Wakil rakyat PN perlu dilibat tadbir urus daerah Kuantan

- Advertisement -

WAKIL-wakil rakyat daripada PERIKATAN NASIONAL perlu dilibatkan (engaged) dalam hal-ehwal berkaitan tadbir urus daerah Kuantan.

- Advertisement -

Ini termasuk perkara-perkara seperti rancangan pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur, penyediaan kemudahan awam, pengurusan aduan awam dan pemeliharaan kepentingan awam. 

Antara platform yang perlu digunakan untuk tujuan ini termasuk melalui Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) Kuantan serta keanggotaan sebagai ahli Majlis Bandaraya Kuantan.

Gesaan saya ini bertepatan dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Pemangku Raja Pahang supaya Kerajaan Negeri Pahang menghormati prinsip demokrasi dan mengiktiraf mandat rakyat.

KDYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ‘yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua’, manakala KDYMM Pemangku Raja Pahang pula menitahkan supaya fokus diberikan kepada iltizam untuk mengenepikan sentimen politik kepartian.

Keputusan PRU baru-baru ini menunjukkan hampir separuh rakyat Kuantan memberikan kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL.

2 daripada 3 kerusi Parlimen dalam daerah Kuantan dan 5 daripada 8 kerusi DUN dimenangi oleh PERIKATAN NASIONAL. Begitu juga DUN Pulau Manis yang walaupun terletak di bawah Parlimen Pekan tetapi merangkumi sebahagian kawasan dalam daerah Kuantan.

45 peratus daripada jumlah keseluruhan undi di 9 kerusi DUN tersebut diberikan kepada PERIKATAN NASIONAL.

Pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh memejamkan mata kepada angka-angka ini dan perlu sedar bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada kami selaku wakil-wakil mereka untuk mengangkat suara dan kepentingan mereka dalam pentadbiran daerah ini.

Sidang Dewan Negeri sahaja tidak mencukupi, kami berhak diberikan ruang yang lebih untuk bersuara dan berperanan bagi pihak rakyat.

Saya bersama YB Ustaz Rosli Abd Jabar (Tg Lumpur), YB Ustaz Tarmizi Yahya (Panching) atau wakil-wakil kami sebelum ini diberikan hak untuk menghadiri Mesyuarat JKTD Kuantan yang menghimpunkan wakil-wakil daripada hampir seluruh jabatan dan agensi pentadbiran daerah.

Kami menghargai hak yang diberikan tersebut dan memanfaatkan sepenuhnya untuk mengenengahkan hal-hal berkepentingan awam termasuk cadangan dan aduan awam.

Dan kami amat berterima kasih atas respon dan kerjasama yang baik daripada jabatan atau agensi kerajaan atas perkara-perkara yang diketengahkan.

Hak ini bagaimanapun ‘dirampas’ selepas kira-kira dua tahun yang saya percaya atas faktor sentimen politik kepartian. Tempat kami dalam mesyuarat tersebut diganti oleh ‘Penyelaras DUN’ daripada Umno atau Barisan Nasional.

Begitu juga keanggotaan sebagai Ahli MBK yang saya lihat lebih kepada pelantikan politik yang tidak banyak membantu MBK dalam pentadbiran dan perkhidmatan mereka. Ahli-ahli MBK sepatutnya boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani cadangan, rungutan dan luahan daripada masyarakat berkaitan bidang tugas MBK.

Sehubungan dengan itu, saya menggesa pentadbiran kerajaan negeri membuka ruang yang lebih kepada wakil-wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL – bukan sahaja di Kuantan, malah juga di daerah-daerah lain seluruh negeri – sebagaimana mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Tindakan tidak rasional dengan sentimen kepartian sempit sebenarnya bukan menyusahkan kami, tetapi ‘mendera’ rakyat yang akhirnya akan lebih kenal ‘hati budi’ parti pemerintah.

Jangan ulangi tindakan ‘kebudak-budakan’ seperti tidak mengiktiraf tandatangan pengesahan wakil-wakil rakyat pembangkang untuk permohonan biasiswa Yayasan Pahang seperti yang diamalkan sebelum ini. Rakyat yang memerlukan terpaksa bersusah payah ‘mencari di mana Penyelaras DUN yang tidak bermandat’ hanya untuk mendapatkan tandatangan.

Jabatan atau agensi kerajaan pula harapnya ‘tidak dihalang’ dari membuka pintu kepada wakil-wakil rakyat PERIKATAN NASIONAL terutama yang baru terpilih.

Saya dan sahabat-sahabat telah membuktikan dalam penggal lalu bahawa kami sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada pentadbiran daerah dan negeri demi untuk kepentingan hal-ehwal rakyat.

Insya-Allah, dengan jumlah yang lebih ramai kali ini kami yakin boleh memberikan kerjasama dan sumbangan yang lebih padu untuk kemajuan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.

ANDANSURA RABU – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -