Perihal PM10 dan judi, salamnya bersama belati tajam

KEPADA semua penyokong PAS yang mengaku mereka mahu melihat Islam tertegak di bumi Malaysia ini dengan lebih kukuh, maka ucapkanlah syukur kepada Allah, atas pengumuman Perdana Menteri ke-10 semalam berkenaan pengurangan cabutan judi daripada 22 kali kepada lapan kali. Inilah sikap kita kepada kebaikan yang selalu Presiden PAS ajarkan. Alhamdulillah, kita lihat, hasil tekanan kita, judi dikurangkan, walaupun Perdana Menteri ke-10 masih lagi gagal menghapuskan sepenuhnya sebagaimana yang PAS laksanakan.

Advertisement

Tidak pernah lagi pengumuman sebegini dibuat, mengatasi segala pengumuman seusai mesyuarat Kabinet. Kerajaan terpaksa menunjukkan penerapan nilai-nilai Islam kerana kekuatan PAS dan rakan-rakannya dalam memperjuangkan Islam. PH takut rakyat membandingkan keislaman kerajaannya dengan Kerajaan PAS. Sekali lagi alhamdulillah. Dalam masa yang sama, Presiden PAS telah ke balai polis bagi memberikan keterangan kepada pihak berkuasa, berkenaan ucapan beliau yang didakwa sebagai melanggar undang-undang. Kelihatan pegawai penyiasat gembira berswafoto dengan beliau.

Teringat dahulu, sewaktu zaman Tun Mahathir, Akta Hasutan digunakan dengan begitu meriah sekali, di sana sini, bagaikan pesta bagi menangkap musuh politik BN. Sudah lama ia tidak kedengaran. Mungkinkah ia akan kembali menunjukkan wajahnya? Kita tidak dapat lari dari prasangka apabila pengurusan TikTok telah dipanggil oleh Menteri kerana kandungan aplikasi itu dikatakan sebagai membawa mudarat kepada rakyat. Atau kepada PH sebenarnya? Mengapa pengguna Twitter yang terang-terangan menghina Allah tidak pula disiasat? Sementara ada kuasa, buatlah apa yang disuka.

Demi sahaja diumumkan cabutan judi itu, penyokong PH gegak gempita mereka menyambutnya. Bukan untuk mensyukuri, tetapi untuk membelasah PAS. Lalu dibangkitkan cabutan di zaman PN dan PAS (mereka sengaja meletakkan nama PAS) adalah 22 kali dan mereka hanya lapan kali. Mereka merasa begitu bangga dan lebih Islam daripada PAS, jauh lebih sempurna keislaman mereka, puas hati, biar PAS rasa. Namun candu kegembiraan mereka itu sekejap sahaja kesannya, kurang ‘power’ sebab jawapan Menteri di Parlimen, menunjukkan cukai judi 2019 di zaman PH adalah tertinggi iaitu sebanyak RM3.43 bilion.

Pimpinan PH tahu candu itu buat pengubat luka sementara, setelah pembohongan mereka dalam PRU lalu, terutama mengambil BN dan melantik Zahid menjadi Menteri, menyebabkan kekecewaan yang amat sangat dirasai pengundi mereka. Lalu candu kedua dengan dos yang lebih tinggi diberikan. Kata Perdana Menteri ke-10, kemungkinan PN mendapat dana PRUnya, daripada ‘tauke’ judi. Sekali lagi bertepuk tangan dan kaki penyokong PH. Mereka terpaksa percaya dongengan itu, jika tidak, tiadalah kegembiraan mereka.

Sedangkan ketika PN dikatakan akan menang PRU, saham-saham judi dan arak telah jatuh dengan teruk, berbilion ringgit. Berita itu ada di dalam Bloomberg. Namun ia kembali naik setelah PH disahkan menang dan menjadi kerajaan. Pak Pandir pun tidak akan percaya yang pengusaha judi akan memberikan dana kepada PN yang ada PAS di dalamnya, untuk PAS menghapuskan lesen judi mereka. Gila jenis apa ni? Kerana PAS telah membuktikan, dengan kuasa penuh, semua tiga negeri PAS, telah mengharamkan judi.

Ia sama sahaja dengan kisah RM90 juta dahulu. Orang yang sama membawa cerita, masa itu belum menjadi Perdana Menteri ke-10, dia menuduh PAS menerima duit Umno sebanyak RM90 juta dengan membaca bahan bukti, terhendap-hendap mengadap kertas yang hitam legam terlebih karbon itu. Umno memberikan duit kepada PAS untuk membunuh Umno. Kau rasa? Tetapi malang kepada penyokong PH, kerana ketagihan fitnah itu, menyebabkan mereka hilang punca. Itulah kebenaran bagi mereka.

Keangkuhan Menteri PH dalam menangani isu-isu pasca PRU, ibarat membalas dendam, maka amat jauhlah untuk rakyat mengharapkan akan keseimbangan layanan kepada pembangkang nanti. Dalam masa Perdana Menteri ke-10 menyeru agar diberi peluang memerintah, Menteri PH pula memburu musuhnya. Kita yakin ia tidak akan lari jauh daripada sikap beliau yang menekan PAS dahulu. Waktu zaman kegilaan membelasah PAS, sekitar 90-an itu, Perdana Menteri ke-10 masih bersama Tun, sehinggakan menyindir almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkenaan kegagalan pengurusan air di Kelantan. Kita menunggu bagaimana pula isu royalti nanti.

Jauhlah dengan sikap PAS, yang ketika menjadi Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan dua kali menyertai barisan Kerajaan Pusat, langsung tidak menunjukkan sikap dendam kepada musuh. Malah peruntukan negeri diberikan sama sahaja kepada ADUN Umno. Inilah sikap Rasulullah yang PAS ikuti ketika ‘Fathul Makkah’. Masuk dengan tunduk dan tawaduk, memaafkan semua musuh, kecuali yang Allah tetapkan untuk dibunuh. Bertasbih, bertahmid dan beristighfar dengan kemenangan. Ya Allah, jauhilah kami semua dari takabur, sombong dan dendam ketika mendapat jawatan dan pangkat. Amiin.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 6/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.