Konsep baharu KXP Kedah Aerotropolis tak gugat PIA

Kendali kargo dan perkhidmatan MRO serta kawasan industri dan komersial

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah sangat mengambil maklum bantahan yang disuarakan berkenaan ganggu-gugat ke atas kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) ekoran rancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehubungan itu rancangan pembinaan KXP telah diubah kepada model baharu dan dinamakan sebagai Kedah Aerotropolis melibatkan sama pembangunan kawasan setempat.

Jelas beliau, konsep baharu KXP akan menumpukan kepada kargo bersama perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO) kapal terbang dengan penglibatan para pemain industri tersebut serta kemudahan berkaitan.

Juga katanya, diintegrasikan pengurusan dengan kawasan industri dan kawasan komersial baharu yang bererti sama sekali tidak menyaingi PIA, sebaliknya KXP menjadi pelengkap dan memenuhi keperluan terutama bagi rantau ini.

“Pakar-pakar kapal terbang kata untuk single runway macam Lapangan Terbang Bayan Lepas maksimum dia boleh menguruskan dalam setahun 12 juta (penumpang). Sekarang ni PIA uruskan 6.5 juta dan sedang meningkat kepada 7 juta.

“Unjuran (dari) beberapa agensi berkaitan penerbangan contohnya, IATA yang kata menjelang tahun 2028 di Utara Semenanjung ni pengguna atau penumpang pesawat udara akan meningkat kepada 20 juta. 

“(Dengan kapasiti) 20 juta ni tentulah Lapangan Terbang Bayan Lepas tak mampu nak penuhi, sebab dia single runway. Dia kena ada double runway baru boleh sampai 20 juta.

“Pulau Pinang takkan mampu buat double runway kerana kawasan sekitar lapangan terbang itu dia sangat terhad dengan bangunan, kilang dan kalau nak buat nak reclaim tanah laut itu terpulanglah,” ujar beliau.

Beritahunya lagi, ketika rancangan Kedah Aerotropolis telah jauh ke depan, ada negeri-negeri lain juga cuba membangunkan konsep sama antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor di negeri masing-masing, sekali gus mewujudkan saingan.

Tetapi Kedah Aerotropolis menurut Sanusi, sehingga November tahun lalu telah membina hubungan dengan banyak syarikat luar termasuk sekolah penerbangan antarabangsa terkenal, L3Harris termasuk mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU).

“Banyak lagi syarikat-syarikat kargo yang bersedia untuk mengguna pakai KXP sebagai cargo-hub mereka. Dan kita telah bincang syarikat yang mengendalikan hab kargo di China untuk buka cawangan dia di KXP. 

“Di mana syarikat ini sedang menguruskan tiap-tiap tahun 650,000 tan muatan kargo. Jadi benda-benda ni semua memberi kelebihan dan kekuatan kepada Kedah Aerotropolis untuk dilaksanakan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -