Projek ECRL bawa kesan buruk buat penduduk

Dr Halimah ketika turun padang menemui dan mendengar luahan penduduk yang membantah projek ECRL di Taman Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 3 Feb 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil perhatian bahawa jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi tekanan dan kesan yang buruk kepada penduduk di beberapa lokasi di Terengganu, selain Taman Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, beliau telah mendapat banyak aduan daripada penduduk bahawa lori yang berisi tanah tidak ditutup dengan kanvas yang menyebabkan debu tanah berterbangan yang mengakibatkan pencemaran udara.

- Advertisement -

“Isu ini berlaku kepada sebahagian besar kampung terlibat dalam jajaran ECRL seperti di Setiu, Kampung Panchor Merah, Padang Serai dan Bukit Pelong.

“Bahkan aduan telah dibuat berulang kali namun tetap berulang, mohon perhatian pihak kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Shaharizukirnain Abd Kadir mendedahkan kediaman penduduk di beberapa lokasi di Terengganu telah dicemari debu tanah yang diangkut lori-lori yang melalui kawasan jajaran projekECRL di Pantai Timur itu.

Sementara itu, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) turut mencelah perbahasan Ahli Parlimen Setiu berkenaan jajaran ECRL di Pelabuhan Klang. 

Menurutnya, beliau telah menerima memorandum bantahan terhadap cadangan ECRL pada 3 Februari lalu melalui Jawatankuasa Bertindak Taman Sungai Sireh (JKBTSS).

“Mereka (penduduk) tidak ada masalah dengan ECRL, bagus kata mereka tetapi, mereka minta jajaran ECRL janganlah sampai memusnahkan 90 buah rumah milik mereka.

Dr Halimah Ali memperjuangkan nasib warga emas di Taman Sungai Sireh, Pelabuhan yang tertekan kerana tidak diberitahu terlebih dahulu bahawa rumah mereka akan dirobohkan untuk membangunkan projek ECRL.

“Apa yang sedihnya mereka tidak diberi tahu, mereka hanya dengar daripada orang lain dan semak MOT (laman sesawang Menteri Pengangkutan) rupa-rupanya rumah mereka akan dirobohkan.

“Mereka lihat orang (pihak berkenaan) datang ke rumah mereka membuat tanda-tanda, jadi mereka pun tanyalah kenapa (buat tanda-tanda itu)? Rupa-rupanya rumah mereka akan diroboh (sedangkan mereka langsung tidak dimaklumkan),” ujar beliau.

“Mereka ini dah tua, warga emas, dan mereka ini juga bekas pekerja di Pelabuhan Klang,”  katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -