Kejatuhan kerajaan perkara biasa dalam demokrasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kejatuhan atau perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan adalah perkara biasa yang boleh berlaku dalam politik melalui pelbagai kaedah dalam demokrasi, demikian kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, lontarannya mengenai perkara itu adalah kenyataan politik, namun mengingatkan bahawa ia boleh terjadi menerusi sama ada undi tidak percaya, dapatan akuan bersumpah (SD) atau penyokong kerajaan berpaling tadah.

“Itu biasa berlaku. Dan kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam Kerajaan Campuran (PH-BN) yang ada ini perasaan tidak puas hati sama-sama komponen sendiri, itu ada berlaku. Dengan sebab itu tak mustahil berlaku,” ujarnya di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan media meminta penjelasannya berkenaan ucapan perbahasan dan kenyataan beliau di mana membayangkan kerajaan ketika ini bakal tumbang.

Terang beliau juga, hal demikian dibolehkan dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan tidak bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong kerana baginda juga berada di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

“Ya, biasa dalam negara demokrasi. Kita berusaha. Bukan sahaja pilihan raya, termasuk melalui Parlimen,” ujarnya menjawab pertanyaan mengenai usaha Perikatan Nasional (PN) menggantikan kerajaan pada ketika ini.

Ditanya mengenai pendirian BERSATU mahu kekal sebagai pembangkang, jelasnya itu adalah kenyataan awal dan ianya boleh berubah selari sifat politik yang dinamik dan PN berhak merancang dan tiada siapa berhak menghalang.

Menjawab mengenai dakwaan pemimpin DAP Pulau Pinang kononnya PN tidak bersih kerana terlibat aktiviti rasuah, beliau menggesa perkara itu dibawa ke mahkamah untuk diadili dan PN sangat terbuka mengenai hal tersebut.

“Macam PAS sendiri terbuka, boleh bawa dan kita harap PH (Pakatan Harapan) pun mesti adil, bawa (ke mahkamah). Dan dia sedar, mereka yang (ada) kluster mahkamah, yang dah dihukum, telah dihukum, dilantik, termasuk yang masih dibicarakan di mahkamah.

“Sedangkan mengikut Perlembagaan, saya ambil yang Tun (Dr Mahathir) buat kenyataan, kalau Agong pun ada kes mahkamah, tak boleh jadi Agong. Tapi (ada ahli politik) ini dilantik jadi (Menteri) dan dalam Kabinet. Itu lagi parah.

“Dah dibawa ke mahkamah itu dianggap tidak bersalah dan dilantik lagi,” bidas beliau terhadap situasi yang sedang terjadi pada masa kini dalam politik negara. – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -