Tidak jimat perbelanjaan, malah lagi meningkat

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menyatakan punca berlakunya peningkatan perbelanjaan kerajaan sehingga 22.4 peratus jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, dalam ucapan Belanjawan 2023 sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering menekankan tentang penjimatan perbelanjaan kerajaan. 

- Advertisement -

“Namun begitu dalam butiran ini (pengurusan am) berlaku peningkatan perbelanjaan sehingga 22.4 peratus jika dibandingkan dengan anggaran tahun sebelumnya.

“Justeru, apakah faktor yang menyebabkan berlaku peningkatan ini?” soal beliau.

Idris berhujah semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ingin kerajaan menjelaskan perincian secara ringkas berkenaan peningkatan tersebut.

“Jika dibandingkan dengan dua butiran sebelumnya, butiran ini iaitu maritim dan udara, menunjukkan peningkatan anggaran perbelanjaan yang sangat tinggi iaitu hampir mencecah kepada 300 peratus,” katanya.

Tambahnya, jika dilihat situasi pada hari ini, dengan penambahan jalan atau lebuh raya, namun masih tetap berlaku kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.

“Apakah pihak kementerian ada menjalankan kajian terperinci untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas selain cadangan menambah atau meluaskan jalan?” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -