Kedah catat rekod pelaburan RM68.3 bilion 2021

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kejayaan kerajaan negeri memacu pertumbuhan ekonomi turut mendapat perhatian Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, walaupun negara dilanda pandemik Covid-19.

Titah baginda pelaburan berjumlah RM68.3 bilion tahun 2021 merupakan satu sejarah serta rekod baharu di mana dengan kejayaan itu pertumbuhan ekonomi akan lebih lestari, mampan dan berdaing saing seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Beta percaya kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest Kedah Berhad, MIDA serta pemain industri lain dalam menarik pelaburan luar ke Kedah.

- Advertisement -

“Ini membuktikan Kedah menjadi destinasi pilihan pelabur. Pelaburan tersebut melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu sebanyak RM10 billion setahun,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Sidang Dun Kedah hari ini.

Justeru itu baginda berharap usaha itu ditingkatkan ke lokasi pelaburan lain termasuk Kedah Rubber City (KRC), Speacial Border Economic Zone Bukit Kayu Hitam (SPEZ), kawasan industri Gurun dan Kedah Aerotropolis.

“Dengan kejayaan itu juga secara tidak langsung taraf hidup rakyat di negeri ini dapat ditingkatkan agar setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.

“Beta juga ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan Persekutuan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan utiliti kepada rakyat Kedah,” tambah baginda.

Titah yang disampaikan baginda secara hibrid itu juga mengharapkan semua Adun termasuk pembangkang serta agensi berkaitan lebih proaktif menyelami isu-isu rakyat secara lebih dekat selain memantau pencapaian program yang dilaksanakan.

Baginda juga amat prihatin terhadap nasib rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Titah baginda juga semua pihak perlu mencari penyelesaian secara bermusyawarah dalam setiap permasalahan yang berlaku.

Menurut baginda kematangan seperti itu amat diperlukan untuk mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sama ada yang telah berlaku atau bakal ditempuhi.

“Ambilah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi, ‘biduk lalu, kiambang bertaut’ serta berpegang dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah sepertimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103.

“Hormatilah prinsip demokrasi Raja Berpelembagaan yang menjadi asas pembentukan negara,” kata baginda lagi.

Kejayaan kerajaan negeri memperolehi kutipan hasil sebanyak RM688 juta pada 2021 turut mendapat perhatian baginda.

Titah baginda dengan pencapaian itu kerajaan negeri membuktikan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ berjaya direalisasikan.

“Beta berharap pencapaian cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2022 bagi mencapai jangkaan anggaran hasil sebanyak RM725 juta.

“Suka beta mengingatkan agar setiap hasil yang dikutip, dibelanjakan dengan cara yang betul dan berhemah, supaya prinsip ‘value for money’ dapat dipraktikkan,” titah baginda.

Baginda juga berharap kerajaan negeri dapat mengawal serta mengekalkan kawasan hutan khususnya untuk perlindungan dan kelestarian alam sekitar termasuk geopark perlu dikekalkan. – HARAKAHDAILY 20/3/2022

- Advertisement -