DAP mahu jawatan PM: Itu bukan gugatan?

- Advertisement -

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim nampaknya seperti sedang memberikan pemantauan kritikal terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau ‘mengikuti’ Ahli Parlimen Marang itu sehinggakan ulasan media Tuan Guru pun turut mahu diberikan reaksi olehnya.

Sedangkan perkara tersebut lebih sesuai diulas oleh Menteri atau pihak lain, tetapi Anwar memilih untuk ‘menyentuh’ imej dan reputasi ulamak itu. Mungkin dia merasakan itulah kesempatan dan peluang untuk beliau cuba mengguris apa-apa agar mengena peribadi Tuan Guru.

Perhatian Anwar itu dipercayai tertumpu khusus sejak perbahasan Belanjawan 2023 oleh Tuan Guru Abdul Hadi. Di mana Ahli Parlimen Marang itu dalam ucapan perbahasan RUU Perbekalan 2023 tersebut secara sinis menyinggung kerapuhan hubungan yang wujud dalam kerajaan hari ini.

“Kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca, jangan mudah-mudah melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara. Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai,” ujar beliau.

Kerajaan Anwar akan tumbang?

Nasihat itu rupanya menggerunkan Anwar dan para pendukung Pakatan Harapan (PH) hingga berkembang sebagai ‘trauma’; khuatir tragedi sama berulang. Mereka sendiri yang menyangka kerajaan bakal tumbang dan menuduh Tuan Guru Abdul Hadi mewujudkan gerakan terancang untuk menjatuhkan kerajaan.

Tuan Guru pula dalam melayani pertanyaan-pertanyaan penyokong sendiri sekadar memberi bayangan umum terhadap hakikat sebuah kerajaan dan realiti demokrasi. Anwar dan Timbalan beliau, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mulanya memperlekehkan hal itu sebagai mimpi dan mengigau.

Namun, ‘bayang’ ketakutan semakin menjadi dan kenyataan-kenyataan Tuan Guru mulai diterima serius, lalu dibalas dengan pelbagai amaran dan laporan polis. Rupanya, dalam banyak dakwaan dilemparkan ke atas Tuan Guru, mereka terpaksa mengakui beliau adalah tokoh penting pernah menukar kerajaan tanpa pilihan raya.

Presiden PAS itu dituduh dan cuba digambarkan sebagai melakukan gugatan dengan melaksanakan usaha-usaha menjatuh atau merampas kerajaan. Diasak media dengan konotasi-konotasi yang mencemaskan, beliau sebaliknya memberi penjelasan tenang dan matang. (rujuk Lampiran 1)

Propaganda J-KOM

Ironinya, Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff yang mengetuai Jabatan Komunikasi (J-KOM) di bawah Anwar dilihat menggerakkan propaganda senada dan menjadi alat politik. Sedangkan entiti itu dibiayai untuk penyampaian maklumat dan membawa gagasan kerajaan pimpinan Anwar.

Agus cuba mengembangkan spekulasi dan naratif retorik berbentuk tuduhan dengan mendakwa parti pembangkang diresapi elemen radikal. Sepatutnya, J-KOM tidak menjadi penyiasat isu keselamatan kerana itu tugas Polis dan Tentera, apatah lagi berwatak bagai lasykar siber.

Peranannya J-KOM perlulah meninggikan maklumat kerajaan dan ‘memulihkan imej’ Anwar serta membawa segala gagasan pemimpin itu (jika ada). Tetapi sebaliknya J-KOM menunjukkan seolah-olah ia entiti yang kebulur dan tandus isu hingga mengutip setiap sampah sensasi dan kontroversi.

Keghairahan untuk menuding tuduhan radikal itu kepada Perikatan Nasional (PN) dilihat hingga menutup sebelah mata yang kelak berisiko memakan diri sendiri. Lihat dan sedarilah radikalisme sedia wujud dalam kalangan PH terutama DAP yang mengimpikan jawatan Perdana Menteri.

‘Misi mustahil’ DAP?

Bukan kali pertama DAP menyuarakan kemungkinan itu yang pernah diungkap Lim Kit Siang secara terbuka sejak tahun 2010 dan ditegaskan usaha ke arah itu oleh mendiang Karpal Singh. Malah, walaupun pernah ‘diperuntukkan’ Anwar jawatan TPM, DAP tetap menyatakan mereka ‘layak’ untuk PM.

Inilah gugatan sebenar ke atas pakatan tersebut dan negara ini di mana PH dan Anwar hanyalah boneka atau tangga untuk DAP melonjak lebih tinggi dalam politik. Amat malang dan satu kebodohan kepada Anwar kerana hasrat tersebut diulang DAP ketika dia sedang berkuasa dan baharu 3 bulan di jawatan itu.

Andai DAP berjaya meluaskan kuasanya kelak, mungkin PKR dan Umno akan ditendang mereka sebagaimana sikap dibuat parti itu di Pulau Pinang. Jangan dikatakan bahawa semua perkara ini mustahil, kerana sikap dungu itulah menjadi punca DAP memperkotak-katikkan kawannya.

Lihat dengan keangkuhan kuasa yang dipegang, DAP memarakkan sentimen perang dan perkauman dalam kalangan rakyat konon untuk mempertahankan ‘kedaulatan’ Pulau Pinang. Apakah ini isyarat DAP bahawa kuasa politik boleh memerintah kuasa tentera untuk suatu kepentingan jika mereka pemegang majoriti?

DAP hakikatnya tidak layak untuk jawatan PM atau TPM kerana parti itu membawa perjuangan yang bertentang dengan Perlembagaan Persekutuan. Bahkan kerana itu DAP juga tidak patut didaftarkan di negara ini serta mengambil bahagian dalam politik Malaysia. (baca juga Lampiran 2 & Lampiran 3)

Masjid disekat, gereja bebas?

Para pendukung dan penyokong PH dinasihatkan jangan gembira dengan larangan untuk Ahli-ahli Parlimen dan ADUN dari memberi ucapan di masjid atau surau di beberapa negeri. Mereka merasakan ia satu kejayaan kerana melihat larangan itu dihukumkan khusus kepada para pemimpin PAS.

Bagi mereka, ia satu kawalan kepada ‘aktiviti’ dan peluasan pengaruh PN di mana PAS adalah jentera aktifnya di setiap premis dan wadah umat Islam berkumpul itu. Sedari dan keluarlah dari sindrom penafian bahawa gerakan Evangelis memperalatkan gereja mengembangkan dakyah politik pihak tertentu.

Jangan lupa siri-siri Kursus Polling Agent & Counting Agent (PACA) yang aktif dianjurkan pihak gereja tertentu menjelang PRU14 dahulu. Juga badan kuasa asing yang masuk menerusi gereja dan menyemarakkan semangat berperang serta mahu mewujudkan ‘Kerajaan Tuhan’ (Kristian) di negara ini, selain suntikan dana.

Kerana asyik ‘menang sorak’ seronok melihat aktiviti dakwah dan pengembangan Islam disekat, terleka ‘kampung tergadai’ membiarkan agama lain bebas membina pengaruh dan kekuatan hingga melangkaui batas diperuntukkan undang-undang dan Perlembagaan.

Oleh itu semua pihak mesti jujur dan bijak tanpa dipengaruhi secara salah dan palsu serta diperdayakan, selain menilai secara matang mana pihak yang sebenarnya melakukan gugatan dan siapa pihak selayaknya diangkat bagi memimpin rakyat dan negara ini.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 7/3/2023

Lampiran 1: https://harakahdaily.net/index.php/2023/03/07/kejatuhan-kerajaan-perkara-biasa-dalam-demokrasi/

Lampiran 2: https://harakahdaily.net/index.php/2022/08/03/merungkai-perlembagaan-pan-bentengi-dap/

Lampiran 3: https://harakahdaily.net/index.php/2022/11/09/koridor-harapan-dap-dan-anwar-ibrahim/

- Advertisement -
- Advertisement -