Kelantan punyai hak mesti ditunai Kerajaan Pusat

- Advertisement -

 FIRMAN Allah S.W.T yang bermaksud:

- Advertisement -

“Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang mengingatkan kamu dengannya. Sesungguhnya Allah, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, Lagi Maha Melihat.”

 (An-Nisa’: 58)

Junjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah pada 13 Februari 2023 yang lalu. Tahniah saya ucapkan kepada semua Yang Berhormat yang telah menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu sehingga terbentuknya kerajaan yang baru. Tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat – Yang Berhormat Senator yang baru dilantik.

Musim berpolitik telah pun selesai. Kini tiba masanya kerajaan memberi fokus kepada pentadbiran, pengurusan, pembangunan fizikal, pembangunan insan dan pemulihan ekonomi untuk memakmurkan negara.

Pandemik COVID-19, perubahan iklim ekstrem dengan kejadian bencana luar jangka serta faktor global telah memberi impak ekonomi yang besar kepada rakyat. Rakyat baru mula merangkak untuk keluar dari kemelut ekonomi terpaksa pula menghadapi kos sara hidup yang meningkat dengan ketara.

Kerajaan perlu memahami denyut nadi kehidupan rakyat dan perlu mencari jalan penyelesaian dengan segera.

Soalan saya apakah inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat bagi menstabilkan kos sara hidup lebih-lebih lagi di bulan Ramadan dan musim perayaan yang bakal tiba.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda bertitah supaya kerajaan meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025. Jaraknya tidak sampai 2 tahun lagi. Sebagai sebuah negeri termiskin Kelantan memohon supaya kerajaan memberi tumpuan untuk di salurkan peruntukan-peruntukan pembangunan dengan adil.

Rakyat Kelantan amat berharap limpahan ekonomi dapat dikecapi dengan projek-projek berimpak tinggi yang telah dirancangkan untuk Negeri Kelantan oleh kerajaan yang lalu. Antaranya adalah projek lebuhraya LPT3, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali, Jambatan Palekbang Kota Bharu dan Taman Industri Makanan Halal Pasir Mas. Oleh itu saya ingin bertanya apakah status projek-projek ini sehingga kini.

Tuan Yang Dipertua,

Perpaduan menjadi tajuk hangat selepas Pilihan Raya Umum yang lalu. Saling melabel ‘racist‘ antara satu sama lain. Fenomena tidak sihat ini wajib dihentikan. Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dalam memastikan rakyat hidup harmoni dengan semangat muhibbah. Semangat kenegaraan dengan penerapan nilai-nilai Rukun Negara adalah amat penting untuk menyatukan rakyat berbilang kaum.

Kelantan sebuah negeri yang rakyat bukan Melayunya tidak sampai 4 peratus, namun mereka hidup dengan harmoni, saling menghormati, bercakap menggunakan bahasa yang sama dan bebas melaksanakan amalan agama masing-masing. Jemputlah ke Kelantan untuk melihat sendiri keharmonian antara kaum di sini.

Mengambil contoh Negeri Kelantan, Bahasa telah menyatukan rakyat Kelantan. Rakyat berbangsa Cina, India atau Siam boleh berkomunikasi dengan baik. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa boleh menyatukan rakyat. Jika hasrat kerajaan untuk menjadikan semua rakyat berbangsa Malaysia, apakah usaha-usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menguasai Bahasa Malaysia dan dapat berkomunikasi dalam Bahasa Kebangsaan.

Adakah kerajaan berhasrat untuk mewajibkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa pengantar bagi semua sistem pendidikan Malaysia termasuk sistem pendidikan swasta. Apakah usaha-usaha kerajaan ke arah itu.

Tuan Yang Dipertua,

Falsafah Pendidikan Kebangsaan direncanakan untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada Kepercayaan Kepada Tuhan. 

Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Mengambil kira Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, pendidikan sepatutnya boleh menyatukan semua kaum di Malaysia. Soalan saya apakah cabaran atau halangan dalam sistem pendidikan Malaysia sehingga persoalan perpaduan rakyat ini masih di perkatakan.

Tuan Yang Dipertua,

Train To Dabong menjadi popular selepas wabak COVID-19. Ia menjadi fenomena dan daya tarikan baru para pelancong dalam negeri dan juga luar Kelantan. Gua Ikan, Gua Kris dan Gunong Stong  antara destinasi yang perlu dipopularkan oleh kementerian. Kerajaan perlu mengambil peluang untuk mempromosikan Dabong ke peringkat Antarabangsa lebih -lebih lagi dengan penemuan artifak berusia 1,000-5,000 tahun di Gua Keris Dabong.

Justeru itu saya ingin bertanya apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan kawasan ini sebagai pusat eko pelancongan  yang boleh menjadi tumpuan pelancong luar negara.

Pembangunan Infrastruktur kemudahan awam adalah penting untuk menarik pelancong. Ia boleh merangsang ekonomi dan akan  membuka peluang-peluang kerja kepada penduduk setempat khususnya kepada anak-anak muda.

Tuan Yang Dipertua,

Via Ferrata atau laluan besi adalah merujuk kepada trek khusus untuk aktiviti sukan lasak mendaki, memanjat sambil berpaut pada dinding atau lereng berbatu yang curam dan tinggi di kawasan pergunungan. Via Ferrata di Gua Ikan Dabong ini adalah trek terpanjang dan tertinggi di Semenanjung Malaysia, menjadikan lokasi aktiviti  sukan lasak yang mencabar dan menarik.

Aktiviti sukan lasak seperti mendaki gunung dan larian denai (climbing, hiking and trail run) dengan izin ada peminat tersendiri. Soalan saya adakah Kementerian Belia dan Sukan sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkan sukan ekstrem ini di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa di Dabong.

Aktiviti sukan lasak ini memerlukan khidmat Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Setempat atau lebih dikenali sebagai pengasuh oleh penduduk tempatan. Mereka perlu ada lesen untuk berkhidmat. Pemohon lesen dikehendaki untuk mengikuti Kursus Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Setempat Tahap 2 yang dianjurkan oleh PERHILITAN (Semenanjung Malaysia) dan perlu lulus peperiksaan oleh Kementerian Pelancongan. 

Kursus ini dijalankan selama 17 hari dan pemohon wajib mengikuti semua slot untuk melayakkan mereka memohon lesen. Untuk pengetahuan semua, kursus ini tiada di Kelantan. Inilah yang menjadi keluhan anak-anak muda di sini. Justeru itu bagi menyampaikan hasrat anak-anak muda untuk mempermudahkan mereka berkursus saya memohon pihak kerajaan dapat mempertimbangkan kursus tersebut dibuat di Kelantan khususnya di Dabong.

Soalan saya kepada  Kementerian Pelancongan bagaimana anak-anak muda ini boleh dibantu dan apakah KBS sudah ada pelan tindakan untuk mempopularkan sukan lasak ini yang boleh menarik lebih ramai lagi anak-anak muda menjadi pengasuh (Pemandu Pelancong Alam Semulajadi) sukan lasak ini yang menawarkan pendapatan yang lumayan.

Tan Sri Speaker,

Pengangkutan adalah faktor penting dalam kemajuan sektor pelancongan sesuatu tempat. Stesen Keretapi Dabong adalah stesen yang paling popular. Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan yang telah menyatakan untuk menaiktaraf stesen Dabong dan menambahbaik perkhidmatan kereta api di Kelantan.

Senandung Wau Kereta Api Tanah Melayu dari Kuala Lumpur ke Wakaf Bharu pernah popular di suatu masa dulu, namun perkhidmatan telah dihentikan. Kelantan memohon supaya pihak kementerian mengambil inisiatif mengadakan semula perkhidmatan ini.

Kelantan mengharapkan dengan adanya kemudahan ini, sektor pelancongan di Kelantan khususnya di Dabong akan lebih maju. ‘Sleep to Dabong‘ sebagai tambahan kepada ‘Train to Dabong‘ bakal mempopularkan Kereta Api Tanah Melayu dan menjadi pemangkin kepada ekonomi setempat.

Saya juga berharap pihak kementerian wujudkan sebuah muzium keretapi lama di Dabong ini sebagai tempat dikumpulkan bahan sejarah Keretapi Tanah Melayu. Banjir besar 2014 pernah menyaksikan jambatan rel keretapi terputus di Dabong. Ia menjadi momen yang sukar dilupakan oleh rakyat Kelantan. Abadikanlah detik sejarah kepada Keretapi Tanah Melayu ini untuk tatapan generasi masa depan.

Tuan Yang Dipertua,

Dari Gunong kita ke Pantai,
Selepas mendaki kita berkayak,
Dabong ada gua, Bachok ada Pantai,
Dua, dua perlu peruntukan yang layak.

Bachok sebuah daerah yang mempunyai pantai sepanjang 33 km. Pantai Pulau Nami, Pantai Impian, Pantai Kemayang, Pantai Melawi dan Pantai Aur antara pantai yang popular di Kelantan. Pantainya yang cantik amat berpotensi sebagai lokasi-lokasi rekreasi keluarga dan tarikan pelancong luar. Namun amat dukacita kerana infrastruktur kemudahan awam tidak dibangunkan sebaiknya. Sebagai contoh jalan raya ke lokasi peranginan tersebut sempit dan tidak boleh diakses oleh bas persiaran.

Oleh itu apakah pelan tindakan yang telah dibuat oleh pihak kementerian untuk memajukan kawasan-kawasan ini. Sudah tiba masanya kerajaan melihat rakyat Kelantan sebagai rakyat yang perlu dibantu. Kelantan sebagai sebuah negeri termiskin seharusnya mendapat perhatian istimewa sebagaimana Sabah dan Sarawak. Pembangunan pelancongan sudah pasti akan memberi limpahan pendapatan dan boleh menaikkan taraf ekonomi rakyat Kelantan khususnya Bachok.

Kelantan adalah negeri yang berpotensi dalam sektor pelancongan sama ada alam semulajadi, budaya, ilmu dan juga ibadah. Oleh itu Kelantan amat berharap supaya kerajaan memberi peruntukan yang adil kepada pembangunan sektor ini.

Tuan Yang dipertua,

Paip air di Kelantan tersangat uzur menjadikan peratusan Air Tidak Berhasil NRW tinggi. Setakat ini jumlah penggantian paip uzur jenis simen asbestos AC di Kelantan sepanjang 4,493.79 km yang mewakili 52.84 peratus berbanding keseluruhannya sebanyak 8,504.60 km.

Saya ingin mengetahui apakah tindakan dan langkah kerajaan supaya dapat meningkatkan projek penukaran paip bagi mengatasi Air Tidak Berhasil NRW khususnya di Negeri Kelantan dalam memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan terus kepada rakyat Kelantan.

Tuan Yang Dipertua,

Saya juga ingin menyentuh berkaitan dengan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan yang membabitkan keluasan kira-kira 404 hektar. Pembinaan TAPS juga dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan tertentu daerah lain seperti di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Kuala Krai.

Selain itu, ia juga mampu meningkatkan margin simpanan air di Kelantan sebanyak 20 peratus.  Justeru itu, saya ingin tahu apakah langkah kerajaan dalam menyegerakan pembinaan TAPS ini?

Tuan Yang Dipertua,

Di dalam RMK12 Rolling Plan 2 telah memperuntukkan sebanyak RM226.7 juta untuk Sungai Pengkalan Datu menjadi sumber atau nadi kepada Loji Rawatan Air, LRA Chicha dengan kapasiti asbtraksi air permukaan (surface water) sekitar 10-13 juta liter sehari.

Pada musim kemarau dan peningkatan aras air laut memberi kesan kepada penerobosan air masin terhadap Sungai Pengkalan Datu dan menjejaskan abstraksi air mentah pada muka sauk.

Ianya juga memberi kesan kepada pengguna apabila produksi pengeluaran air terawat melibatkan LRA Chicha hanya mampu mengeluarkan 69 juta liter sehari berbanding 79 juta liter sehari.

Pembinaan low weir @ pintu kawalan air masin (contoh Pintu Kawalan Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu IADA Kemasin) adalah penting bagi menangani isu penerobosan dan menjamin kelestarian pengeluaran air terawat kepada pengguna yang  melibatkan 28,035 akaun pengguna sedia ada yang terkesan gangguan menerima klorida yang tinggi pada air terawat atau air masin laut. Oleh itu saya mohon penjelasan status pembinaan (Low Weir) Pintu Kawalan Air Sungai Pengkalan Datu.

Jika tiada kaedah kawalan, ianya akan terus memberi impak terhadap air sungai khasnya dari sudut kegunaan untuk sumber air mentah dan pertanian.

Oleh itu perancangan untuk menggunakan sumber air sungai sebagai sumber utama untuk bekalan air perlu diberi penekanan manakala sumber air bawah tanah dijadikan sumber alternatif.

Tan Sri Speaker,

Malaysia akan mencapai negara tua pada 2030 iaitu apabila populasi warga emas telah mencapai 15 peratus. Satu laporan kajian kemudahan dan perkhidmatan bagi menepati keperluan warga emas di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), merumuskan 95 peratus warga emas masih mampu menyertai pekerjaan dengan adanya polisi program sesuai dalam persekitaran mesra usia, berbanding lima peratus warga emas yang sebenarnya memerlukan pendekatan kebajikan.

PBB telah menyarankan mengenai perlunya kewujudan bandar dan komuniti yang mesra usia, bagi menyokong penuaan positif, untuk kesejahteraan hidup warga emas dalam pembangunan negara. Elemen penting bandar mesra usia yang mesti diambil kira, iaitu perumahan, pengangkutan, penyertaan sosial, penyertaan sivik dan pekerjaan, komunikasi dan maklumat, komuniti dan perkhidmatan kesihatan, dan juga ruang luar dan rekabentuk bangunan.

Justeru itu kerajaan perlu mengambil kira semua elemen ini dalam merangka pelan tindakan masa hadapan.

Isu kesihatan utama warga emas adalah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, strok, jantung dan buah pinggang. Kita sebolehnya mahu rakyat kita menua dengan sihat, iaitu tua tanpa penyakit kronik, tidak nyanyuk dan dapat menguruskan diri sendiri supaya isu-isu kesihatan serta pengabaian tidak timbul.

Soalan saya, berapa peratus warga emas mempunyai isu kesihatan? Apakah program yang telah dijalankan dan sejauhmana keberkesanan program tersebut dalam memastikan warga emas sihat sehingga ke akhir usia.

Apakah persediaan yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk memastikan warga emas berada dalam persekitaran yang selamat. Sejauh mana akta-akta atau polisi digubal untuk memastikan tiada pengabaian dan keselamatan warga emas terjamin.

Tuan Yang Dipertua,

Izinkan saya membaca sedikit dari surat terbuka yang telah ditulis mewakili sekumpulan Pensyarah Fakulti Perubatan,T20 dari sebuah universiti.

Assalamualaikum YB Dr,

Perkara: Kos Haji tinggi – Golongan T20 dianak-tirikan

Kami ingin meluahkan rasa kecewa dan mohon bantuan YB Dr suarakan dan perjuangkan bagi pihak kami.

Apa yang kami runsingkan dan kecewa adalah berkaitan nasib T20 menjadi semakin tertekan dan tidak mampu berkaitan kos haji yang baru diumumkan semalam iaitu RM30,800+.

Kalangan T20 merasakan kerajaan sekarang menganak tirikan kami dalam segenap hal terutama semasa pembentangan Bajet baru-baru ini.

Apatah lagi dengan pengumuman kenaikan kos haji yang begitu ketara bagi golongan ini.

Kami mohon sangat-sangat agar YB Dr dapat perjuangkan bagi kami. Walaupun kami termasuk golongan T20, tetapi selaku penjawat awam kami mempunyai komitmen yang banyak termasuk bayaran cukai yang tinggi kepada kerajaan, serta komitmen wajib seperti perumahan, kenderaan dan tanggungan keluarga. Tanggungan keluarga T20 melibatkan anak-anak yang belajar di universiti atau kolej juga perlu kami tanggung sendiri.

Wassalam.
PENSYARAH T20

Saya memohon penjelasan dari pihak kementerian, apakah tiada budi bicara untuk mempertimbangkan kos haji bagi golongan T20 sekurang-kurangnya pertimbangkan pendapatan bersih mereka selepas ditolak perbelanjaan komitmen wajib mereka. Jika kos inilah saya rasa ramai yang tidak akan mampu untuk mengerjakan ibadah haji.

Tuan Yang Dipertua,

Rakyat Kelantan akan marah, jika saya tidak menyebut isu ini di Dewan yang mulia ini. Saya tidak mahu mengulangi apa yang sahabat saya YB Sr Hj Apandi bahas semalam, masukkan saja ucapan perbahasannya kepada ucapan saya. Rakyat Kelantan menuntut hak royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian. Oleh itu saya memohon supaya kerajaan memberi keadilan kepada rakyat Kelantan dengan menunaikan hak tersebut.

Untuk makluman Dewan DUN Kelantan sudah menolak Akta Laut dan Wilayah 2012 serta Akta 750 pada 5 November 2015.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan di Dewan yang mulia ini kepada Majlis Daerah Gua Musang dan Majlis Daerah Kuala Krai yang telah dinobatkan sebagai 10 Bandar Paling Bahagia oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Saya memohon supaya kerajaan memberi perhatian dan jawapan kepada soalan-soalan yang telah dinyatakan tadi.

Dengan itu saya menjunjung kasih dan mohon menyokong usul Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Sekian terima kasih.

YB SENATOR DR WAN MARTINA WAN YUSOFF
Ahli Dewan Negara  – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -