Tanah runtuh atas lebuh raya penuh kenderaan: 30 hingga 50 hilang

Imej dari udara yang dikeluarkan perkhidmatan kecemasan menunjukkan kerosakan akibat tanah runtuh yang menimbus sebahagian lebuh raya yang penuh dengan kenderaan di Parana, Brazil ketika kejadian pada 30 Nov 2022. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

BRASILIA, Brazil: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas tanah runtuh memusnahkan bahagian lebuh raya di selatan Brazil, menimbus kira-kira 15 buah kereta dan enam buah lori yang berada di lokasi kejadian.

- Advertisement -

Pegawai kerajaan tempatan dalam satu kenyataan berkata, aliran lumpur mengalir deras menuruni lereng bukit yang curam dan melanda lebuh raya BR 367 pada Rabu (30 Nov) waktu tempatan selepas hujan lebat berhari-hari di negeri Parana, lapor Reuters.

“Sukar untuk mengetahui jumlah sebenar mangsa. Sebuah kenderaan boleh memuatkan satu hingga lima orang di dalamnya. 

“Kami sedang berusaha dengan anggaran 30 hingga 50 orang hilang,” kata ketua respons kecemasan tempatan, Manoel Vasco pada sidang akhbar.

Roberto Justus bersama ahli keluarganya. (FOTO: Revista Ana Maria)

Imej dari udara yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan menunjukkan tompok besar lumpur coklat yang menghanyutkan segala-galanya di laluannya, termasuk sebahagian besar lebuh raya dan kenderaan yang berada di atasnya.

Pekerja penyelamat berkata,  cuaca buruk dan lokasi terpencil menyukarkan usaha mencari dan mereka a menggunakan dron dengan kamera pengesan haba dengan harapan mencari mangsa yang terselamat.

Mayat ditemui, Datuk Bandar terselamat

Dua mayat telah ditemui setakat ini, dan enam mangsa berjaya diselamatkan, termasuk Datuk Bandar bandar pantai Guaratuba, Roberto Justus.

Tragedi mengerikan ini berlaku di lebuh raya BR 367 akibat hujan lebat yang melanda selama beberapa hari di negeri Parana, Brazil. (FOTO: Channels Television)

“Ia amat mengerikan. Gunung itu jatuh menimpa kami. Ia menghanyutkan setiap kereta terakhir. Kami hanya hidup dengan rahmat Tuhan,”  kata Justus, dalam video yang disiarkan di media sosial.

Brazil kerap dilanda tanah runtuh yang membawa maut yang mana pada Februari tahun ini, lebih 200 orang terbunuh dalam satu siri tanah runtuh di bandar pelancongan Petropolis di tenggara Brazil. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -