Menu Rahmah: Peniaga punya susu, Anwar dapat nama

- Advertisement -

ADA pemilik restoran yang terpaksa stop jual hidangan Menu Rahmah? Kenapa? Bukan ke Menu Rahmah ini menyelesaikan masalah?

Kita tidak menafikan usaha kerajaan dan sambutan baik daripada banyak pihak menjadi tarikan umum untuk menikmati hidangan lengkap (mungkin) dengan harga yang murah. Dari sudut ini, kita ok sahaja.

Cumanya, ada beberapa masalah pada Menu Rahmah ini yang mungkin kerajaan boleh ambil tindakan proaktif dalam masa yang sama mengekalkan penjenamaan yang masih dalam keadaan yang diterima baik lagi.

Pertamanya dan sebagai asas, dalam menyelesaikan sebuah masalah, perlu kenal pasti permasalahan sebenar yang berlaku. Barulah tak melangit sangat dan tidak terlampau populis hingga tidak dapat selesaikan masalah yang sebenar. Masalah sebenar kita ialah harga barang. Harga barang semakin hari semakin meningkat sehingga membebankan golongan pertengahan dan rendah.

Jadi apa punca harga barangan asas terus meningkat naik? Kalau perasan, ia bertambah teruk selepas ekonomi mula dibuka pasca COVID-19. 

Masalah yang berlaku berikut merupakan punca harga barangan asas semakin bertambah: 

a. Kesan inflasi di Amerika Syarikat yang semakin teruk. Hasilnya AS meningkatkan kadar faedah Dolar yang menyebabkan kesan rantaian kepada kadar inflasi dunia. Malaysia turut menerima tempias ini.

b. Bekalan rantaian makanan dunia terjejas. Perang Russian Ukraine yang melibatkan negara pengeluar gandum dan baja terbesar dunia telah menjejaskan rantaian makanan global. Hasilnya juga membawa kesan berantai kepada rantaian bekalan makanan dunia.

c. Kebergantungan sektor makanan Malaysia yang amat tinggi kepada barangan import. Contohnya industri ayam yang memerlukan import dedak yang tinggi dari negara luar. Apabila rantaian bekalan makanan ekonomi global terjejas. Ia turut terjejas.

d. Wujudnya kartel yang monopoli ‘supply chain‘. 

e. Kos production barangan yang semakin tinggi dan meningkat akibat pelbagai faktor seperti kekurangan tenaga kerja dan modal insan.

Hasil daripada masalah-masalah ini, barangan mentah seperti ayam, daging, telur dan lain-lain yang menjadi sebahagian makanan asas kita mahal. Akhirnya, secara ‘domino’s effect‘ menjadikan ‘end-product‘nya pun mahal.

Inilah permasalahan tunjang yang boleh membawa kepada ‘poverty‘. Jadi, seterusnya, apa masalah dengan Menu Rahmah ini? RM5.00 sahaja kut?

Berikut merupakan masalah Menu Rahmah:

a. Pelaksanaan Menu Rahmah tidak menyentuh penyelesaian kepada masalah-masalah tunjang dalam kenaikan harga barangan.

b. Menu Rahmah hanya menyentuh permasalahan pada bahagian end-customer sahaja. Untuk masalah seperti barangan mentah, isu kartel monopoli, kos produksi tidak dilihat berusaha untuk menyelesaikan dan tidak dapat disentuh isu-isu tersebut dengan baik.

c. Peniaga terpaksa terbeban menyerap kos demi menyahut inisiatif Menu Rahmah. Beberapa komitmen yang peniaga tetap perlu hadapi meskipun menyediakan Menu Rahmah adalah seperti berikut:

• Kos Sewa Kedai yang tetap tidak turun.
• Harga barangan mentah yang tidak selesai.
• Gaji pekerja-pekerja yang masih perlu dibayar.

Inilah permasalahan besar yang dihadapi oleh peniaga-peniaga sebenarnya dalam menjayakan Menu Rahmah ini. Satu pujian boleh diberikan kepada mereka kerana bersemangat untuk menyahut inisiatif Kerajaan. Namun, sekadar mendaftarkan dan menyuruh mereka menjadi ‘kreatif’ untuk menyediakan sebuah hidangan lengkap dengan harga yang murah bukanlah suatu tindakan yang bernas. 

Hasil daripada tindakan ini, peniaga-peniaga akan terbeban kerana terpaksa menyerap kos untuk hasilkan hidangan yang harga RM5.00. Inilah yang menyebabkan sebahagian daripada peniaga-peniaga terpaksa mengambil langkah sama ada:

a. Berhenti daripada terus menjual hidangan Rahmah dan tidak sustain dengan lama. 

Yalah, harga ayam dan telur mahal, kena bayar sewa kedai, bayar gaji pekerja lagi. Menanggung Menu Rahmah, peniaga terpaksa keluar duit sendiri ataupun tidak mendapat keuntungan yang munasabah.

b. Merendahkan kualiti makanan.

Sekiranya protein daripada ayam segar tidak mampu ditampung oleh peniaga, maka apa lagi inisiatif peniaga bagi melengkapkan hidangan Menu Rahmah selain daripada mengambil bahan-bahan yang lebih rendah kualiti dan murah. Kebimbangan inilah yang dirisaukan oleh orang ramai yang boleh membawa kepada masalah kesihatan.

Jadi, apa peranan kerajaan dalam mengatasi isu-isu di sini? Ada beberapa cadangan:

a. Selesaikan masalah pokok kepada berlakunya peningkatan kos harga barangan seperti dominasi kartel dalam bidang makanan.

b. Kerajaan perlu terlibat aktif dalam pelaksanaan Menu Rahmah dengan memberikan insentif kepada peniaga yang melaksanakan Menu Rahmah seperti  suntikan dana, pengecualian cukai, diskaun sewaan kedai dan lain-lain.

c. Memperkasakan industri makanan untuk pelan jangka masa panjang. Seperti cadangan memperkasakan industri daging negara.

Tidak adil sekiranya permasalahan-permasalahan ini ditutup sebelah mata dengan alasan ‘Mydin dan AEON buat Menu Rahmah, ok sahaja. Makanan best-best’. 

Mereka ini syarikat besar dan sekadar cut bajet sikit untuk sambut naratif kerajaan yang mana juga menguntungkan mereka sebab marketing apalah sangat dibandingkan dengan keuntungan penyewa-penyewa ruang di pasaraya tersebut. Itupun ada kata inisiatif ini akan bertahan dalam 3 bulan sahaja. Namun, nasib berbeza dengan peniaga-peniaga di luar sana yang perlu diutamakan.

Tanpa kita menafikan kebaikan Menu Rahmah dan manfaat yang besar kepada rakyat, adalah tidak bertanggungjawab sekiranya kerajaan mengambil kesempatan terhadap para peniaga yang ikhlas membantu rakyat susah dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini. 

Hakikatnya para peniaga perlu membuat keuntungan dalam perniagaan mereka. Sekiranya keadaan semasa diteruskan, tinggal masa sahaja Menu Rahmah tinggal kenangan dalam arus inflasi yang semakin menggila.

NASEER AHMAD MERICAN
Projek Anak Muda Islam (PAMI) – HARAKAHDAILY 24/3/2023

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1210904862266731/posts/pfbid02NzhFP1JUjUQnoVooMPv9d1VSY7TqK19UuE6fMDtHFXiUFG1bF1QDfktLu9TCFUZ3l/?sfnsn=mo&mibextid=6aamW6

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -