Politik ‘Islamophobia’ pasca-PRU15

- Advertisement -

PASCA-PRU15 menyaksikan tohmahan dan fitnah serta sentimen ‘Islamophobia’ terhadap Islam dan PAS kembali berlegar. Budaya dengan kaedah kempen yang berbentuk hasutan ‘Islamophobia’ seperti ini telah lama berlanjutan. 

- Advertisement -

Ia menimbulkan suatu persepsi tidak baik yang tidak benar seperti dakwaan terhadap agama Islam itu sendiri. Sedangkan Islam telah berabad meraikan dan melindungi masyarakat majmuk negara ini. Ianya dijadikan mainan politik untuk meraih sokongan, tetapi mengakibatkan perpecahan kaum di Malaysia.

Politik ‘Islamophobia’ Barat

Politik ‘Islamophobia’ bukan sahaja berlaku di Malaysia kini. Bahkan telah lama berlaku di 25 negara Eropah dan telah dilaporkan oleh Political, Economic and Social Research (SETA). Gerakan fobia terhadap Islam ini semakin menyusup ke dalam gerakan politik, media, politik jalanan dan bidang perniagaan.

Ia dilapor telah menimbulkan pengasingan anak-anak muda Muslim Eropah yang lahir di negara-negara Eropah di mana dipinggirkan atas dasar agama. Eropah menimbulkan persepsi Islam sebagai agama radikal di mana persepsi itu tidak dikawal dan bebas berleluasa di media dan internet.

Sentimen anti-Islam UK semakin kuat selepas kemenangan parti Konservatif pada tahun 2015. Gerakan anti-Islam di UK turut didukung kuat oleh The Henry Jackson Society (HJS). Pertubuhan ini kerap membawa agenda pro-Israel serta menganjurkan aktiviti-aktiviti bersifat anti-Islam. 

Ia juga merebak pada sektor perniagaan yang menunjukkan wanita Muslim yang memakai tudung sukar mendapat peluang pekerjaan di Eropah. 

Sejarah ‘Islamophobia’ Barat

‘Islamophobia’ Barat bermula secara serius pada tahun 1063 apabila Paus Alexander II telah memberi restu kepada masyarakat Kristian di Iberia untuk melancarkan perang terhadap orang Islam. Beliau mengurniakan satu panji khusus serta pemberian pengampunan khusus kepada mereka yang terbunuh ketika perang. 

Untuk menunjukkan ketaatan, tercetuslah Perang Salib Pertama. Perkara ini telah memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh penganut Kristian sehingga mereka berlumba-lumba untuk menarik sokongan umum. Ia menyebabkan satu bentuk kesedaran spiritual Kristian dan timbulnya minat awam yang kuat terhadap agama. 

Ini diperkuatkan dengan propaganda keagamaan, dan sokongan untuk Perang Yang Adil untuk merampas semula Tanah Suci termasuk Baitulmuqaddis setelah pembukaan oleh Kerajaan Islam demi menerangi yang jahil dan menghentikan penindasan. 

Pembukaan oleh Kerajaan Islam semenjak abad ke-7 ke atas tanah-tanah di Eropah telah dijadikan alasan tambahan untuk meneruskan perang terhadap Islam. Sedangkan ketamadunan Barat juga hasil dari ilmu pengetahuan dan ajaran serta kepimpinan Islam. Islam yang mengubah Barat dari fasa kegelapan kepada kegemilangan. 

Perang Salib telah berterusan dengan sembilan siri perang yang utama. Eropah menjadikan pembukaan itu sebagai alasan utuh menularkan sentimen ‘Islamophobia’ melampaui keadaan sebenar yang terjadi biarpun telah 100 tahun berlalu. 

Zaman telahpun berubah dan sejarah telah membuka mata ramai bahawa Islam adalah sumber ilmu pengetahuan yang diceduk Barat untuk memajukan peradabannya hingga hari ini. Sayangnya Eropah tidak begitu ‘jantan’ mengakui akan kebaikan dan manfaat ilmu Islam terhadap mereka.

Ia semakin menular rentetan peristiwa 11 September 2001. Pengganas telah melanggar bangunan World Trade Centre (WTC) dan Amerika menuduh serangan daripada pengganas yang beragama Islam tanpa bukti kukuh.

Penyebab globalisasi anti-Islam

‘Islamophobia’ hanyalah ekspresi dari ketidakjujuran dan inferioriti Barat terhadap peradaban Islam. Mimpi buruk yang dicipta Barat ini adalah hasil ketakutan dan ketidakjujuran terhadap Islam. Di samping nilai-nilai kebaikan Islam dan silaturahim telah dinatijahkan sebaliknya. 

Mereka menimbulkan ketakutan, ketidakjujuran, kecurigaan dan rasa permusuhan yang tidak jelas asal-usulnya. Akibat daripada gerakan dan sentimen anti-Islam Barat ini, telah menimbulkan kebencian terhadap Muslim termasuk negara Asia-Pasifik. Di Myanmar dengan kezaliman terhadap bangsa Rohingya, Uyghur di China dikawal kebebasannya, masyarakat Islam di India dinafi haknya, dan banyak tempat lain lagi. 

John Louis Esposito, seorang profesor urusan Antarabangsa dan pengajian Islam di Universitas Georgetown pernah mengulas perkara ini. Beliau telah menyatakan kepada Anadolu Agency, larangan berhijab terhadap wanita Muslim di Perancis, dan India juga tempias dari sentimen dari Barat itu.

Kesalahan Dunia Barat dikaburi dengan ‘Islamophobia’

Banyak kesalahan Dunia Barat mahu dipadamkan dengan menyalahkan Islam serta menakutkan dunia dengan keganasan yang kononnya dicetuskan oleh orang Islam. Walau tidak dinafikan terdapat pengganas dalam kalangan umat Islam tetapi bilangannya terlalu sedikit.

Walhal, keganasan yang dilakukan oleh Barat menghancurkan Dunia Islam mahupun menyebabkan jutaan umat Islam terbunuh akibat tindakan mereka adalah terlalu banyak dan boleh dikaji secara mendalam kerana ia berlaku sejak berkurun abad lamanya. Seperti yang berlaku di Bosnia, Afghanistan, Iran, Iraq, dan Palestin.

Wabak ‘Islamophobia’ di Malaysia

Wabak ini bahkan terjadi oleh pihak tertentu dalam kempen politik mereka untuk menjatuhkan pihak parti lawan yang ingin membawa Islam, sekali gus menimbulkan sentimen ‘Islamophobia’ pasca PRU15 di Malaysia. 

Kenyataan tuduhan seperti ‘menyokong PAS negara akan menjadi Taliban atau Afghanistan’ itu menimbulkan ketakutan masyarakat terutama masyarakat Cina dan pelbagai kaum. Ugutan jika menyokong PAS, ‘orang Cina tak boleh hidup dan berniaga’ seperti yang didakwa pemimpin DAP giat dimomokkan. 

Ditambah pula dengan kenyataan Superman Hew yang sangat rasis terhadap orang Islam Malaysia. Beliau menyatakan ingin memecah-belahkan orang Melayu dan Islam. Kerana menurutnya, jika orang Islam berkuasa, orang Cina tak dapat hidup.

Semuanya merupakan bentuk tuduhan tak berasas yang diselewengkan tanpa bukti.

Islam dan PAS ada penyelesaian

Islam sebenar adalah tidak radikal dan tidak ekstrem yang ilmu dan pengamalannya dibawa ke dalam politik di Malaysia bertujuan untuk memulihkan kebejatan salah laku terlalu lama hingga menjadi budaya membarah dalam pentadbiran Malaysia. 

Sedangkan, Islam dan PAS mengutamakan kedamaian dan melindungi hak semua. Ini sepertimana ajaran Nabi S.A.W telah mewajibkan umat Islam agar memelihara kepentingan, keamanan dan keselamatan orang bukan-Islam yang berada di bawah pentadbiran negara Islam.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang menyakiti orang Zimmi, maka dia telah menyakitiku. Sesiapa yang menyakitiku, maka dia telah memerangi Allah.”

 (al-Tabrani)

Rasulullah S.A.W juga telah meletakkan asas yang penting serta jelas dalam neraca menyantuni isu kepelbagaian kaum. Baginda S.A.W bersabda di dalam khutbah beliau yang terakhir yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu, bapa kamu satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan-Arab, dan (sebaliknya) tiada kelebihan orang bukan-Arab ke atas orang Arab, tiada kelebihan orang berkulit coklat berbanding orang berkulit hitam, atau (sebaliknya) tiada kelebihan orang berkulit hitam berbanding orang berkulit gelap melainkan dengan takwa.”

(al-Tabrani)

Ini boleh dibuktikan dengan keamanan serta keharmonian masyarakat bukan-Islam yang hidup di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bebas tinggal dan bebas beraktiviti, bekerja mahupun berniaga. Masyarakat bukan-Muslim juga amat berterima kasih atas penutupan pusat judi dan pencegahan leluasa penjualan arak yang telah menyelamatkan rumahtangga mereka.

Islam telah meletakkan panduan bahawa kepelbagaian kaum yang ada mestilah dijadikan sebagai kelebihan bagi sesuatu negara dan bukan sebagai punca perbalahan dan perpecahan.

Kepelbagaian kaum ini perlu dijadikan sebagai kekuatan serta diurus dengan bijaksana oleh pemimpin berwibawa, dan pastinya akan menghasilkan kekuatan yang pelbagai dan berdaya saing. Juga mampu membawa negara kita ke peringkat Antarabangsa dalam pelbagai aspek seperti sukan, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.

Pentadbiran Islam menjadi contoh

Negara yang sangat membangun dan maju pada hari ini bukanlah negara Barat seperti Amerika. Barat sedang berdepan masalah jenayah dan penyakit yang belum berkesudahan. Begitu juga bukanlah China mahupun Taiwan. India pun bukan. 

Negara-negara besar ini masih mengalami masalah masing-masing di negara mereka yang tidak dapat menandingi kesejahteraan yang ada di negara Islam. Namun negara yang pesat membangun boleh lihat adalah seperti Qatar, Dubai, UAE, Abu Dhabi.

Ketika ini sedang diperkatakan mengenai Piala Dunia FIFA yang berlangsung di Qatar. Hangat juga diperkatakan Qatar mengenakan undang-undang dan syarat ketat ke atas pemain-pemain dan penyokong-penyokong yang ingin masuk ke Qatar. 

Ini adalah disebabkan beberapa peraturan yang dikuatkuasakan oleh Qatar seperti tidak dibenarkan kapten pasukan memakai lilitan lengan berlogo LGBTQ ‘OneLove’. Juga tidak dibenarkan mengibar bendera serta memakai baju dan seumpamanya yang mempamerkan ‘Pride Flag’ atau ‘Rainbow Flag‘ (corak bendera LGBTQ). Termasuk tidak dibenarkan penjualan minuman beralkohol di stadium-stadium. 

Disebabkan inisiatif tersebut, Qatar juga menerima kecaman hebat daripada peminat-peminat bola sepak terutamanya pelbagai tuduhan buruk dilemparkan. Berlaku gerakan untuk memboikot Qatar disebabkan penguatkuasaan undang-undang tersebut. 

Organisasi LGBTQ dari seluruh dunia telah mengkritik hebat FIFA dan Qatar dan semua pemain pasukan Jerman sebelum bermulanya perlawanan menentang Jepun dalam sesi bergambar telah menutup mulut mereka sebagai tanda protes terhadap larangan pemakaian lilitan lengan ‘OneLove’.

Seharusnya Barat mengambil iktibar kehebatan, kecanggihan dan pembangunan Qatar serta penetapan undang-undang yang ketat itu telah memberi kebaikan kepada masyarakat dan kelancaran pentadbiran. 

Negara Barat patut malu untuk bertindak sedemikian, memandangkan negara yang mereka kritik itu, merupakan negara pertama dalam dunia mendapat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi mengikut sumber Tabung Kewangan Antarabangsa dan sumber CIA World Factbook.

Tanpa perlu melihat jauh, di dalam Malaysia pun jika dilihat prestasi setiap negeri dalam berhadapan pandemik dan keruncingan ekonomi negara sedunia, Kedah mampu membawa masuk RM68.3 bilion pelaburan pada tahun 2021. Iaitu tertinggi antara semua negeri tidak sampai sepenggal mengambil alih negeri itu. 

Terengganu pula merekodkan hasil RM1.2 bilion bagi tahun 2021 dan pemulihan-pemulihan projek GLC yang terbengkalai dan telah pun menerima keuntungan berjuta ringgit. Tambahan pula, dalam sepenggal mampu melangsaikan RM427.78 juta hutang negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan dan menunaikan 100 peratus manifesto.

Rekod-rekod ini bahkan tidak dicapai oleh negeri-negeri paling membangun dalam Malaysia seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. 

Menjamin kesejahteraan pelbagai kaum

Begitulah nilai serta prinsip agama Islam yang menjamin kesejahteraan masyarakat pelbagai kaum di atas muka bumi ini. Islam telah berpengalaman memerintah ribuan tahun dan terbukti tidak pernah menzalimi kaum minoriti atau kaum agama lain bahkan telah menjamin hak mereka selayaknya.

Islam hadir di atas muka bumi ini sebagai kunci utama kepada perpaduan nasional bagi sesebuah masyarakat dan bukannya sebagai pencetus kepada suasana huru-hara serta pergeseran antara kaum. 

Mereka yang sentiasa meniupkan api sengketa perkauman sempit di negara kita ini hakikatnya bukanlah membawa mesej Islam bahkan mereka sedang memusuhi agenda Islam. 

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Al-Salam adalah salah satu dari nama Allah S.W.T. Dia menurunkannya di dunia sebagai penghargaan kepada orang Islam dan keamanan kepada orang bukan-Islam (Ahli Zimmah).”

(al-Tabrani)

Ketengah politik Islam PAS, bukan ditakutkan

Di Malaysia, orang Islam yang ingin lebih mendalami dan mengamalkan ajaran Islam sama ada pada perkataan, perbuatan mahupun pemakaian dilihat sebagai sesuatu yang janggal. Juga dianggap keterlaluan termasuklah pendekatan politik Islam yang sedang dibawa oleh PAS. Sedangkan yang ingin dibawa adalah ajaran Islam yang sebenar.

Politik yang memburukkan PAS dan Islam secara tidak berasas dan tiada bukti sedemikian jika tidak dicegah pada hari ini, perasaan kebencian akan timbul. Permulaannya hanya kepada PAS, namun akan datang kebencian boleh menular kepada semua orang Islam di Malaysia seperti yang berlaku di Eropah dan India dengan ‘Islamophobia’nya.

Justeru, penerangan-penerangan perlu dibuat secara bersama oleh semua umat Islam di Malaysia terhadap rakan-rakan bukan-Muslim mengenai Islam yang sebenarnya. Iaitu jugalah dengan mengajak kepada kedamaian dan keharmonian serta kemakmuran. Politik ‘Islamophobia’ pasca-PRU15 tidak mencerminkan keadaan sebenar hakikat pemerintahan Islam dan tidak menguntungkan negara kita.

Membenarkan orang Islam mengamalkan ajarannya yang sebenar adalah penyelesaian kepada masalah salah laku dalam pentadbiran dan juga merupakan suatu bentuk pemulihan ekonomi negara dan menjadi penyelesaian kebejatan sosial.

Program-program serta lawatan-lawatan ke Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu dijalankan bagi memberi gambaran bentuk pemerintahan Islam yang melindungi hak bukan-Islam serta keamanan dan kemakmuran yang disuburkan. 

Mencegah penularan wabak ‘Islamophobia’ merupakan tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia dan bukan hanya di atas pundak PAS. Tidakkah kita ingin membangun dan makmur seperti Qatar?

QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 28/11/2022

Rujukan:

1.    https://iluminasi.com/bm/memahami-masalah-islamophobia-di-eropah.html 

2.    https://books.google.com.my/books?id=1YKmCQAAQBAJ&pg=PA69&lpg=PA69&dq=politik+islamophobia&source=bl&ots=35UYrHZTct&sig=ACfU3U06r4agQEZWG0NxAj1x03o4MAileA&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwjLnvit5sP7AhXVxjgGHa1lBO8Q6AF6BAgqEAM#v=onepage&q=politik%20islamophobia&f=false 

3.    https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/13/islam-menjamin-kesejahteraan-bagi-masyarakat-bukan-islam/ 

4.    https://harakahdaily.net/index.php/2019/11/30/islamofobia-virus-yang-sengaja-diciptakan-ke-atas-dunia-islam/ 

5.    https://www.republika.co.id/berita/rlskxw430/pakar-jelaskan-dampak-islamofobia-di-barat-globalisasi-islamofobia 

6.    https://www.researchgate.net/publication/330820880_FENOMENA_SEKULARISME 

7.    https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3613-bayan-linnas-siri-ke-203-bahaya-serangan-pemikiran 

8.    https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/13/islam-menjamin-kesejahteraan-bagi-masyarakat-bukan-islam/ 

9.    https://harakahdaily.net/index.php/2022/11/26/syabas-qatar-pertahankan-islam-adat-dan-budaya/ 

10.    https://www.mida.gov.my/mida-news/kedah-achieves-remarkable-investment-for-the-first-quarter-2021-mb/ 

11.    https://harakahdaily.net/index.php/2022/03/20/kedah-catat-rekod-pelaburan-rm68-3-bilion-2021/ 

12.    https://www.terengganu.gov.my/index.php/en/archives/headlines/1492-terengganu-inc-catat-hasil-rm1-2-bilion-bagi-tahun-2021 

- Advertisement -