Al-Quran dibakar: Jangan terpancing dengan provokasi

- Advertisement -

Dalam era digital, saban hari kita mendengar tentang penghinaan dan pelecehan yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan pelbagai motif tersendiri.

Adakalanya penghinaan ini melibatkan unsur perkauman dan keagamaan. Ini kerana kedua-dua unsur tersebut merupakan umpan yang berkesan dalam tindakan provokatif untuk tujuan memancing emosi dan tindak balas pihak yang menjadi mangsa.

Kemudian pihak yang menjadi sasaran penghinaan akan dilabel sebagai rasisme, ekstremisme dan berbagai label negatif kerana melakukan reaksi balas akibat terpancing.   

- Advertisement -

Tindakan provokatif ini selari dengan strategi pembingkaian (framing), iaitu merujuk kepada proses bagaimana sesuatu pesan (media massa- elemen suatu tindakan provokasi) disampaikan oleh pihak yang menciptanya (pihak yang melakukan provokasi) kepada penerima (mangsa provokasi), dan tindak balas daripada pihak mangsa akan dimanfaatkan oleh pihak yang melakukan provokasi dan mencipta sudut pandang yang negatif terhadap mangsa (pihak yang diprovokasi).  

Isu penghinaan berkaitan kaum dan agama ini bukan hanya melibatkan kes-kes yang dilaporkan dalam negara sahaja, malah terdapat juga di luar negara. 

Antara kes yang melibatkan penghinaan berkaitan perkauman adalah melabelkan Melayu sebagai malas dan bodoh, mengaitkan tulisan jawi dengan pornografi, dan penghinaan terhadap institusi beraja dan Yang di-Pertuan Agong. 

Sedangkan penghinaan berkaitan agama Islam dan simbol agama pula adalah menjelekkan Allah SWT, menghina Nabi Muhammad, menghina imej kaabah, memijak al-Quran, mempermainkan azan dan seumpamanya.

Api terbakar disiram petrol

Isu penghinaan ini kembali panas apabila pihak ekstremis di Sweden, ahli politik Rasmus Paludan telah membakar kitab suci al-Quran dan disusuli dengan pelbagai tindakan provokatif yang bermotifkan politik. 

Bagaikan api yang membakar disiram dengan minyak petrol, isu ini mendapat reaksi pantas daripada umat Islam di seluruh dunia. Pelbagai bentuk reaksi balas dilakukan. 

Antaranya adalah mengecam tindakan pembakaran al-Quran, tunjuk perasaan sebagai bantahan, di samping suara menyeru kepada pemboikotan terhadap produk keluaran Sweden di negara-negara Islam. 

Jelas sekali, perasaan cinta menimbulkan sentuhan emosi dan reaksi mempertahankan sesuatu yang dicintai. Ini kerana al-Quran merupakan kitab suci yang diwahyukan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia sangat dihormati kalangan penganut agama Islam.

Tindakan membakar al-Quran umpama menyakiti umat Islam keseluruhannya. Lantas ia membangkit emosi dan reaksi umat Islam.

Jika tidak berhati-hati, umat Islam akan terjerat dengan perangkap provokator (pencetus provokasi) seumpama Paludan – yang dengan mudah akan melabel umat Islam dan agama Islam sebagai rasisme, barbaric (istilah penghinaan terhadap orang yang tidak bertamadun dan berkebudayaan, sama ada dalam bentuk rujukan umum kepada seorang ahli satu-satu bangsa atau kumpulan etnik secara am), tidak bertoleransi, tidak meraikan kebebasan bersuara, malah dituduh sebagai pelampau dan pengganas. 

Di samping itu, gejala Islamofobia turut semakin meningkat di negara-negara Barat. Apa yang ditakuti, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melakukan keganasan terhadap mangsa yang tidak berdosa dan kemudiannya menyamar sebagai orang Islam. 

Juga dibimbangkan ada orang Islam yang melampaui batas dengan menghalalkan pertumpahan darah dengan sewenang-wenangnya.

Bingkai naratif keganasan

Akibatnya, pembingkaian naratif keganasan ini akan menambah jurang dan konflik antara peradaban Islam dan Barat. Akhirnya orang Islam akan menjadi mangsa.

Dalam kesuraman ekonomi dunia akibat pandemik Covid-19, ditambah lagi dengan tindakan provokatif terhadap umat Islam, ia merupakan langkah yang tidak bijak. 

Ini disebabkan komposisi 1.6 bilion umat Islam daripada jumlah penduduk dunia telah menjadikan umat Islam sebagai kelompok pasaran dan pengguna yang besar. Keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan jika berlaku tindakan pemboikotan. 

Kini, telah timbul seruan pemboikotan terhadap produk dari Sweden. Dalam konteks Malaysia, tindakan pemboikotan ini pernah berlaku dengan kempen BMF (Buy Muslim First) akibat penghinaan pihak pelampau terhadap tulisan jawi.

Asasnya, golongan yang melakukan tindakan provokatif melalui pendekatan penghinaan terhadap unsur keagamaan dan perkauman ini seringkali mengabsahkan perbuatan mereka dengan dasar kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. 

Sedangkan apabila dilakukan tindak balas yang seumpamanya akan timbul isu penghinaan, rasisme malah dilabel sebagai pelampau dan pengganas. Bagi golongan tersebut, hanya mereka punya kebebasan, maruah dan harga diri, sedangkan maruah pihak lain boleh diperkotak katikkan atas nama kebebasan bersuara.

Eskapisme, reduksionisme, apologetisme atau reaksionisme?

Lantas, bagaimana reaksi seorang Muslim apabila agamanya, rasul SAW kesayangannya dan sumber rujukannya dihina? 

Apakah kita hanya sekadar mengambil pendekatan eskapisme, iaitu sikap berkecuali dan tidak peduli terhadap penghinaan?

Atau sekadar mengambil pendekatan reduksionisme, iaitu berpeluk tubuh dengan menanggung rasa malu dan lemah?

Atau, mengambil pendekatan apologetisme, iaitu sikap tidak apa sahaja kerana Islam kalis cacian, malah pembakaran al-Quran tidak menjejaskan kesuciannya.

Atau dengan mengambil pendekatan reaksionisme, iaitu bertindak atas kapasiti yang ada – sama ada melalui perasaan marah di dalam hati terhadap penghinaan insan yang dihormati, melakukan tindakan bantahan melalui demonstrasi dan juga pemboikotan.

Sedangkan dalam al-Quran, surah al-Waqi’ah ayat 77-80, Allah SWT telah menegaskan:

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan dari Allah SWT,Tuhan sekalian alam.

Berdasarkan ayat tersebut, al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh SWT Allah kepada umat Nabi Muhammad sebagai panduan kehidupan. 

Jadi wajarlah jika tindakan pembakaran al-Quran dapat menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Bagi seorang Muslim, kesucian al-Quran perlu dipertahankan dari sebarang bentuk penghinaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. 

Sekiranya kita tidak ada rasa marah dengan penghinaan terhadap kesucian al-Quran, mungkin ada sesuatu yang perlu disemak kembali, khususnya rasa cinta kepada agama suci ini. 

Cinta pencetus gejolak emosi

Namun begitu, rasa kecintaan ini tidak membawa kepada pemujaan kepada al-Quran itu sendiri, sebaliknya status al-Quran yang merupakan kalamullah menjadi dasarnya.

Bahkan, Allah SWT telah menjanjikan balasan terhadap golongan yang menghina Allah dan Rasul-Nya sama ada melalui perkataan atau perbuatan dengan balasan seksaan di dunia dan akhirat. 

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 57: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab siksa yang menghinakan.”

Justeru, tindakan provokasi pihak bukan Islam dengan membakar al-Quran seperti yang dicetuskan Paludan itu adalah perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan usaha mempromosikan keamanan sejagat. 

Dunia sedang menuju ke arah teknologi moden serba maju, namun masih terdapat kelompok yang masih menggunakan modal agama untuk merosakkan keharmonian beragama. 

Sikap pengecut dan provokatif individu seumpama Paludan tidak memberi manfaat terhadap peradaban manusia, malah boleh mencetuskan rantaian konflik dan permusuhan berpanjangan antara Islam dan dunia Barat.

Apa juga yang menjadi objek penghinaan tidak dibenarkan sama sekali sama ada melibatkan Allah SWT, Rasulullah SAW, al-Quran dan simbol agama. 

Sebagai seorang Muslim, kita perlu ada rasa sensitiviti agama dan rasa disakiti apabila Allah SWT, Rasul SAW dan al-Quran dihina dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam atas nama kebebasan bersuara. 

Namun begitu, bertindaklah atas kapasiti kita sesuai dengan keluhuran undang-undang dan panduan agama. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dengan kata lain, jangan terpancing dengan unsur provokatif, sehingga melakukan perkara di luar batasan norma undang-undang dan nilai agama.

Ini kerana disebabkan perasaan cinta yang mendalam pastinya melahirkan rasa gejolak emosi dan amarah terhadap penghinaan disebabkan kita akan bersikap protektif terhadap sesuatu yang dicintai. 

Jangan melampaui batas dalam bertindak balas hingga menyebabkan Islam dan umat Islam dilabel sebagai agama pelampau dan menyokong keganasan. Akhirnya, keseluruhan umat Islam akan menjadi mangsa dan menanggung akibatnya.

DR. MOHD RAMLI (Profesor Madya, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. – HARAKAHDAILY 30/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -