Bayangan Anwar: Hariri tak perlu nampak terlalu bersungguh

- Advertisement -

KETUA Pemuda Umno Kelantan, saudara Noor Hariri tidak perlu nampak bersungguh terhadap bayangan Anwar Ibrahim berkenaan dana pilihan raya PN dari syarikat judi. Jika Hariri mahu beriman dengan bayangan kosong Perdana Menteri ke-10, adalah lebih baik beliau benar-benar beriman dengan kes Zahid Hamidi yang bukan lagi bayangan.

- Advertisement -

Pada saya tiada salahnya arahan semakan yang dibuat oleh seorang Perdana Menteri yang sah, walaupun dengan sokongan minoriti terhadap pentadbiran melibatkan kewangan kerajaan. Ia sememangnya perlu, tetapi yang tidak tepatnya adalah membuat bayangan atas sesuatu yang belum lagi disemak apatah lagi disahkan. 

Perdana Menteri ke-10 atas keabsahan jawatannya memimpin kawan dan lawan tidak sesuai menggunakan kuasa bayangan dan membuat kenyataan atas bayangan beliau sendiri kerana beliau memiliki segala sumber rujukan rasmi sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Bak kata pimpinan PAN, bomba ada, polis ada, gerak-gerak khas pun ada.

Barangkali terlalu lama meninggalkan pentadbiran kerajaan sejak 1998 dan sentiasa retorik dengan kelicikan politik, Anwar tidak dapat membezakan antara profesionalisme pentadbiran dan permainan politik yang ‘nampak atas darat’ cubaan mengulangi politik persepsi sebagaimana zaman pemerintahan PH 22 bulan. Barangkalikah begitu?

Lupakan bayangan Anwar Ibrahim, kerana banyak lagi bayangan rakyat terhadap beliau jika dikutip di media sosial setelah PRU. Sebanyak mana barangkali bayangan beliau terhadap duit PN yang dibayangkan membayar anak-anak muda di Tiktok hari ini, walhal tidak lagi jadi kerajaan. Mahu ketawa saya selaku anak muda.

Pesan saya pada saudara Hariri, politik atas kuasa bayangan hanyalah ilusi dan persepsi. Di saat PN telah tekad untuk berfungsi sebagai semak imbang kepada kerajaan demi kepentingan negara, harapnya gabungan parti yang membentuk kerajaan dapat menjalankan tugas seadilnya. 

Sekali lagi, Hariri tidak perlu nampak terlalu ‘try hard’ terhadap sekadar bayangan Anwar yang tidak jujur dengan situasi. Hariri sendiri seharusnya tahu, dinamika anak muda tidak terbatas bayaran, apa lagi bayangan.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -