PRN : Kerjasama dengan PH rugikan BN

- Advertisement -

BILA-bila masa dari sekarang akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang tarikh luputnya hanya sehingga pertengahan tahun ini.

Pada kali ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Umno-BN sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan bekerjasama untuk menghadapi PRN ini dalam satu pasukan. 

- Advertisement -

Jika di Kelantan, Terengganu dan Kedah mungkin tidak menjadi masalah untuk mereka membahagikan kerusi. Masing-masing PH atau Umno-BN tidak banyak kerusi untuk jadi status quo. 

Masih ada peluang Umno-BN menuntut kerusi dominasi daripada PH. Namun di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan Umno-BN mungkin akan jadi minoriti. 

Jumlah kerusi dalam Dewan Negeri (DN) Selangor berdasarkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 ialah 56 kerusi dengan pada asalnya PH memenangi 51 kerusi, sementara Umno-BN (4) dan PAS (1). Namun setelah Bersatu keluar PH kedudukannya menjadi PH 40 kerusi, Bersatu (7), Pejuang (3), Umno-BN (4) dan PAS (1).

Di Negeri Sembilan jumlah kerusi DUN ialah 36 kerusi. Pada PRU14 PH menang 20 kerusi, Umno-BN (16 kerusi) sementara PN tidak mempunyai sebarang kerusi. Ini menjadikan PH akan kekal menjadi parti dominan berbanding Umno-BN dari segi status quo dalam bilangan kerusi untuk mereka bertanding. 

Semua tahu bahawa Umno-BN Selangor sebelum PRU15 memang mempunyai kerjasama yang sangat erat dengan PAS dalam projek khas untuk menewaskan PH dan mengambilalih kerajaan Selangor. Negeri Sembilan pula memerlukan sedikit sahaja lagi kerusi untuk Umno-BN berkuasa semula jika bekerjasama dengan PAS-PN. 

Namun, dengan gabungan PH-BN ini ahli-ahli Umno-BN terpaksa menerima hakikat yang mereka tidak mungkin dapat menguasai Selangor dan Negeri Sembilan  seperti yang dirancang sebelum ini. 

Perkara ini akan berbeza jika Umno-BN kekal bekerjasama dengan PN seperti sebelum PRU15, yang mana mereka masih diberi peluang mendominasi kerusi di negeri-negeri ini dan mengetuai kerajaan memandangkan pada PRU14 parti itu masih dominan dari segi bilangan kerusi walau pun kalah. 

Namun bersama PH, Umno-BN bakal mendapat kerusi minoriti dan tidak akan merasa untuk menjawat jawatan Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan. Ini yang dikesalkan akar umbi Umno-BN terhadap perkembangan semasa. 

Umno-BN ini sifat mereka ingin mendominasi, mahu menguasai yang lain dan sentiasa mahu menjadi ketua. Ini akan menjadikan Umno-BN rugi besar dengan kerjasama bersama PH ini. Ahli-ahli akar umbi akan marah.

Imbas kembali punca mengapa Umno-BN Terengganu mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan PAS asalnya kerana Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said marah apabila Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa PAS Terengganu akan pertahankan enam kerusi parlimen yang disandang. 

Jika diteliti kenyataan Dr Sam itu sebenarnya tidak ada yang salah pun. Ia bertepatan dengan asas persetujuan dengan Umno-BN untuk mempertahankan status quo kerusi yang telah dimenangi oleh parti masing-masing.

Asasnya, mana-mana kerusi dimenangi PAS, maka parti inilah yang akan bertanding; mana-mana kerusi dimenangi Umno-BN, maka Umno-BNlah yang akan bertanding. Manakala kerusi lain yang dimenangi PH, maka ia akan dibincangkan bersama. Jadi, tidak ada salahnya kenyataan itu. 

Lainlah jika Dr Sam mengeluarkan kenyataan yang PAS Terengganu akan bertanding tujuh daripada lapan kerusi. Barulah wajar untuk Ahmad Said marah kerana ia bakal mengambil kerusi Umno-BN.

Justeru boleh dilihat di situ, Ahmad Said sebenarnya mahu kedudukan kerusi dirunding semula untuk membolehkan Umno-BN mengambil sebahagian kerusi yang telah dimenangi PAS. 

Itu perangai Umno-BN semasa bekerjasama dengan PAS-PN dulu. Tidak pastilah jika Umno-BN akan ‘behave’ apabila bekerjasama dengan PH-DAP kali ini dan rela menjadi minoriti.

Boleh jadi juga, kerana dahulu walau pun mereka kalah, mereka masih memegang ‘title’ parti individu terbesar dalam Parlimen. Tapi sekarang bukan lagi. 

Mereka sekarang di kedudukan kelima dari segi jumlah kerusi mengikut parti secara individu di belakang PAS, DAP, PKR dan Bersatu. Mungkin sekarang mereka lebih sedar diri dan pasrah. –HARAKAHDAILY 30/1/2023

- Advertisement -