Kenaikan OPR tak kurangkan kos hidup rakyat – Zahid

Muhammad Zahid
- Advertisement -

Kementerian Kewangan dalam sidang Parlimen 2023 baru-baru ini telah memaklumkan  bahawa keputusan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah tindakan wajar dan perlu dalam memastikan inflasi terkawal serta ekonomi terus mampan – biarpun langkah kenaikan akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan.

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) dalam sidang Isnin (6 Mac) lalu – yang meminta Menteri Kewangan mengenai adakah kerajaan melaksanakan kajian terhadap kesan kenaikan OPR buat golongan B40 yang terhimpit oleh kesan kenaikan kadar bayaran pinjaman bulanan yang semakin tinggi – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ada jawapannya.

- Advertisement -

Kata Ahmad Maslan, kenaikan OPR tidak menyebabkan semua peminjam terkesan kerana peningkatan kepada ansuran bulanan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar terapung.

“Setakat Dis 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada jumlah akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.

“Bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan B40, dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman adalah berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun,” jelas beliau.

“Ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi limpahan yang lebih baik kepada semua rakyat,” katanya. 

Sejauh manakah realiti kenyataan tersebut dalam ekonomi negara ini? Sedangkan umum mengetahui bahawa OPR  sangat penting dalam dasar monetari Malaysia.

Dasar monetari adalah suatu dasar yang diterapkan oleh pihak berkuasa monetari atau bank pusat sesebuah negara atau wilayah untuk mengawal kadar faedah bagi pinjaman jangka pendek atau penawaran wang – dalam kes Malaysia ia tertakluk di bawah Bank Negara Malaysia (BNM). 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyatan medianya pada 1 Mac lalu berkata bahawa BNM mempunyai hak dan kuasa dalam membuat keputusan berkaitan dengan OPR  tanpa perlu membabitkan campur tangan kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tetapi itu adalah ‘wewenang’ (kuasa) BNM,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet tersebut.

Namun, umum juga mengetahui bahawa kenaikan OPR akan memberi kesan kepada pelbagai ukuran kewangan seperti kadar deposit, kadar pinjaman, pertukaran matawang asing, dan sudah pastilah faedah pembiayaan perumahan.

Golongan marhaen sudah pasti tertanya-tanya tentang apakah sebenarnya OPR dan maksudnya dalam konteks pinjaman perumahan dan pemilikan hartanah di negara ini?

OPR ialah kadar faedah yang ditetapkan BNM yang menentukan kadar faedah untuk institusi kewangan yang meminjamkan wang antara satu sama lain untuk tempoh satu malam.

Dalam operasi harian, rizab wang tunai bank berubah-ubah, bergantung kepada aktiviti peminjaman yang berlaku dalam bank, serta deposit dan pengeluaran wang yang dibuat pelanggannya.

Sehingga 19 Jan 2023, BNM ketika ini masih mengekalkan kadar OPR pada tahap sebanyak 2.75 peratus (%).

Namun, pada era pandemik Covid-19 sebelum ia naik kepada 2.75% itu sudah berlaku sebanyak tiga kali kenaikan OPR.

Ini kerana berbanding paras rekod terendah OPR sebanyak 1.75 peratus pada 7 Jul 2022; Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia telah memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus menjelang 8 Sept 2022.

Sedangkan sebelum itu, sudah berlaku dua kali kenaikan OPR – masing-masing pada tarikh 6 Julai 2022 (sebanyak 25  mata asas kepada kepada 2.25%) dan 11 Mei 2022 (sebanyak 25 mata asas kepada 2.00%). 

Bank akan bergantung kepada pinjaman sebagai aktiviti perniagaan yang penting, untuk tujuan keseimbangan akaun terutama kesediaan rizab tunai sebagai syarat asas penilaian nisbah dan kredit kecairan mengikut syarat ditetapkan BNM.

Kadar faedah bank ditentukan oleh OPR yang menentukan rangka kerja hala tuju kewangan negara untuk memastikan keseluruhan institusi kewangan mempunyai bekalan tunai yang stabil dan mencukupi.

Disebabkan OPR adalah perkara asas yang memastikan fungsi perbankan boleh terus berjalan, perubahan kadar OPR akan memberi kesan kepada keseluruhan komponen dalam sistem ekonomi negara, bukan setakat kadar pinjaman sahaja – contohnya pengangguran, dan inflasi harga barangan.

Justeru, adakah Malaysia akan menghadapi masalah ekonomi kenaikan OPR kelak biarpun kerajaan berkata sebaliknya?

Ikuti wawancara ringkas wartawan HarakahDaily, IKMAL EMIR dengan pakar ekonomi Islam bebas, Muhammad Zahid Abdul Aziz yang aktif dalam reformasi kewangan dalam organisasi Pergerakan Keadilan Monetari (Movement Monetary Justice); yang mana istilah ‘monetari’ merujuk kepada perkara (ekonomi) berkaitan dengan wang atau mata wang.

Beliau berpengalaman berpengalaman luas melalui kerjayanya sebelum ini dengan  Bank Islam dan Bank AlBilad Riyadh, dan kini memiliki syarikat sendiri, Muamalah Financial Consulting.

HARAKAHDAILY: Tuan, boleh terangkan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan OPR khususnya di Malaysia?

Muhammad Zahid: OPR dalam bahasa Inggerisnya ialah Overnight Policy Rate yang tugas utamanya dalam kes Malaysia adalah meminda kadar faedah dalam sistem perbankan negara kita. 

Namun, saya lebih memilih untuk menyatakan OPR ini sebagai kadar riba dalam sistem negara kita (atau kadar riba negara). 

Ini kerana OPR ini jelas merupakan riba yang akan memberikan kesan terhadap sesiapa sahaja yang membuat pinjaman terhadap mana-mana industri perbankan, termasuklah perbankan Islam.

Jadi, adakah benar kenaikan OPR akan mampu mengawal kadar inflasi negara, sekali gus dapat mengurangkan kos hidup rakyat, jika merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan dalam sidang Parlimen 6 Mac itu?

Tidak benar. Ini kerana kenaikan OPR sebaliknya  akan semakin membebankan kos hidup rakyat. 

Ia adalah kerana apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR, mereka beranggapan syarikat kurangkan pekerja, seterusnya permintaan di pasaran jatuh, dan inflasi turun. Namun, maka ia merupakan suatu rangkaian peristiwa yang terlalu jauh untuk menjadi (realiti).

Dalam laporan media baru-baru ini, ada melaporkan tentang bahawa setiap bank di negara ini digesa untuk menurunkan kadar bayaran bulanan. Adakah ia akan mengubah keadaan ekonomi negara kita?

Ini adalah permintaan mana-mana pihak yang sudah menyerah kalah untuk terikat dengan sistem hutang BNM/bank. 

Pihak bank kata kalau nak naikkan OPR – panjangkanlah tempoh pinjaman supaya tunai yang orang ramai bayar bulan-bulan kekal pada jumlah yang lama. 

Contohnya begini, katakan kita ada pinjaman bank selama lima tahun dan  bayar secara ansuran sebanyak RM400 sebulan. 

Tetap bank nak naik kadar bunga (interest rate)-  akibatnya jumlah bayaran ansuran pinjaman kita dari RM400 sebulan bertambah jadi RM500 sebulan. 

Kita pun cakap kepada bank agar kekalkan bayaran ansuran pada RM400 sebulan tetapi tambahkan tempoh bayaran hutang selama satu tahun lagi. 

Jadi,pendapat saya ialah naik dan turun kadar bunga/OPR tidak pernah berjaya mengubah  keadaan ekonomi. 

Harapan BNM begini – untuk lonjakkan ekonomi dengan turunkan OPR. Kepercayaan BNM apabila OPR turun, maka berebut-rebutlah  syarikat-syarikat bisnes memohon pinjaman supaya output ekonomi naik. 

Tidak benar kerana syarikat tidak buat pinjaman berdasar kadar bunga, mereka melabur berdasarkan peluang keuntungan sesuatu projek.

Apabila BNM mahu turunkan kadar inflasi pula mereka akan naikkan OPR dengan harapan syarikat-syarikat bisnes  kurangkan pekerja, seterusnya permintaan di pasaran jatuh, dan inflasi turun. 

Namun, ini juga tidak benar dan tidak akan berlaku.

Apa cadangan tuan kepada pihak kerajaan dalam mengurangkan segala masalah ekonomi yang dihadapi?    

Saya cadangkan kerajaan keluarkan perintah bank-bank agar terbalikkan nisbah pinjaman/pembiayaan dari 70% pinjaman/sektor peribadi dan 30% sektor ekonomi sebenar; kepada 70% sektor ekonomi sebenar dan 30% pinjaman/sektor peribadi. 

Ini dengan cepat akan naikkan output ekonomi dan pekerjaan, dan sekali gus turunkan kadar inflasi. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -