaya Eropah (EC) menampilkan tentang pendiriannya terhadap akta itu bahawa  ‘cara kita mendekati AI akan menentukan dunia yang kita diami pada masa hadapan. Bagi membantu membina Eropah yang berdaya tahan dalam era dekad digital, orang ramai dan perniagaan seharusnya dapat menikmati faedah AI sambil berasa selamat dan dilindungi’.

EC juga menyatakan objektifnya untuk menghasilkan Akta AI agar ‘diterjemahkan ke dalam pendekatan Eropah untuk kecemerlangan dan kepercayaan melalui peraturan dan tindakan konkrit’.

Sehubungan itu, penggubal undang-undang telah mencadangkan agar mengklasifikasikan peralatan AI yang berbeza mengikut tahap risiko yang mereka anggap, daripada rendah kepada tidak boleh diterima. 

Kerajaan dan syarikat yang menggunakan alatan tersebut  akan mempunyai kewajipan yang berbeza, bergantung pada tahap risiko.

Laman web The Future of Life Institute (FLI) yang menerangkan tentang Akta AI EU itu menunjukkan tahap risiko sepertimana: “Pertama, aplikasi dan sistem AI yang mewujudkan risiko yang tidak boleh diterima, seperti pemarkahan sosial yang dikendalikan oleh kerajaan daripada jenis yang digunakan di China adalah diharamkan.

“Kedua, memfokus kepada peralatan AI yang  berisiko tinggi, seperti alat pengimbasan CV yang meletakkan kedudukan pemohon pekerjaan adalah tertakluk kepada keperluan undang-undang khusus.

“Akhir sekali, aplikasi yang tidak diharamkan secara jelas atau disenaraikan sebagai berisiko tinggi sebahagian besarnya dibiarkan tanpa dikawal.”

Akta AI EU antaranya berhasrat untuk mengawal ketelusan kandungan teknologi ‘deepfake; yang kini semakin sukar untuk dikesan. (FOTO: PBS)

Skop Akta AI EU

Akta ini akan mengawal sesiapa  sahaja atau sebarang pihak yang menyediakan produk atau perkhidmatan yang menggunakan AI.

Akta ini juga  akan merangkumi sistem yang boleh menjana output seperti kandungan, ramalan, pengesyoran atau keputusan yang mempengaruhi persekitaran.

Selain daripada penggunaan AI oleh syarikat-syarikat, ia juga akan memantau teknologi AI yang digunakan dalam sektor awam dan penguatkuasaan undang-undang. 

Justeru, ia akan berfungsi seiring dengan undang-undang siber yang lain seperti Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR).

Mereka yang menggunakan sistem AI yang berinteraksi dengan manusia, digunakan untuk tujuan pengawasan, atau boleh digunakan untuk menjana kandungan teknologi ‘deepfake’ agar menghadapi kewajiban ketelusan yang kuat.

Laman web EC mengisytiharkan bahawa Akta AI EU akan membantu blok itu menjadi kompetitif di peringkat antarabangsa dengan cara ‘membolehkan pembangunan dan pengambilan AI di EU; ‘menjadikan EU tempat AI berkembang maju dari makmal ke pasaran’; ‘memastikan AI berfungsi untuk orang ramai dan merupakan kuasa untuk kebaikan dalam masyarakat’; dan ‘membina kepimpinan strategik dalam sektor berimpak tinggi’.”

Kebangkitan teknologi baharu AI, ChatGPT kini memaksa Parlimen Eropah untuk merangka semula perancangan bagi Akta AI EU. (FOTO: Learning.shine)

Apakah yang dianggap ‘berisiko tinggi’?

Sebilangan peralatan AI mungkin dianggap berisiko tinggi, seperti yang digunakan dalam infrastruktur kritikal, penguatkuasaan undang-undang atau pendidikan.

Ia adalah satu tahap di bawah ‘tidak langsung boleh diterima’, dan oleh itu tidak diharamkan secara langsung.

Sebaliknya, mereka yang menggunakan AI berisiko tinggi mungkin akan diwajibkan untuk melengkapkan penilaian risiko yang ketat, mencatat aktiviti mereka dan menyediakan data kepada pihak berkuasa untuk diteliti. Ini berkemungkinan akan meningkatkan kos pematuhan untuk syarikat.

Kebanyakan kategori ‘berisiko tinggi’; yang mana penggunaan AI akan dikawal ketat adalah bidang seperti penguatkuasaan undang-undang, migrasi, infrastruktur, keselamatan produk dan pentadbiran keadilan.

Apakah ‘GPAIS’?

GPAIS (Sistem AI Tujuan Am) ialah kategori yang dicadangkan oleh penggubal undang-undang untuk mengambil kira alatan AI dengan lebih daripada satu aplikasi, misalnya model AI generatif seperti ChatGPT.

Nama ChatGPT itu adalah dibina daripada ‘Chat – Generative Pre-Training Transformer (Pengubah Generatif Pra-Latihan)’, ‘perkakas’ teknologi yang masih dikira agak baharu, yang dibina OpenAI pada Dis tahun lalu.

Platform tersebut dikuasakan dengan ‘bot perbuatan’ (chatbot) AI dan akan menjawab sebarang pertanyaan daripada pengguna.

Akta AI EU dikatakan akan berfungsi seiring dengan undang-undang siber lain seperti GDPR. (FOTO: The ParlimenMagazine.eu)

Berbeza dengan platform enjin carian, yang mana setiap kata kunci yang dicari akan memaparkan ratusan juta atau bilion maklumat dalam satu saat secara bercampur aduk, ChatGPT sebaliknya hanya memaparkan maklumat yang dicari pengguna dan menjawab setiap pertanyaan yang berkaitan dengan soalan pengguna.

Sehubungan itu, penggubal undang-undang sedang membahaskan sama ada semua bentuk GPAIS akan ditetapkan berisiko tinggi, dan apakah maksudnya bagi syarikat teknologi yang ingin menggunakan AI ke dalam produk mereka. 

Draf itu bagaimanapun  tidak menjelaskan kewajipan yang akan dikenakan oleh pengeluar sistem AI.

Artikel terbaru dalam Politico tulisan Gian Volpicelli cuba meneroka kesukaran yang dihadapi penggubal undang-undang di Eropah semasa cuba mengklasifikasikan ChatGPT dan seumpamanya.

“Kebangkitan ChatGPT kini memaksa Parlimen Eropah untuk (merangka semula perancangan mereka untuk memperkenalkan Akta AI EU).

“Pada bulan Februari, penggubal undang-undang utama mengenai Akta AI,  Brando Benifei dan Dragos Tudorache telah mencadangkan bahawa sistem AI yang menjana teks kompleks tanpa pengawasan manusia harus menjadi sebahagian daripada senarai ‘berisiko tinggi’ – usaha untuk menghentikan ChatGPT daripada bergolak keluar maklumat salah pada skala.

“Idea itu disambut dengan keraguan oleh kumpulan politik berhaluan kanan di Parlimen Eropah, dan juga sebahagian daripada kumpulan Liberal Tudorache sendiri,” tulis Volpicelli

Bagaimana jika syarikat melanggar peraturan?

Cadangan itu mengatakan pihak syarikat  yang didapati melanggar Akta AI EU berdepan denda sehingga 30 juta euro atau 6 peratus daripada keuntungan global, yang mana lebih tinggi.

Bagi syarikat seperti Microsoft, yang menyokong pencipta ChatGPT OpenAI, ia boleh dikenakan denda lebih AS$10 bilion jika didapati melanggar peraturan.

Bilakah Akta AI akan dikuatkuasakan?

Walaupun industri menjangkakan Akta AI EU akan diluluskan pada tahun ini, namun tidak ada tarikh akhir yang konkrit. 

Akta tersebut sedang dibincangkan oleh ahli-ahli parlimen, dan selepas mereka mencapai titik persamaan, akan ada trilog antara wakil Parlimen Eropah, EU dan EC.

Selepas terma dimuktamadkan, akan ada tempoh tangguh sekitar dua tahun untuk membolehkan pihak yang terjejas mematuhi peraturan.

Laman web FLI dalam tulisannya telah mencadangkan bahawa semuanya tidak baik dengan Akta AI iaitu: “Terdapat beberapa kelemahan dan pengecualian dalam undang-undang yang dicadangkan.

“Kekurangan ini mengehadkan keupayaan Akta untuk memastikan AI kekal sebagai kuasa untuk kebaikan dalam hidup anda. Pada masa ini, sebagai contoh, pengecaman muka oleh polis diharamkan melainkan imej ditangkap dengan kelewatan atau teknologi itu digunakan untuk mencari kanak-kanak yang hilang.”

FLI juga menegaskan bahawa undang-undang yang dicadangkan tidak mempunyai fleksibiliti untuk perubahan dan pertumbuhan apabila teknologi kecerdasan buatan tidak dapat dielakkan berkembang dan berkembang di luar skop akta berkenazan.

“Jika dalam masa dua tahun aplikasi AI berbahaya digunakan dalam sektor yang tidak dijangka, undang-undang tidak menyediakan mekanisme untuk melabelkannya sebagai ‘berisiko tinggi’,” tulis FLI. – HARAKAHDAILY 24/3/2023

.

- Advertisement -