Serap semula PPP yang diberhentikan

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar menyerap semula Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang ditamatkan kontrak baru-baru ini.

Bakri Jamaluddin (PN- Tangga Batu) berkata, kumpulan tersebut adalah dari lepasan kolej swasta yang diambil bekerja semasa negara dilanda Pendemik Covid-19.

- Advertisement -

Menurut beliau, dari jumlah 904 orang PPP lantikan dari kolej swasta ini, seramai 99 orang telah pun ditamatkan berdasarkan tempoh kontrak sehingga hari ini dan 805 lagi akan ditamatkan secara berperingkat dalam tahun 2023.

“Ada dari kalangan mereka terpaksa meletak jawatan di institusi mereka bekerja, dan mula bertugas di KKM dengan penempatan di seluruh negara. 

“Begitulah pengorbanan mereka, meninggalkan kerja tetap dan gaji yang tinggi serta meninggalkan keluarga untuk dimobilisasikan ke Sabah, Sarawak dan seluruh negara. Terdapat keperluan mendesak untuk pengambilan tenaga kerja baharu pada waktu itu,” hujahnya semasa perbahasan di Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam.

Tambah Bakri, kumpulan ini diambil pada masa itu khusus untuk mendepani wabak Covid-19 memandangkan ramai kakitangan sedia ada pada masa itu yang tidak ‘fit’ (‘sesuai’) untuk bertugas di zon merah.

Bakri turut merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan pada 10 Mac lalu  yang disiarkan di media-media massa bahawa negara memerlukan sekitar 44,804 orang Penolong Pegawai Perubatan menjelang tahun 2025, sedangkan bilangan PPP ketika ini hanya 23,329 orang sahaja. 

“Negara memerlukan sebanyak 20,945 lagi bagi memenuhi keperluan negara menjelang tahun 2025. Ini menunjukkan negara menghadapi kekurangan PPP di tahap kritikal.

“Dengan kekuatan anggota sedia ada pun kita masih tidak mempunyai sumber manusia yang cukup, negara masih berhadapan dengan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan kekurangan anggota di fasiliti hospital kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut meminta agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil kira situasi mereka yang akan berhadapan dengan bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

“Di kala rakan setugas lain sibuk memikir persiapan menjelang Ramadan, membuat kira-kira pembelanjaan di Hari Raya, berbeza pula dengan adik-adik PPP kontrak swasta ini yang tengah berfikir akan nasib mereka yang tidak terbela.

“Tatkala orang lain sedang lapang, mereka sibuk mencari kerja. Apalah nasib mereka apabila Syawal menjelang nanti?” katanya. HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -