‘Kafir Zimmi dan Harbi’: PAS tegur Menteri Agama

- Advertisement -

TAIPING: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menegur kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Agama, Dato’ Dr Mujahid Yusuf yang melarang penggunaan istilah kafir di kepada orang bukan-Islam di negara ini.

- Advertisement -

Tuan Ibrahim mengingatkan Mujahid, istilah tersebut merupakan kalimah agama bagi merujuk pendirian dan sikap orang bukan-Islam terhadap Islam, sama ada memusuhi atau menerima untuk hidup di bawah pemerintahan Islam.

“Kafir yang memusuhi Islam itu harbi, kafir yang bernaung di bawah pemerintahan Islam itu zimmi, kafir yang buat perjanjian dengan kerajaan Islam itu ahdi.

“Istilah ini bukan bermakna kita bermusuh dengan orang bukan Islam, tetapi menjelaskan sikap mereka terhadap Islam,” perbetul beliau terhadap perkara tersebut.

Dato’ Tuan Ibrahim berkata demikian di depan lebih 300 peserta program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS PeringkatNegeri Perak yang diadakan di Dewan Kompleks TM, di sini semalam.

Menurut beliau lagi, Islam tidak memulakan permusuhan kerana Islam mendahulukan perdamaian yang juga merupakan jihad di mana sebagai gerakan Islam dan mempraktikkan akhlak Islam, salam perdamaian itu hendaklah disambut dengan baik.

“Pada awalnya pihak lawan menyangka Piagam Muafakat Nasional hanya untuk orang Islam dan bangsa Melayu, namun sebaliknya piagam ini juga menjamin hak orang bukan-Islam dan turut mendapat sokongan masyarakat bukan-Islam,” ujar beliau lagi.

Dr Mujahid mengeluarkan kenyataan demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi Townhall Maqasid Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Menurut beliau, istilah itu menggambarkan seolah-olah orang bukan-Islam cuba memerangi Islam secara terang-terangan, sedangkan dalam Maqasid tiada lagi istilah kafir zimmi dan kafir harbi.

Pada majlis muaqasyah ini, Dato’ Tuan Ibrahim telah membentangkan kertas kerja “Islam Memimpin Perpaduan” berasaskan Perlembagaan PAS, manakala Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad mengenai peranan pimpinan PAS.

Majlis ini juga buat julung kali telah menyampaikan anugerah khas kepada peserta paling berusia yang diberikan kepada Mohamad Amran Ngah Abdul Ghani, 77, dari Ipoh Timur dan Halimah Dahari, 70, dari Tanjung Malim. – HARAKAHDAILY 6/10/2019

- Advertisement -