KUALA LUMPUR: Kelantan khususnya Kuala Krai menyediakan peluang keemasan buat pelabur untuk membuat pelaburan dalam sektor pelancongan, khususnya kerana ia diyakini menjadi tumpuan ramai sempena Tahun Melawat Malaysia 2025 nanti.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, Kuala Krai terkenal sebagai sebuah tempat yang mempunyai banyak kawasan pelancongan menarik di Kelantan dan Malaysia.
“Fenomena Train to Dabong yang ‘meletup’ (viral) sebelum ini menjadikan kawasan Dabong tumpuan ramai.
“Dalam ucapan belanjawan 2022, Yang Berhormat Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ketika itu Menteri Kewangan telah mencatatkan fenomena tersebut.
“Selain itu, beberapa air terjun seperti Lata Pelangi dan air terjun Jelawang yang tertinggi di Asia Tenggara sering dikunjungi oleh pelancong tempatan dan luar negara. Di Kuala Krai juga terdapat satu-satunya zoo di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Sehubungan itu, saya memohon agar MITI menyatakan usaha yang telah dan akan dibuat khususnya untuk tahun 2023 bagi membantu mengembangkan peluang pelaburan dalam bidang pelancongan di Kelantan khususnya di Kuala Krai,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023