Awasi bayang digital kita

- Advertisement -

Semalam rakyat dikejutkan dengan berita samun wang bantuan awal persekolahan di Selangor. 

- Advertisement -

Kemudian viral gambar-gambar guru dan murid di media sosial dengan wang setebal kamus di tunjukkan di atas meja, di kereta dan merata tempat lagi, dengan pelbagai hashtag mengundang tanda tanya apakah sebenarnya tujuan lemparan kemaskini di media sosial tersebut?

Literasi media sosial adalah pengenalan, penerapan dan penggunaan secara produktif sesuatu teknologi media sosial dalam sesuatu ketetapan.

Ia melibatkan hubungkait dalam literasi media sosial bagi perhatian, penyertaan, kerjasama, kesedaran rangkaian dan penggunaan kritikal.

Apabila sesuatu perkara dikemaskini dan dikongsi di ruang media sosial tanpa memikirkan kesan, kesedaran bahawa perkara itu berangkai di alam maya dan tanpa kerjasama oleh semua pihak dalam melindungi perkara tersebut, terjadilah salahguna dan cabaran keselamatan siber yang kini berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia.

Gambar-gambar anak kecil dan murid yang dikongsi tanpa kebenaran ibu bapa juga secara am telah menjadi lumrah alam maya bagi rakyat Malaysia tanpa ada rasa tanggungjwab sosial yang jelas.

Perkara ini amat membimbangkan kerana seperti yang telah dinyatakan tadi, apa sahaja yang dikemaskini dan dikongsi di ruang media sosial adalah berangkai, menarik perhatian ramai, dan boleh melibatkan tindakan diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab walaupun tujuan asal perkongsian mungkin adalah murni, contohnya #kerajaanperpaduan dan sebagainya.

Berbalik kepada kes samun wang bantuan awal persekolahan itu, apabila ramai mula mengemaskini media sosial dengan wang setebal 10 inci ini pada suatu masa dan hari yang sama, penyamun secara langsung diberi maklumat secara percuma bahawa terdapat jumlah besar wang yang sedang dibawa dari bank ke sekolah atau ke temat-tempat lain.

Mereka mungkin memerhatikan di bank-bank berkenaan ataupun mengikut pihak tertentu dari sekolah. Amat mudah untuk menyamun apabila nama sekolah tertera di media-media sosial; dan juga apabila ada pihak sekolah yang berhenti sekejap untuk minum dan sebagainya berdekatan kawasan sekolah.

Ingin ditekankan bahawa literasi media sosial ini perlu diterapkan dalam masyarakat bukan hanya bagi kes wang bantuan persekolahan tersebut tetapi bagi semua rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.

Hormatilah hak perlindungan maklumat privasi individu secara khasnya dan dekati prinsip akses terbuka dan undang-undang pengendalian maklumat secara amnya supaya kita celik dalam penggunaan media sosial dan tidak mudah tersalah guna platfom tersebut.

Ingat bahawa ada yang memerhati dan ada yang berniat jahat meskipun apa yang dikongsi tidak berbaur negatif.

Jagalah penggunaan sebaik mungkin. Apa yang dikemaskini akan meninggalkan jejak kaki digital atau bayang-bayang digital yang boleh menghantui kehidupan seharian di masa hadapan.

PROF MADYA DR ADELINA ASMAWI
Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -