Beza tawar hati lelaki dan wanita

Perasaan tawar hati boleh berlaku kepada kedua-dua belah pihak, baik suami mahupun isteri - bermakna lelaki turut tidak terkecuali. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Hubungan suami isteri yang ideal, di dalamnya sentiasa ada kasih sayang dan sikap kasihan belas kepada pasangan. 

Namun, hubungan yang pada mulanya terjalin mesra boleh menjadi pudar kemesraannya itu menjadi tidak lagi harmoni disebabkan oleh sejenis perasaan dikenali sebagai tawar hati.

Perasaan jenis ini cukup sinonim dalam perhubungan lelaki dan perempuan, khususnya pasangan suami isteri. 

- Advertisement -

Tawar hati kepada pasangan ialah satu perasaan yang tidak berkemahuan lagi untuk bersama-sama  dengan seseorang, bertindak untuk tidak mempedulikannya, tidak mahu mengambil tahu, sudah tiada lagi rasa bahagia dalam rumah tangga, hati tidak merasakan apa-apa, rasa kosong, tidak merasakan keseronokan apabila bersama pasangan sehinggakan hanya mengikut sahaja (flow) dan membiarkan saja apa-apa yang ingin berlaku dalam hubungan.

Tawar hati merupakan petanda yang jelas bahawa hubungan sedang berada dalam konflik, sama ada yang sudah berkahwin atau belum berkahwin. Bila sudah tawar hati, mulalah rumah tangga menjadi dingin dan lama kelamaan membawa kepada kehancuran.

Perasaan tawar hati boleh berlaku kepada kedua-dua belah pihak, baik suami mahupun isteri – bermakna orang lelaki turut tidak terkecuali.

Namun, tawar hati dalam kaum lelaki kadang-kadang bersifat sementara tetapi kebanyakannya akan menggunakan alasan itu untuk mencari pasangan baru atau sudah bosan dengan pasangan lama. 

Berbeza dengan tawar hati seorang perempuan yang kebanyakannya masih mahu bersama-sama pasangan tetapi lebih bertindak untuk tidak mempedulikan pasangannya, meneruskan kehidupan seperti biasa tetapi hatinya sudah kosong untuk percaya dan berharap pada pasangannya itu.  

Dengan kata lain, wanita yang tawar hati terhadap pasangannya  memilih untuk melakukan hal masing-masing tetapi masih bergelar suami isteri. 

Tanda isteri tawar hati

Antara tanda isteri sudah tawar hati dengan suami ialah kurang bercakap tetapi banyak mendiamkan diri, mudah sangat berasa sensitif, cepat marah dan menjadi seorang yang berahsia. 

Isteri kebiasaannya mudah berkongsi apa sahaja dengan pasangan tetapi jika jarang meluahkan maka itu tanda tawar hati. 

Apabila isteri mula tawar hati, rumahtangga akan hilang serinya kerana isteri membawa aura tersendiri dalam keluarga. Jika dirinya tidak bahagia, seluruh isi rumahtangga turut terkesan dengan rasa tidak bahagia itu.

Perasaan tawar hati ini sekiranya tidak dicegah dari awal, akan menimbulkan pelbagai masalah. Hal ini kerana hati yang baik akan memandu setiap tindakan positif dalam kehidupan, begitu juga hati yang rosak akan menatijahkan tindakan yang negatif. 

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Antara punca berlakunya tawar hati ialah melakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan secara berulang kali, tidak mempunyai perasaan sensitif dan tidak peka dengan perasaan pasangan, terasa hati dengan perlakuan dan percakapan sehingga kecewa dengan pasangan.

Selain itu, tawar hati boleh terjadi apabila rasa tidak didengari untuk meluahkan, malah reaksinya seperti endah tidak endah sehingga lebih mencari orang luar untuk berkongsi rasa berbanding pasangan. 

Hal ini boleh terjadi apabila pasangan terlalu melebihkan kerja sehingga tiada masa untuk keluarga sendiri. Contohnya, semua tugas rumah tangga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isteri, manakala suami langsung tidak membantu kerja rumahtangga.

Apabila isteri terbeban dengan semua kerja dan tanggungjawab, isteri akan merasa sangat letih dan ini boleh menjadi tanda isteri mula tawar hati terhadap suami, tambahan lagi suami tidak mengambil peduli tentang perasaan isteri, tidak bertanya khabar, melepaskan semua kerja rumahtangga kepada isteri.

Perbuatan sedemikian bertentangan dengan sikap Rasulullah SAW kerana baginda membantu pekerjaan rumah tangga isterinya walaupun baginda seorang pemimpin umat Islam yang berjaya. 

Hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan Al-Aswad bin Yazid sebagai berkata: “Aku pernah bertanya Aisyah, apa yang Nabi buat ketika berada di rumah? Beliau menjawab, baginda membantu kerja isterinya. Kemudian sebaik mendengar azan, baginda pun keluar” (Hadis riwayat Bukhari).”

Baginda ternyata bijak dalam membahagikan masanya bersama keluarga, sama sekali tidak mengurangi darjat dan kedudukan baginda malah tidak merendah-rendahkan kemuliaan seorang isteri.

Cara tangani tawar hati

Rasa tawar hati pada peringkat awal masih boleh ditangani. Salah satu cara untuk menangani rasa tawar hati pada peringkat awal ialah dengan mengingat kebaikan pasangan seperti kenangan-kenangan indah bersama sewaktu awal perkahwinan. 

Secara tidak langsung, perkara-perkara positif tentang pasangan mendominasi kelemahan dan kekurangan pasangan.  

Sebagaimana Allah menyatakan dalam surah an-Nisa 4: 19  yang bermaksud: “Jika kamu tidak menyukai mereka maka boleh jadi Allah menyimpan kebaikan yang banyak dalam sesuatu yang kamu benci itu”.

Rasulullah SAW juga melarang suami mahupun isteri menanamkan sikap benci kepada pasangan sebagaimana sabda baginda dalam Hadis Riwayat Muslim  yang bermaksud:  “Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri). Jika dia tidak menyukai salah satu akhlaknya, hendaklah dia menyenangi akhlak yang lainnya.” 

Jelas sekali, baginda menyuruh untuk melihat, menyedari dan mengingati kebaikan lain yang ada pada diri pasangan. Bersyukur dengan kelebihan dan bersabar dengan kekurangan pasangan masing-masing.

Selain itu, suami mahupun isteri perlu mengambil berat dan peka tentang pasangan walapun hanya sebatas pertanyaan yang simple, mengingati dan melaksanakan perkara yang disukai pasangan. 

Rasulullah SAW sebagai suami yang terbaik, sentiasa menunjukkan rasa prihatin, empati dan memberi perhatian dengan keadaan isteri. 

Contohnya baginda melayani dan memanjakan isterinya yang sakit  yang sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. 

Beliau orang yang paling lembut dan banyak menemani isterinya yang sedang mengadu atau sakit. (Mutafaqun ‘Alaih).

Jangan hidup dalam berteka-teki

Suami mahupun isteri juga perlu jujur dalam berkomunikasi. Berbincang dan berterus terang. Rasulullah SAW sendiri suka berbincang dengan para isterinya tentang sesuatu perkara sebagaimana hadith nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang pada malam hari, kemudian beliau mengajak Aisyah berjalan-jalan dan berbincang-bincang. (Hadis Riwayat Muslim). 

Maksudnya, komunikasi dua hala perlu dipraktikkan. Jangan berdiam diri terlalu lama apabila dilanda konflik atas alasan tidak ingin mengeruhkan lagi keadaan. Amalkan teknik berterus-terang kerana ia mengajar untuk lebih mengenali pasangan. Elakkan dari hidup berteka-teki kerana ianya boleh mendatangkan kemudaratan pada hubungan.

Berhati-hati dan waspada juga apabila berkata-kata. Ramai isteri sering dilihat mengeluarkan kata-kata negatif yang sebenarnya akan membuatkan suami berasa tidak dihormati dan dihargai.

 Belajar untuk mengawal emosi, bertenang, berfikir dan timbang tara sebelum mengeluarkan kata-kata. Suami juga perlu menjaga intonasi suara dan emosi supaya isteri rasa disayangi dan dihormati. 

Rasulullah SAW sendiri tidak bercakap kasar dengan para isterinya, sentiasa bercakap dengan lemah lembut, suka bergurau senda, bermanis muka di depan isteri, suka bermesra dengan mereka, jauh sekali untuk memukul mereka. Walau sebesar apapun kesalahan isteri, baginda tidak pernah memukul isterinya. 

Suami juga perlu menghargai apa yang dilakukan oleh pasangan dengan sentiasa mengungkapkan terima kasih atas apa yang dilakukan. Begitu juga isteri perlu bertindak yang sama kepada suami.  

Tawan hati pasangan tawar hati

Namun, rasa tawar hati yang parah sukar untuk diubati lagi sekiranya tidak dirawat daripada awal. Lebih malang lagi, akibat terasa hati yang berterusan dan berulang kali akan mendorong kepada situasi isteri nekad untuk berpisah dan meminta cerai daripada suami.

Tawan semula hati pasangan dengan bersungguh-sungguh menampakkan usaha untuk memujuknya kembali. 

Pasangan anda adalah orang yang anda jangkakan untuk ada bersama anda sehingga akhir kehidupan. Anda tidak akan bahagia jika anda hidup dengan orang yang sudah tawar hati.

Ketahuilah apabila pasangan sudah tawar hati terlalu lama, agak sukar untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan tersebut. Cegah sebelum parah kerana tawar hati adalah perosak hubungan.

Formula terbaik dalam rumah tangga adalah mengamalkan sikap toleransi yang tinggi. Dengan cara itu, pasangan akan saling melengkapi. 

Perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kedua-duanya datang dengan kekurangan dan kelemahan. 

Jangan mencari salah pasangan tetapi sebaiknya menutupi kesalahan dengan kelebihan lain yang pasti ada pada diri pasangan. 

Juga, apabila menyayangi, jangan mengharapkan kesempurnaan kerana kesempurnaan yang sebenar adalah kesanggupan untuk melengkapkan kekurangan pasangan. Maka, masing-masinglah yang saling menyempurnakan. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

– Penulis merupakan calon ijazah kedoktoran di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -