5,987 petugas bersiap hadapi banjir di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 5,987 petugas bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di Kelantan pada musim tengkujuh sekarang.

- Advertisement -

Petugas dan peralatan terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba dan Penyelamat, PDRM, RELA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 agensi lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, mereka akan digerak bersama 6,000 pelbagai aset termasuk kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan lain.

Selain itu jumlah Pusat Penempatan Sementara (PPS) sebanyak 442 yang mampu menampung kapasiti 170,180 orang.

“Memandangkan Kelantan masih menghadapi Covid-19, kapasiti PPS dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi mencegah penularan jangkitan.

“Kerja-kerja pembaikian di 119 PPS dilaksanakan dengan kos kira-kira RM2.2 juta. Peruntukkan itu disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya menjawab soalan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) pada sidang DUN hari ini.

Mengenai persiapan bekalan makanan Mumtaz berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebuah depot simpanan keperluan bencana (DSKB), 17 stor bencana di peringkat negeri, daerah, mini depot, kontena dan 156 pengkalan hadapan di seluruh Kelantan.

Selain itu, katanya kerajaan melantik 65 pembekal barangan makanan kering dan 106 pembekal pek makanan siap masak di semua jajahan.

Menurutnya juga kerajaan negeri mengeluarkan surat peringatan kesiapsiagaan kepada agensi-agensi kerajaan yang terletak di kawasan rendah supaya menyimpan rekod di tempat yang lebih selamat.

“Kerajaan negeri juga mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) sebanyak dua kali iaitu pada 7 September dan 15 September 2022.

“Di peringkat jajahan juga turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang bermula 14 Jun hingga 13 Oktober lepas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -