Momentum PRU15 diyakini kekal hingga PRN 2023

Takiyuddin beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis majlis kesyukuran kemenangan PRU15 peringkat Parlimen Kota Bharu pada 1 Dis 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/Rizal Tahir)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas 32 tahun rakyat Kelantan sekali lagi mengulangi sejarah menolak sepenuhnya Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Rekod pertama berlaku pada Oktober 1990 di mana rakyat Kelantan menolak BN di kesemua 39 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 parlimen di negeri itu.

Dan selepas 32 tahun kemudian sekali lagi rakyat Kelantan menolak Umno dan BN di kesemua 14 kawasan parlimen. Malah kubu Umno di Gua Musang pun roboh. 

Ahli Parlimen Kota Bharu Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, sejarah serupa berulang semula apabila rakyat menolak sepenuhnya Umno dan BN pada PRU15, 19 November lepas.

“Syukur alhamdulillah nampaknya sejarah telah dicipta lagi, di mana Rakyat Kelantan sekali lagi dengan penuh kesedaran memberi kemenangan kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRU15,” katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan PRU15 peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Dato’ Dr Johari Mat, pimpinan PAS, Bersatu, Dewan Himpunan Pendukung PAS Kelantan (DHPP) dan masyarakat bukan Islam.

“Momentum yang berlaku itu diyakini akan terus kekal pada pilihan raya negeri yang akan diadakan menjelang tahun hadapan (2023),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -