Islam menjamin kesejahteraan bagi masyarakat bukan-Islam

- Advertisement -

MASYARAKAT Malaysia umpama miniatur Asia. Terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama. Sejak era Kesultanan Melayu Melaka, suasana kehidupan yang harmoni telah menjadi imej dan identiti kepada hubungan sosial masyarakat berbilang kaum di tanah air kita. 

Masyarakat di tanah air kita telah lama hidup bersama secara aman lagi damai. Kemuncaknya terlakar di dalam sejarah dengan berlakunya asimilasi kaum lain ke dalam kebudayaan Melayu umpama etnik Baba Nyonya, Darah Keturunan Arab, Darah Keturunan Keling dan sebagainya.

- Advertisement -

Masyarakat sosial yang hidup dalam keadaan aman dan damai itu berlanjutan sehinggalah ke era kita hari ini. Walaupun konflik, pergaduhan dan perselisihan secara relatifnya wujud dalam beberapa ketika dan keadaan, namun ia berjaya dikawal oleh kerajaan melalui beberapa tindakan politik demi usaha pencegahan dan pembentukan kepada agenda perpaduan antara kaum dan agama.

Malah krisis perkauman yang timbul dikira masih tidak kritikal jika dibandingkan dengan negara lain yang mengambil tindakan ekstrem seperti genoside dan penghapusan etnik tanpa dinafikan perlunya usaha yang serius untuk memperkukuh perpaduan nasional di dalam negara kita. PAS menjunjung nilai Islam yang menjamin ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat bukan-Islam dalam sesebuah negara.

Nabi S.A.W telah mewajibkan umat Islam agar memelihara kepentingan, keamanan dan keselamatan orang bukan-Islam yang berada di bawah pentadbiran negara Islam.

Rasulullah S.A.W bersabda:

‎من آذى ذميا فقد آذاني، ومن آذاني فقد آذى الله

“Sesiapa yang menyakiti orang Zimmi, maka dia telah menyakitiku. Sesiapa yang menyakitiku, maka dia telah memerangi Allah.”

(al-Tabrani)

Rasulullah S.A.W juga telah meletakkan asas yang penting serta jelas dalam neraca menyantuni isu kepelbagaian kaum. Baginda S.A.W bersabda di dalam khutbah beliau yang terkahir:

‎يا أيها الناس، ألَ إن ربكم واحد وإن أباكم واحد. لَ ف ضل لعربي على أعجمي، ولَ لأعجمي على عربي، ولَ لأحمر على أسود، ولَ لأسود على أحمر إلَ بالتقوى

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu satu, bapa kamu satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan-Arab, dan (sebaliknya) tiada kelebihan orang bukan-Arab ke atas orang Arab, tiada kelebihan orang berkulit coklat berbanding orang berkulit hitam, atau (sebaliknya) tiada kelebihan orang berkulit hitam berbanding orang berkulit gelap melainkan dengan takwa.”

(al-Tabrani)

Islam telah meletakkan panduan bahawa kepelbagaian kaum yang ada mestilah dijadikan sebagai kelebihan bagi sesuatu negara dan bukan sebaliknya (punca perbalahan dan perpecahan).

Kepelbagaian kaum ini sekiranya dijadikan sebagai kekuatan serta diurus dengan bijaksana, pastinya akan menghasilkan kekuatan yang pelbagai, berdaya saing dan mampu membawa negara kita ke peringkat Antarabangsa dalam pelbagai aspek seperti sukan, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.

Allah S.W.T berfirman:

‎يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

(al-Hujurat: 13)

Begitulah nilai serta prinsip agama Islam yang menjamin kesejahteraan masyarakat pelbagai kaum di atas muka bumi ini. Islam telah berpengalaman memerintah ribuan tahun dan terbukti tidak pernah menzalimi kaum minoriti atau kaum agama lain bahkan telah menjamin hak mereka selayaknya.

Akhirnya, Islam hadir di atas muka bumi ini sebagai kunci utama kepada perpaduan nasional bagi sesebuah masyarakat dan bukannya sebagai pencetus kepada suasana huru-hara serta pergeseran antara kaum. 

Mereka yang sentiasa meniupkan api sengketa perkauman sempit di negara kita ini hakikatnya bukanlah membawa mesej Islam bahkan mereka sedang memusuhi agenda Islam. Rasulullah S.A.W bersabda:

‎السلام اسم من أسماء الله، وضعه في الأرض تـحية لأهل ديننا وأمانا لأهل ذمتنا 

“Al-Salam adalah salah satu dari nama Allah S.W.T. Dia menurunkannya di dunia sebagai penghargaan kepada orang Islam dan keamanan kepada orang bukan-Islam (Ahli Zimmah).”

(al-Tabrani, 1415H).

Sekian,

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 13/2/2021

- Advertisement -