Syabas Qatar pertahankan Islam, adat dan budaya

DI SEBALIK kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 yang baharu sahaja selesai melabuhkan tirai, saya percaya ramai di antara kita turut tidak melepaskan peluang menyaksikan Piala Dunia FIFA 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.

Advertisement

Pastinya ramai yang mempunyai pasukan pilihan pada Piala Dunia kali ini seperti Brazil, Argentina, Jerman, England, Belanda dan lain-lain lagi serta tidak melepaskan peluang untuk menonton siaran langsung di kaca televisyen walaupun ianya ditayangkan pada lewat malam.

Kita juga telah menyaksikan kebangkitan pasukan dari Asia seperti Arab Saudi dan Jepun yang telah melakukan kejutan dengan menundukkan pasukan pilihan iaitu Argentina dan Jerman. Korea Selatan juga turut hampir melakukan kejutan namun hanya mampu seri ketika menentang Uruguay.

Semalam salah satu pasukan pilihan utama iaitu Brazil telah menundukkan Serbia 2-0 dengan corak permainan menyerang yang mengagumkan dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh penyerang dari Kelab Tottenham Hotspurs iaitu Richarlison dan saya percaya Brazil mampu pergi jauh kali ini.

Rata-rata yang datang ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kagum dengan segala infrastruktur yang dibangunkan dan segala yang dibelanjakan. Boleh dikatakan Qatar berjaya menganjurkannya dengan bergaya dan mendapat sokongan dari negara-negara Arab yang lain.

Di sebalik semua kejayaan ini, Piala Dunia FIFA kali ini turut terpalit dengan kontroversi yang menjadi bualan hangat sehingga berlakunya protes ke atas Qatar sebagai tuan rumah dan FIFA sebagai penganjur kejohanan yang sedikit sebanyak mencacatkan Piala Dunia FIFA kali ini.

Kontroversi tercetus disebabkan beberapa peraturan yang dikuatkuasakan seperti tidak dibenarkan kapten pasukan memakai lilitan lengan yang mempunyai logo LGBTQ “OneLove“, tidak dibenarkan mengibar bendera serta memakai baju dan seumpamanya yang mempamerkan “Pride Flag” atau “Rainbow Flag“ (corak bendera LGBTQ) termasuk tidak dibenarkan penjualan minuman beralkohol di stadium-stadium.

Disebabkan itu Qatar menerima kecaman hebat daripada peminat-peminat bola sepak terutamanya daripada negara-negara Barat. Pelbagai tuduhan buruk telah dilemparkan dan telah mula gerakan untuk memboikot Qatar disebabkan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Organisasi LGBTQ dari seluruh dunia telah mengkritik hebat FIFA dan Qatar. Beberapa kapten pasukan bola sepak negara-negara yang bertanding mengkritik tindakan tidak membenarkan pemakaian lilitan lengan “OneLove” dan ada yang berkeras mahu memakainya serta mengkritik Qatar kerana mengamalkan diskriminasi terhadap golongan LGBTQ.

Kesemua pemain pasukan Jerman sebelum bermulanya perlawanan menentang Jepun dalam sesi bergambar telah menutup mulut mereka sebagai tanda protes terhadap larangan pemakaian lilitan lengan “OneLove“.

Peminat-peminat bola sepak dari golongan LGBTQ yang berkunjung ke Qatar untuk menyaksikan Piala Dunia FIFA kali ini mengkritik keras tindakan FIFA dan Qatar malah ada yang tidak mengendahkan larangan tersebut dengan terus memakai baju, topi dan mengibarkan bendera “Pride Flag” sehingga ditahan pihak keselamatan Qatar.

Oleh itu sewajarnya peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia yang mengikuti Piala Dunia FIFA menghormati Qatar, undang-undang dan perlembagaannya kerana Qatar adalah sebuah negara Islam yang merdeka dan berdaulat.

Ini kerana dengan mengkritik Qatar dikira sudah mencampuri urusan dalaman Qatar dan bagi kita umat Islam apabila kita mengkritik Qatar dalam isu yang sama bermakna kita seolah-olah memperlekehkan hukum Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran yang secara jelas mengharamkan hubungan sejenis atau aktiviti LGBTQ yang merosakkan akhlak manusia sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al A’raf ayat 80-84.

Namun kritikan terhadap Qatar dalam isu yang menjadi kontroversi tersebut adalah amat tidak adil dan saksama terutamanya daripada peminat bola sepak dan negara-negara Barat. Jika umat dan negara Islam mengkritik tindakan pengharaman pemakaian hijab seperti di Perancis mereka dituduh mencampuri urusan dalaman negara tersebut.

Jika umat dan negara Islam bertindak mengkritik karikatur Rasulullah SAW yang dijadikan bahan satira di Barat mereka dituduh tidak mengetahui undang-undang kebebasan yang diamalkan di negara-negara Barat.

Maka sewajarnya perlu berlaku adil terhadap Qatar dalam segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan. Umpama pepatah Melayu “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak“. Usahlah mengambil kesempatan ke atas Qatar dengan tujuan-tujuan yang tidak baik seperti mengambil kesempatan dan menekan untuk kepentingan geopolitik.

Apabila bertandang ke negara orang, hormatilah undang-undang, adat resam dan kebudayaannya dan usahlah sesuka hati mengkritik dan menghentam tidak tentu haluan. Syabas diucapkan kepada Qatar kerana telah mempertahan dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang sewajarnya.

Bola sepak adalah sukan yang paling popular di seluruh dunia. Sebagaimana ungkapan banyak pihak, bola sepak mampu menyatukan umat manusia yang berbilang agama, bangsa, kaum dan ideologi tetapi dalam masa perlu saling hormat-menghormati dan bertoleransi.

Hormatilah Qatar dan undang-undangnya, juga hormatilah Islam dan penganut-penganutnya. Semoga Qatar berjaya menjadi penganjur terbaik Piala Dunia FIFA serta terus makmur, sejahtera dan diberkati Allah SWT.

Malaysia Sejahtera

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 26/11/2022