Titah Sultan Kedah disambut baik

Mohd Azam Abdul Samat
- Advertisement -

ALOR SETAR: Saranan Tuanku Sultan Kedah dalam Titah Ucapan baginda agar dasar dan polisi fiskal serta undang-undang telah lapuk dikaji dan diteliti semula disambut baik.

Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) berkata, perkara itu bersesuaian dengan tuntutan kerajaan negeri terhadap bayaran royalti terhadap kerajaan persekutuan termasuk pajakan Pulau Pinang. 

- Advertisement -

“Kali terakhir Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) pemberian kerajaan persekutuan kepada negeri dibawah Fasal (1)(a) Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan dipinda, 20 tahun lalu.

“Oleh itu cadangan Tuanku Sultan Kedah agar dasar dan polisi fiskal itu dikaji semua amat tepat berdasar keperluan masa kini,”  katanya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. 

Menurut  Azam, ketika ini, pembayaran royalti pajakan Pulau Pinang hanya RM10,010,000 manakala pemberian khas kerajaan persekutuan kepada Kedah RM100 juta sahaja.

Sedangkan tambah beliau, seluas 130 ekar tanah pertanian (sawah padi) terpaksa dikorbankan Kedah sebagai jelapang padi menyumbang beras negara. 

Dalam masa yang sama, Kedah juga tidak boleh membangunkan kawasan hutan dan sungai-sungai kerana perlu dijadikan kawasan tadahan air selain untuk menjaga keseimbangan alam sekitar.

“Kedah hilang hasil kerana tidak dapat memajukan kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Beliau juga berkata, tuntutan Lembaga Sumber Air Kedah (LSANK) sebanyak RM50 juta setahun terhadap Pulau Pinang juga amat munasabah.

“Tuntutan itu bertepatan memandangkan Pulau Pinang menjana keuntungan daripada sumber air yang diambil dari Kedah. 

“Jumlah RM50 juta setahun itu tidaklah merugikan mereka (Pulau Pinang) sedangkan mereka memperolehi keuntungan tinggi daripada sumber air berkenaan,” katranyai. 

Sementara antara perkara lain yang disentuh beliau termasuklah isu pesawah padi, nelayan, lesen bot dan Projek Tebatan Banjir (RTB) di daerah Yan. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -