Bayang yang gerun untuk dibayangkan

- Advertisement -

KADANG-kadang geli hati dengan watak golongan yang takut bayang hantu. Baru cerita bayang dah bergegar satu kerajaan yang dikatakan berpadu dan terpadu. Ada yang kata bayang itu hantu. Ada yang kata bayang itu tak patut muncul dan macam-macam yang menunjukkan gerunnya kepada bayang yang dibayangkan itu. Paling melucukan bayang itu turut ditakuti oleh Perdana Menteri yang sering bermain dengan bayang.

Menariknya kali ini bayang itu disebut oleh Presiden PAS, yang mereka tahu bukan jenis bermain bayang jauh sekali main wayang macam kertas kelam photostat Perdana Menteri ke-10 (PMX). 

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) adalah lulusan politik dan bergelumang dengan pelbagai peringkat hingga Antarabangsa. Setiap kali butir bicara beliau, pastinya menjadi perhatian. Bezanya, ada yang mampu difahami dan ada yang belum mampu difahami. Beliau kaya dengan teori politik dunia yang sebahagiannya cuba diterapkan dalam politik negara.

Masih ingatkah mengenai UG atau Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan TGHH di zaman Pak Lah? Ia hampir direalisasikan cuma terhalang oleh seorang pilitikus yang hanya mahu dia menjadi Perdana Menteri dan golongan jahil politik di kalangan pimpinan PAS yang tersingkir dari PAS kemudiannya.

Kekalutan isu UG diakibatkan manipulasi dari kejahilan dan kejahatan. Dua Tok Guru PAS cuba dilagakan yang akhirnya TGHH ‘menangguhkan’ hingga rakyat faham. Teori itu mungkin belum sempat difahami tetapi mereka telah ‘menjelmakan’ UG dalam PRU15  

Walaupun tersasar dari kaedah sebenar.  Golongan yang menolak UG telah menerima UG walaupun hanya nama sekalipun bercanggah konsep di sudut ilmu. Teori itu telah diterima tanpa mereka sedar atau mungkin sengaja melupakan bahawa mereka adalah golongan vokal yang menyanggah teori itu di saat sangat perlu.

Apa yang ingin diutarakan ialah setiap lontaran TGHH akan pasti menjadikan mereka ‘penasaran’ walaupun kadang-kadang hanya senyuman. Kali ini Presiden PAS itu dilihat sangat konsisten dan yakin apa yang diungkapkan. Seolah beliau telah melihat secara tersusun dan tahu bila masa ianya masak untuk dipetik. 

Mungkin di saat ini, pemimpin dan pendukung terdesak kerajaan sedang menyelongkar setiap sudut untuk mencium dan menjejak barah yang akan menjatuhkan mereka. Mereka tercari-cari sedangkan TGHH telah melihat dari kaca rumah mereka mengenai apa yang terjadi. Mungkin pembangkang tidak perlu buat apa-apa. Cukup hanya memerhati gegaran dalaman PH-Umno-DAP yang pastinya akan ada yang tidak tahan dan merempuh dinding kaca mereka untuk keluar. 

Mat Sabu yang ada pengalaman ngeri ketika pulang dari luar negara mungkin ada perkongsian yang lebih menakutkan pemimpin kerajaan. Kalau adapun yang boleh tenang, mungkin Anwar Ibrahim kerana impiannya telah terlaksana sebagai Perdana Menteri. Andai mati nanti, matanya akan terpejam lena dalam senyuman seperti dialog ketua penyamun… ‘Mati dalam iman’…

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -