Punca bukan Najib, Rosmah tapi industri hutang negara

Prof Mohd Nazari (kiri) dan Dr Halimah.
- Advertisement -

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dalam sidang Parlimen pada 6 Mac 2023 telah menyentuh berkenaan isu ‘industri hutang’ (bank) negara yang telah yang menyebabkan negara dibelenggu dengan masalah riba.

Beliau yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS kawasan Kapar turut melahirkan rasa bimbang terhadap industri tersebut.

Ini kerana dalam hujahnya, beliau mendapati isu tersebut telah menyebabkan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai mangsa utama tetapi juga terhadap masyarakat bangsa lain, yang terpaksa menghadapi masalah belenggu hutang pada tahap kronik sehingga menyebabkan ‘yang kaya semakin kaya manakala individu miskin makin miskin’.

Justeru persoalannya, adakah industri hutang benar-benar memberikan bahaya yang besar terhadap negara kita?

- Advertisement -

Bagi menjawab persoalan tersebut, ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR  dengan pakar ekonomi Islam bebas, Prof Dr. Mohd Nazari Ismail yang memperkatakan tentang isu bahaya setiap industri hutang dalam negara,

Beliau yang juga merupakan seorang Pensyarah dalam  Fakulti Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Malaya membincangkan isu tersebut berdasarkan pengalamannya yang amat luas dalam melakukan penyelidikan terhadap perkara tersebut.

HarakahDaily: Adakah setiap industri hutang (bank) telah menyebabkan setiap krisis ekonomi terjadi khususnya di Malaysia; dan adakah yang berkonsep Islamik juga tidak terkecuali?

PROF MOHD NAZARI: Apabila kita sebut mengenai krisis ekonomi, ia boleh terjadi kerana beberapa faktor misalnya baru-baru ini, bencana alam seperti banjir. Namun, apabila sebut tentang krisis kewangan, ya memang benar setiap industri hutang merupakan faktor utama menyebabkan setiap krisis kewangan terjadi.

Mengenai bank berkonsep Islamik pula, saya tanya balik… Bank Islam misalnya terlibat dalam industri apa? Industri hutang jugakan? Jadi, ia (bank berkonsep Islamik) juga tidak terkecuali.

Bagaimanakah setiap perbankan boleh menyebabkan kehidupan rakyat semakin merana?

Begini caranya…bila mana-mana bank memberi hutang kepada sesiapa pun, wang tersebut tidak wujud secara fizikal pada asalnya kerana pihak bank hanya membuat catatan hutang tersebut untuk mencipta matawang yang baharu.

Maksudnya, setiap kali bank memberi hutang, ia akan terus mencipta wang yang baharu. Di Malaysia sahaja hampir RM10 billion wang baharu dicipta setiap bulan hasil daripada cara tersebut.

Kesannya, matawang negara kita akan mengalir terlalu banyak sehingga menyebabkan penurunan nilai matawang iaitu inflasi yang akan memberikan kesan amat buruk terhadap rakyat yang berpendapatan rendah seperti RM2,000 ke bawah.

Mana-mana organisasi perniagaan juga tidak terkecuali terkesan daripada inflasi, lebih-lebih lagi yang mempunyai hutang yang banyak, kesannya mereka terpaksa mengurangkan kos melalui pengurangan gaji atau melambatkan kenaikan gaji pekerja.

Impaknya, ia akan memberikan kesengsaraan terhadap setiap rakyat yang berpendapatan rendah lebih-lebih lagi dengan harga barang yang semakin meningkat.

Mengapakah hanya segelintir sahaja ahli parlimen seperti Dr. Halimah Ali dan sesetengah golongan agamawan sahaja membangkitkan isu hutang begara yang dikaitkan dengan riba ini?

Hal ini kerana kebanyakan agamawan mempunyai latar belakang syariah tetapi tidak ada latar belakang ekonomi. Akibatnya, mereka tidak faham bagaimana sistem setiap industri hutang beroperasi memandangkan mereka hanya fokus kepada perjanjian akad sahaja.

Lihat contohnya bank berkonsep Islamik, bila ia membuat akad luarannya seperti menukar jual beli hutang kepada perniagaan satu daripadanya merupakan tawarruk iaitu cara bank memberi hutang tanpa menyebut ia adalah sebenarnya hutang. Langkahnya begini:-

1. Katakan Ikmal nak pinjam dengan saya sebagai bank berkonsep Islamik sebanyak RM10,000, akad saya merupakan saya ingin menjual kelapa sawit kepada Ikmal berharga RM20,000 secara hutang. Bagaimana? Saya beli kelapa sawit daripada mana-mana ejen syarikat kelapa sawit sebanyak katakan RM8,000 tunai dan selepas itu jual balik kepada Ikmal sebanyak RM20,000 secara hutang. Ikmal hanya perlu bayar balik RM20,000 tu dalam tempoh 10 tahun.

2. Dalam proses tersebut, saya aturkan Ikmal jual kelapa sawit ini kepada mana-mana ejen syarikat kelapa sawit dengan harga RM10,000 tunai dan ejen pun beli harga tersebut secara tunai.

3. Selepas itu, Ikmal mesti akan pergi ke bank untuk ambil RM10,000 itu bukan? Maka, duit tunai RM10,000 tunai tu yang Ikmal mahu pinjam dengan bank pun Ikmal dapat manakala bank pulak untung RM10,000 daripada transaksi kelapa sawit tersebut.

Bila lihat dari segi akad sahaja semata-mata, kelihatan transaksi tersebut macam jual beli yang halal tetapi apabila jika diteliti betul-betul proses tersebut, bank tersebut membuat kaedah sedemikian untuk mengadakan hutang!

Dan berapa yang Ikmal berhutang daripada kaedah tersebut tadi tetap RM20,000. Maka, aturan itu sendiri hanyalah kaedah semata-mata. Jadi, sesiapa pun yang akan datang nak meminjam dengan mana-mana cawangan bank berkonsep Islamik juga akan melalui proses yang sama.

Kebanyakan agamawan yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi secara menyeluruh melihat dari segi kontrak tersebut hanya luaran sahaja seolah-olah jual beli yang halal.Tetapi mereka tidak melihat bahagian hutang itu serta kenaikan hutang tersebut hasil daripada sistem tersebut; manakala saya yang mempunyai latar belakang ekonomi secara menyeluruh dapat lihat bahawa ia tetap mencipta hutang dan dapat menghancurkan ekonomi melalui krisis hutang.

Akhirnya, bank berkonsep Islamik juga membuatkan seseorang yang membuat pinjaman akan berhutang melalui akad kelapa sawit tersebut, kadang-kadang dalam bentuk akad lain seperti hartanah, macam-macam barang sebagai helah semata-mata untuk menjual hutang, tiada beza dengan mana-mana industri hutang lain.

Apakah cadangan Prof kepada mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia berkenaan isu sebegini; selain juga pesanan terhadap masyarakat?

Cadangan saya, kerajaan perlu mendidik masyarakat supaya menyedari tentang sistem industri hutang yang ada sekarang akan menyumbang kepada pelbagai masalah pada jangka panjang.

Jadi, kerajaan hendaklah memberi contoh yang baik kerana kalau kerajaan pun suka berhutang macam mana nak suruh masyarakat tak berhutang?

Kerajaan sendiri pun berhutang sampai seratus ribu bilion (Ringgit Malaysia) dan sekarang RM1 trilion sehingga membayar bunga RM46 bilion setahun, jelas ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.

Pemimpin pula inginkan belanja yang besar melalui pengambilan hutang yang banyak kononnya hendak membantu masyarakat tetapi sebenarnya kaedah berhutang dengan lebih banyak hanya akan memberikan kesan buruk kepada generasi akan datang.

Maka, kerajaan perlu mula mendidik masyarakat melalui hanya berbelanja mengikut pendapatan yang sedia ada dan bukannya sebaliknya.

Dengan perkataan lain, apa kerajaan dapat.. itulah yang kerajaan perlu berbelanja dan jangan berhutang lagi walau apa pun (terjadi).

Saya berharap parti PAS memahami pesanan saya mengenai perkara ini kerana jika tidak, masalah krisis kewangan negara tetap tidak akan selesai.

Pesanan untuk setiap masyarakat pula, elakkan berhutang dengan mana-mana industri hutang walau apa pun.

Ini kerana ia akan menyumbang kepada masalah-masalah kewangan yang sedia ada seperti masalah inflasi, masalah kos hidup. Siapa penyumbang kepada masalah-masalah tersebut? Bukannya Najib dan Rosmah semata-mata tetapi industri hutang itu sendiri penyumbangnya!

Dan siapa yang menyumbang kepada industri tersebut adalah orang-orang yang membuat hutang tersebut dan secara tidak langsung menyumbang kepada krisis kewangan yang sedia ada.

Sebagai alternatif, daripada membeli rumah secara hutang maka lebih baik menyewa. Jika menyewa rumah di kawasan baru memang lebih mahal tetapi menyewa di kawasan perumahan yang lama jauh lebih murah daripada membeli.

Untuk kereta pula, ada sahaja kereta yang harga lebih murah seperti kereta terpakai tetapi kena betul betul pandai mencari. Sesiapa yang mendakwa kononnya tidak mampu nak membeli kereta sebagai alasan untuk berhutang, sebenarnya hanya inginkan kereta mewah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk.

Sebaik-baiknya simpan duit untuk kegunaan bagi pembelian, kerana jika berhutang untuk membeli jelas menunjukkan bahawa seseorang itu tidak mempunyai kemampuan untuk berbelanja.

Soalan terakhir untuk Prof., benarkah telahan bahawa mana-mana industri hutang tidak suka terhadap pelanggan yang sentiasa bayar hutang kad kredit tanpa gagal walau apa pun dan orang sebegini digelar ‘pelanggan tak berguna’ (deadbeat customer)?

Itu memang (fakta) betul kerana saya sendiri juga guna kad kredit untuk keperluan. Satu daripadanya merupakan untuk kegunaan ketika merantau ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan negara tersebut amat menekankan keselamatan kewangan sehinggakan mana-mana transaksi memerlukan maklumat pembeli-pembeli yang hanya boleh dijejak melalui kad kredit.

Namun, saya tidak berhutang dengan mana-mana bank memandangkan saya sentiasa bayar lebih walau apa pun.

Senarionya begini, setiap kali sebelum saya belanja, saya akan letak RM5,000 dalam kad kredit saya; dan saya akan belanja dalam anggaran antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja.

Kesannya, bank bukan sekadar tidak mendapat apa apa keuntungan daripada saya malah mereka pulak hutang dengan saya memandangkan saya hanya guna kredit kad sebagai debit kad sahaja.

Berbeza pula dengan pengguna kad kredit jenis ‘revolver‘ iaitu yang jenis tidak mampu bayar setiap bulan. Ini merupakan pelanggan yang mana-mana bank dapat keuntungan kerana orang sebegini yang tidak dapat bayar tepat pada masanya akan dikenakan kadar bayaran bunga yang tinggi.

Jadi, sesiapa yang ingin menggunakan kad kredit untuk perkara-perkara yang perlu termasuklah merantau luar negara, gunakan kad kredit sebagai kad debit sahaja dan bukan sebagai sumber hutang walau apa pun.

Ia adalah supaya anda semua tidak terperangkap dengan bayaran kadar faedah memandangkan kadar faedah kad kredit lagi tinggi daripada hutang rumah. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -