Menteri Pendidikan sibukkah waktu ini?

- Advertisement -

SAYA mengikuti rengekan Menteri Pendidikan dalam Kongres PKR yang meluahkan keletihan berdepan semak imbang pembangkang di Parlimen. Meluah rengekan dalam Kongres PKR, kononnya lebih memahami berbanding pembangkang yang hanya tahu mengkritik.

Rengekan yang pada saya menghilangkan rasa hormat kepada watak guru yang dibawa. Terlalu kebudak-budakan dan tidak boleh ditegur-ajar, apa lagi sukar menerima hakikat fungsi Parlimen sebagai ruang penambahbaikan termasuk semak imbang pembangkang.

Hari ini tular pula surat jemputan kepada pelajar Semester 2, Tingkatan 6 di beberapa sekolah sekitar Baling, Kedah anjuran bersama JKOM dan Pejabat Pendidikan Daerah Baling. Mewah dan leluasa menggunakan kuasa demi kepentingan politik kawalan JKOM.

Atas profesionalisme pengamal undang-undang anutan Menteri Pendidikan, perkara-perkara sebegini tidak seharusnya dijadikan amalan atau barangkali menteri terlalu sibuk sehingga terlepas pandang.

Inilah sebahagian fungsi pembangkang sebagai semak imbang kalau-kalau menteri terlupa JKOM masuk sekolah kempen politik kepartian. Kami hanya ingatkan atau kalau boleh jemput kami sekali masuk sekolah, kerana sekolah bukan milik PKR, PAN, BN dan DAP.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
29 Syaaban 1444 / 22 Mac 2023  – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -