Diancam China: Taiwan lanjutkan khidmat ketenteraan rakyat lelaki

Barisan juruterbang jet pejuang Tentera Udara Taiwan, Mirage-2000 melangkah di atas landasan semasa latihan ketenteraan menjelang Tahun Baru Imlek, di Hsinchu, Taiwan pada 16 Januari 2019. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

TAIPEI: Taiwan mengumumkan pelanjutan perkhidmatan ketenteraan mandatori kepada kesemua penduduk lelaki  daripada empat bulan kepada setahun, susulan ancaman daripada China yang dilihat kian menganggu gugat keselamatan wilayah itu.

- Advertisement -

Beijing selama ini menganggap Taiwan yang memerintah sendiri secara demokratik sebagai sebahagian daripada wilayahnya, yang akan diambilnya semula suatu hari nanti, secara paksa jika perlu, dan rakyat di pulau itu hidup di bawah ketakutan berterusan terhadap pencerobohan China, lapor AFP.

Ancaman China dilihat olah Taiwan telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di bawah kepimpinan Presiden, Xi Jinping, dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah meningkatkan lagi kebimbangan di wilayah itu bahawa Beijing mungkin melakukan langkah yang sama untuk menggabungkan pulau itu dengan China.

“Intimidasi dan ancaman China terhadap Taiwan semakin jelas,”  kata Presiden Taiwan,  Tsai Ing-wen pada sidang akhbar selepas mesyuarat kerajaan peringkat tinggi mengenai keselamatan negara.

“Tiada siapa yang mahu berperang… tetapi saudara sebangsa saya, keamanan tidak akan jatuh dari langit,” tambahnya.

Menurutnya lagi, perkhidmatan ketenteraan selama empat bulan yang diwajibkan terhadap penduduk lelaki di Taiwan sekarang ini tidak mencukupi untuk menghadapi situasi yang pantas dan sentiasa berubah.

“Kami telah memutuskan untuk memulihkan perkhidmatan ketenteraan selama setahun mulai 2024. Keperluan lanjutan akan dikenakan kepada penduduk lelaki yang lahir selepas 1 Januari 2005,” ujar Tsai.

Perkhidmatan mandatori dahulunya sangat tidak popular di Taiwan, dan kerajaan terdahulunya telah mengurangkannya daripada satu tahun kepada empat bulan dengan tujuan untuk mewujudkan terutamanya pasukan sukarelawan.

Namun, tinjauan baru-baru ini menunjukkan lebih daripada tiga perempat daripada orang awam Taiwan kini percaya bahawa tempoh selama empat bulan itu terlalu singkat.

Tsai menyifatkan pelanjutan itu sebagai ‘satu keputusan yang amat sukar… untuk memastikan cara hidup demokratik untuk generasi akan datang di Taiwan’.

“Kita hanya boleh mengelak peperangan dengan bersiap sedia untuk berperang dan kita hanya boleh menghentikan peperangan dengan berkemampuan berperang,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 28/12/2022

- Advertisement -