
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Semua Adun termasuk pembangkang perlu memberi fokus terhadap intipati titah Tuanku Sultan sepanjang persidangan Dun Kedah yang bermula hari ini hingga 23 Mac.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, titah terbabit sangat penting dan perlu dijadikan perhatian semua pihak yang terlibat untuk kebaikan kerajaan dan rakyat.
“Saya berharap semua pihak sama ada Adun pembangkang mahu pun kerajaan memberi tumpuan utama ketika perbahasan nanti,” kata beliau pada sidang media secara atas talian hari ini.
Ujarnya penumpuan khusus perlu diberikan kepada isu-isu rakyat terutama dalam era perubahan pandemik ke fasa endemik.
Katanya Tuanku Sultan mengharapkan semua pihak sama ada kerajaan, swasta, pembangkang dan lain-lain mengambil peranan membantu ke arah itu.
Sanusi turut berbangga kejayaan kerajaan negeri memperolehi pelaburan sebanyak RM68.3 billion tahun lepas sehingga mendapat perhatian Sultan Kedah.
Katanya kejayaan itu mengejutkan semua pihak dan diharapkan ‘trend’ sedemikian dapat terus dicapai pada masa akan datang.
“Walau bagaimanapun pencapaian RM10 billion setahun sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Tindakan Kedah 2035 diharap dapat terus dikekalkan,” ujarnya.
Sanusi yang juga Adun Jeneri menyambut baik saranan Sultan supaya semua pihak berhenti berbalah dan mencari jalan penyelesaian secara bermusyawarah.
Katanya dalam keadaan sekarang sewajarnya semua pihak tanpa mengira fahaman politik memberi penumpuan membantu dan memulihkan ekonomi rakyat. – HARAKAHDAILY 20/3/2022











