Bas terhumban dari jambatan dan terbakar, 40 maut

Pekerja penyelamat mengangkat mayat penumpang bas yang ditemui. - AP
- Advertisement -

QUETTA: Sebuah bas penumpang merempuh tiang dan terhumban dari jambatan, terbakar dan membunuh 40 orang di selatan Pakistan, semalam.

Bas terbabit membawa 44 penumpang dari Quetta di wilayah Balochistan ke Karachi di wilayah Sindh. Kemalangan itu berlaku berhampiran pekan Bela di daerah Lasbela.

- Advertisement -

Penolong Pesuruhjaya Polis di Bela, Hamza Anjum Nadeem, berkata mayat 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak berjaya ditemui, manakala empat penumpang yang cedera berjaya diselamatkan.

“Kemalangan berlaku akibat memandu laju dan bas itu merempuh tiang jambatan, kemudian terbakar sejurus terjatuh dari jambatan,” katanya.

Gambar di lokasi kejadian menunjukkan sisa bas yang hangus berhampiran jambatan. Mayat yang ditemui diletakkan dalam barisan di kawasan berhampiran.

Nadeem berkata, mayat mangsa hangus sehingga tidak dapat dikenali dan dibawa ke Karachi untuk ujian DNA. Selepas pengecaman, mayat akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Anggota bomba serta pekerja dari Amanah Kebajikan Lasbela dan Yayasan Kebajikan Edhi, terbabit dalam operasi menyelamat.

Ketua Menteri Balochistan, Mir Abdul Qudoos Bizenjo, menzahirkan rasa dukacitanya terhadap kehilangan nyawa dan mengarahkan pihak berkuasa menyediakan kemudahan perubatan terbaik kepada mangsa yang cedera.

Kemalangan jalan raya di Pakistan sering berlaku akibat melanggar peraturan lalu lintas, mengorbankan beribu-ribu nyawa setiap tahun. – AP

- Advertisement -