Agong berkongsi kemelut politik selepas PRU14

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berkongsi peristiwa kemelut politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

- Advertisement -

Titah baginda, kemelut politik tersebut dijangka tidak berlaku sekiranya Perdana Menteri ke-7 tidak meletak jawatan.

Menurut Agong, dalam tempoh penggal ke-14 berlaku pertukaran tiga Perdana Menteri di Malaysia. 

“Bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 kemudian pada 24 Februari 2020, beta berdepan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 (Mahathir).

“Pada 1 Mac 2020 Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas mendapat kepercayaan ahli-ahli parlimen.

“Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021 Perdana Menteri ke-8 pula meletak jawatan dan beta terpaksa melantik Perdana Menteri ke-9,” titah baginda pada perasmian pembukaan parlimen penggal ke-15 di bangunan parlimen, di sini, hari ini.

Susulan itu titah Agong lagi,  ahli parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri pula dilantik sebagai perdana menteri ke-9 pada 21 Ogos 2021.

Tidak lama selepas itu, baginda bertitah, Perdana Menteri ke-9 memohon pembubaran parlimen dan baginda memperkenankan parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

Bagaimanapun titah baginda selepas selesai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, negara berdepan pula dengan parlimen tergantung kerana mana-mana parti politik tidak mempunyai majoriti yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

“Tugas untuk memilih perdana menteri ke-10 bukan sesuatu yang mudah. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

“Beta memberi ruang yang luas untuk parti-parti politik bekerjasama bagi membentuk kerajaan. 

“Dengan itu pada 24 Nov 2022 beta berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Secara ikhlas beta berharap Perdana Menteri ke-10 sebagai perdana menteri terakhir pada era beta sebelum berangkat pulang ke negeri beta selepas menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” titah baginda.

Bagaimanapun baginda bertitah, “Manusia sekadar merancang, namun Allah juga yang akan menentukannya.” – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -