Perluas kaunseling, terapi psikologi tangani ketagihan judi

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya meminta Menteri Kesihatan menyatakan inisiatif yang diambil bagi memperluaskan aktiviti kaunseling dan terapi psikologi bagi menangani ketagihan berjudi dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan pertanyaan itu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi, hari ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah solusi untuk pengusaha-pengusaha perkhidmatan sewaan kenderaan mikromobiliti yang terjejas pendapatan mereka akibat penguatkuasaan undang-undang larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada Kementerian berhasrat:-

(a) melaksanakan pemberian subsidi perumahan kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan rakyat B40 dan M40; dan          

(b) memperluas Skim Pembiayaan Rent-To-Own (RTO) kepada semua pembeli rumah pertama tidak terhad kepada pembeli kediaman projek perumahan PR1MA sahaja.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah status Skim Insurans Kesihatan Kebangsaan kerana kebergantungan kepada peruntukan 2.56% GDP adalah tidak lestari dan sukar untuk diperkasakan sistem kesihatan Malaysia bagi memenuhi keperluan rakyat.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan:-

(a) adakah pihak Kementerian berhasrat untuk membatalkan projek tambakan laut Penang South Island yang telah gagal memenuhi garis panduan Environment Impact Assessment, Social Impact Assessment dan sebagainya; dan

(b) kesan dan akibat jika projek ini diteruskan.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Kementerian mempunyai perancangan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam di seluruh negara dalam jangka masa 5 tahun yang akan datang.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Kesihatan menyatakan trend jumlah kes jangkitan Covid-19 bagi tempoh sebulan pertama tahun 2023 dan apakah langkah diambil Kementerian untuk pastikan rakyat mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.  

Tuan Che Alias bin Hamid [Kemaman] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada pihak Kementerian berhasrat untuk mengadakan pameran awam sebagai sebahagian daripada laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi menjamin ketelusan sebelum sesuatu projek pembangunan diluluskan.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Kesihatan menyatakan inisiatif yang diambil bagi memperluaskan aktiviti kaunseling dan terapi psikologi bagi menangani ketagihan berjudi dalam kalangan masyarakat.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan langkah yang telah diambil oleh Kerajaan dalam mempercepat proses pengambilan buruh asing sekitar 54,000 orang bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan serta mengelakkan kerugian yang ditanggung dalam anggaran RM10.46 bilion bagi sektor tersebut.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan berapa peruntukan yang disalurkan kepada KEDA untuk program baik pulih rumah-rumah KEDA dan program bantuan bina rumah rakyat miskin bagi tahun 2020 hingga 2022.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan penjelasan berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP):-

(a) apakah skop tugas, peranan dan bidang kuasa yang ditetapkan kepada JPKKP serta adakah diselaraskan di semua negeri seluruh negara; dan

(b) mengapa wujud perbezaan layanan di antara negeri yang diperintah Kerajaan dan pembangkang sedangkan JPKKP sedia ada di negeri yang diperintah Perikatan Nasional sudah teratur organisasinya mengendalikan keperluan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sejauh mana kajian yang telah dilaksanakan mengenai unjuran tindak balas pasaran hartanah kesan peningkatan pembinaan rumah mampu milik oleh Kementerian, dalam situasi lambakan rumah tidak terjual pada waktu ini.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan statistik kesalahan jenayah dan jenis-jenis kesalahan yang dilakukan oleh pendatang asing mengikut negara.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada Kementerian akan meminta Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan agar elaun kritikal diberi juga kepada jurupulih fisioterapi dan jurupulih cara kerja seperti mana ia diberi kepada para doktor dan jururawat atas sebab risiko pekerjaan.

Tuan Nurul Amin bin Hamid (Padang Terap] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam memastikan keselamatan semasa bertugas oleh anggota AADK ketika membuat operasi penguatkuasaan dan tangkapan dilaksanakan.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan jumlah pam-pam bergerak yang disediakan di bawah Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) bagi mengurangkan risiko banjir terutama di kawasan sawah padi.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan pelan perancangan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan yang berisiko khususnya kawasan yang berhampiran dengan sungai.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan jalan penyelesaian bagaimana Malaysia tidak lagi kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta isu taraf gaji yang masih lagi membelenggu rakyat Malaysia.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerja asing yang diperlukan dalam semua sektor di Malaysia serta pecahan dan apakah tindakan Kerajaan dalam memastikan proses pengambilan pekerja asing lebih telus dan mematuhi ketetapan International Labour Organisation (ILO).

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan:-

(a) tindakan komprehensif Kementerian untuk mengatasi masalah banjir berulang di Meru, Sementa dan Selat Klang; dan

(b) perincikan kos dan masa dijangka siap projek.    

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang telah dan akan diambil untuk mengurangkan risiko banjir, yang sering dihadapi di negeri Kelantan terutamanya di jajahan Jeli, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.       

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [Tumpat] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan langkah dan kos baik pulih untuk menyelesaikan isu runtuhan tebing di Pulau Besar, Tumpat untuk memelihara kelestarian alam sekitar di samping memenuhi keperluan gugusan 12 pulau. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -