MB Sanusi sangkal dakwaan palsu PM Anwar

Kertas projek KXP telah dibentang kepada Kerajaan Pusat dan agensi berkaitan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bukan cadangan baru, tetapi projek yang telah lama dirancang oleh makmal khas bersama agensi-agensi di Kedah termasuk para pakar dan institusi pengajian tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan demikian sebagai reaksi balas kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa projek itu tidak pernah dikemukakan untuk penelitian Kerajaan Pusat.

Jelas Sanusi, KXP dicadangkan sejak tahun 2013 bersama beberapa projek berimpak tinggi ke arah meningkatkan lagi kedudukan ekonomi negeri Kedah antara lainnya adalah Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam.

Juga Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, juga Special Border Economic Zone (SBEZ) juga di Bukit Kayu Hitam, Sidam Logistik Aerospace and Manufacturing (SLAM) dan beberapa lagi di mana sejak 2015 telah dijalankan kajian kebolehlaksanaan.

Tugasnya lagi, projek-projek tersebut bukan dicadangkan semasa beliau mula menjadi Menteri Besar, malah KXP lebih awal diluluskan Kerajaan Persekutuan yang diumumkan bersama projek berimpak tinggi lain pada 19 Mac 2019.

“Saya tak jadi MB lagi masa tu. Pakatan Harapan (PH) yang jadi Menteri Persekutuan dan kerajaan di peringkat negeri Kedah. Waktu saya mula menjadi MB pada Mei 2020, saya dapati projek sebesar ini belum masuk MPFN (Majlis Perancangan Fizikal Negara).

“(Sedangkan) undang-undang mengatakan projek yang melebihi 50 hektar saiznya mesti masuk MPFN,” ujarnya yang menyegerakan prosedur tersebut pada Ogos dan November 2020 dengan beliau sendiri hadir membawa kertas berkaitan.

Jelas beliau, MPFN memberi lapan nasihat yang mesti dipenuhi selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) di mana 10 agensi berkaitan juga tiada halangan untuk projek KXP.

Maklum beliau juga, selepas beberapa siri pembentangan dan pertemuan, Jawatankuasa Teknikal antara Konsultan KXP dan MOT telah ditubuhkan dengan mengadakan beberapa rundingan perbincangan.

Tambah Sanusi lagi, sebagaimana sebarang permohonan memerlukan syarat dan berurusan dengan pihak berkaitan, maka pihaknya juga telah mengajukan kepada dua Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Juga kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mustapha Mohamed yang bertanggungjawab hal ehwal ekonomi pada masa itu untuk dibawa kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebelum disediakan kertas kepada Kabinet.

“Untuk (Anwar) mengatakan Kerajaan (Negeri Kedah) tak memohon, ini satu kepalsuan,” sanggahnya yang turut memaklumkan telah dua kali mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk membentangkan mengenai KXP namun tidak berbalas. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -