Kerajaan campuran masih tidak stabil

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LANGAT: Kerajaan campuran yang ada sekarang dianggap tidak stabil kerana masih wujud konflik dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, situasi itu dibuktikan drama gangguan politik yang berlaku di Sabah baru-baru ini membabitkan parti kerajaan.

Katanya, politik di Sabah masih berlaku kacau bilau dan kerajaan negeri yang ada agak goyang.

“Kita lihat masih ada tentangan sesama mereka. Sebab itu kita tidak nampak hala tuju kerajaan persekutuan yang ada sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Adun Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Bagaimanapun lima Adun Umno tetap menyokong Hajiji. Ketua Menteri mendapat sokongan 44 Adun termasuk tujuh daripada Pakatan Harapan.

Kemelut politik itu menyebabkan Bung disingkirkan dariada jawatan Timbalan Ketua Menteri.  

Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang berkata, Selangor dan lima negeri lagi akan berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

Menurutnya masa yang dianggap sesuai bagi membolehkan PRN diadakan sebelum atau selepas Ramadan dan tidak bertembung dengan musim peperiksaan pelajar di sekolah.

“Beberapa perkara kena ambil kira yang boleh menyebabkan mobilisasi yang terhad terutama pengundi yang mengundi di Pantai Timur untuk mereka berulang alik.

“Kita tidak mahu jumlah pengundi turun. Kalau jumlah pengundi rendah ia akan memberi bonus kepada pihak lawan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat. 

Oleh itu kata beliau situasi yang lebih sesuai diadakan PRN sekitar Julai dengan mengambil kira jemaah haji sudah pulang menunaikan ibadat haji.

Sehingga sekarang enam negeri belum mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Enam negeri terbabit menangguhkan PRU15 dengan mengambil kira musim tengkujuh yang menyukarkan pengundi keluar mengundi. – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -