Bekas ADUN Simpang Empat dilantik Speaker DUN Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Naib Pengerusi 2 Perikatan Nasional (PN) negeri Perlis, Rus’sele Eizan dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu, hari ini.

- Advertisement -

Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan itu selepas namanya dicadangkan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan disokong anggota Exco Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan.

Rus’sele, 65, sebelum ini pernah berkidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat selama sepenggal selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Ketika ditemui pemberita Rus’sele berkata, beliau berazam akan melaksanakan tugas sebaik mungkin walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Saya memanjat kesyukuran kepada Allah kerana terpilih sebagai Speaker DUN Perlis yang ke-15, mudah-mudahan saya akan melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin bagi melancarkan persidangan DUN.

“Saya berharap semua wakil rakyat mengemukakan pandangan yang menyentuh semua portfolio Exco bagi membawa suara rakyat.

“Begitu juga bagi pembangkang boleh berperanan membawa hasrat pengundi-pengundi yang memilih kita sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kesemua ahli DUN memberi sumbang saran terbaik untuk memajukan Perlis. 

Pada majlis itu juga kesemua 14 anggota ADUN penyokong kerajaan dan seorang pembangkang mengangkat sumpah sebagai ahli dewan di hadapan Rus’selee, yang mana ia didahului Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang. – HARAKAHDAILY 19/12/2022

- Advertisement -