Ke zaman mana Anwar hendak bawa Malaysia?

- Advertisement -

MAAF Datuk Seri, saya nak bertanya. Tapi harap jangan disaman atau dibuat laporan polis. Maksud kenyataan Datuk Seri ‘Kembali ke tahap yang pernah dicapai sebelum ini’ merujuk kepada zaman bila tu Datuk Seri?

- Advertisement -

Saya tidaklah menjangkakan Datuk Seri bermaksud kembali ke zaman Allahyarham Tunku atau Tun Razak mahupun Tun Hussein Onn. Kerana kita sedia maklum, zaman itu Malaysia masih merangkak mahu mencari nama bagi memperkenalkan diri ke persada dunia. 

Masih susah dan sumber kita masih terhad. Saya yakin Datuk Seri juga sedar akan keadaan Malaysia waktu itu.

Adakah kita kena kembali ke zaman Tun M yang kumpulan Datuk Seri gelarkan beliau sebagai Maha Firaun dahulu. Di mana dikatakan penuh dengan penyelewengan seperti Skandal Forex ketika Datuk Seri sebagai Menteri Kewangan waktu itu.

Juga isu Perwaja, BMF, Maika Holdings, PKFZ, amalan kronisme dan nepotisme sebagaimana yang disebutkan oleh Ketua Pemuda Umno dalam PAU. Iaitu sebelum Datuk Seri dipecat dari Umno, tak lain tak bukan, anak murid Datuk Seri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi tu. ‘Bail-out’ syarikat Mirzan, anak Tun M? Zaman inikah?

Atau zaman Pak Lah, yang Datuk Seri melabelkan beliau sangat lemah mentadbir kerana antara kelemahannya cepat tertidur. Bagaikan tiada apa kebanggaan atas pemerintahan beliau, kemudiannya sering diserang Tun M.

Atau ke zaman Datuk Seri Najib, yang Datuk Seri sendiri melihat beliau telah dihukum kerana skandal 1MDB itu?

Tidak juga saya meyakini Datuk Seri merujuk zaman Tun M menjadi Perdana Menteri kali kedua kerana Datuk Seri sendiri menurut ceritanya meminta disegerakan peralihan kuasa kepada Datuk Seri. 

Dan pastinya zaman Tan Sri Muhyiddin juga bukan zaman yang dirujuk, musuh Datuk Seri dan juga Malaysia bermasalah dengan COVID-19. Zaman Datuk Seri Ismail Sabri, mestilah juga bukan, sebab beliau Perdana Menteri paling singkat.

Maaf Datuk Seri, bagi mengelakkan kekeliruan, mungkin Datuk Seri boleh jelaskan zaman mana yang mahu rakyat dibawa kembali ini? Dengan itu kakitangan kerajaan boleh mensasarkan hasrat Datuk Seri itu secara efisien. 

Harap jangan disaman saya yang dhaif ini Datuk Seri. Tenkiu.

MOHD NASIR ABDULLAH
30 November 2022 – HARAKAHDAILY 30/11/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -