Sambutan hebat pertahan kemenangan Kuala Nerus

- Advertisement -

DATO’ DR ALIAS RAZAK menaruh harapan yang besar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Ini berdasarkan gerak kerja dan kempen yang dijalankan petugas, masyarakat sama ada golongan muda dan tua bersemangat bersama PERIKATAN NASIONAL. Di samping itu, ada kemungkinan berlaku undi protes dalam kalangan penyokong Umno yang tidak berpuas hati dengan calon BN kali ini. Beliau turut menyeru para pengundi keluar awal esok kerana keadaan cuaca yang tidak menentu. ADUN Bukit Tunggal itu berkongsi pengalaman bersama Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF semasa ditemui dalam program ziarah di Kampung Telari, UDM Banggol Peradong, petang ini.

- Advertisement -

HARAKAHDAILY: Menjelang sehari lagi pengundian, jadi bagaimana Dato’ melihat perkembangan gerak kerja dan kempen sehingga kini?

DATO’ DR ALIAS RAZAK: Alhamdulillah, setakat hari ini dari segi gerak kerja semua DUN yang saya sudah turun memang dikatakan semua sudah turun, alhamdulillah. Orang-orang kita khususnya orang-orang muda semangat nampak luar biasa. Daripada pengalaman saya pada pilihan raya yang keenam ini memang orang muda agak hebatlah, bukan lelaki muda sahaja, wanita juga sama.

Jarang tengok wanita ini kebanyakan yang tua sahaja hadir malam-malam, jadi semangat. Dari segi orang dewasa gerak kerja macam biasa, yang lebih kita serah kepada Allah SWT pula. Tapi tengok kepada perubahan dari segi orang PAS tidak berubah nampaknya. Nampak orang Barisan Nasional sudah mula jinak dengan kita, mari ke markas kita agak luar biasa sikit.

Saya rasa insya-Allah kalau tidak ada apa-apa yang berlaku beberapa jam lagi menuju ke hari esok, saya rasa kita ada harapan besarlah menang kembali atau bertahan kemenangan kita di Parlimen Kuala Nerus.

Dato’ berdepan dengan penyandang yang sudah pun berpaling sekarang ke pihak lawan, adakah ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengundi?

Saya tidak mahu nak ungkit banyak tapi apa yang nak sebutnya jentera kita tidak terjejas langsung dengan perginya mantan MP itu, dan sokongan pun orang PAS ini dia mengundi bukan batang tubuh calon tetapi akidah.

Namun saya nampak macam berlaku sedikit penolakan di sebelah sana sebab dia orang baru, tiba-tiba terus jadi calon. Memang adalah bunyi-bunyi tidak selesa untuk mengundi dia. Itu antara kelebihan bagi kita pula, tengok kita ini tidak ada kesan sangatlah.

Sebagaimana Dato’ sebutkan tadi, ada kemungkinan undi protes dari kalangan penyokong Umno kepada calon itu?

Apa yang saya dapat tahu, saya berjumpa sendiri dengan bekas-bekas pemimpin Umno, memang ada protes yang senyap-senyap ia tidak nampak sangat zahir, silent protest itu ada. Macam sekarang ini tidak banyak berkempen, tidak ada kempen rumah ke rumah, harapkan poster itu sahaja. Itupun pada poster berbanding poster kita lebih ke depan. Dulu kita tengok kaum ibu pergi rumah ke rumah, saya tengok sekarang ini pelik, tidak ada. Lain kalau tempat lain tapi di sini tidak ada.

Apa seruan Dato’ kepada pengundi esok khususnya di Parlimen Kuala Nerus?

Mana-mana yang layak mengundi yang berumur 18 tahun ke atas semak betul-betul di mana tempat mengundi, saluran mana supaya tidak timbulkan masalah. Kalau boleh keluar awal. Kita tahu cuaca sekarang kadang-kadang pagi panas mungkin petang hujan, macam hari ini petang hujan.

Jadi keluar awal dan buat pilihan yang betul demi masa depan negara kita, dan ini akan menentukan kerajaan, kepimpinan baru untuk lima tahun akan datang. Apa-apa yang akan berlaku lima tahun nanti, nak ubah kena tunggu lima tahun lagi. Jadi pilihlah dengan berhati-hati, hati yang tenang, kaji latar belakang parti-parti yang bertanding supaya kita tidak salah dalam memberi undi kita esok hari. Insya-Allah.

Dato’ Dr Alias Razak adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri yang berdepan dengan calon BN, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Azaha Wahid (Putra) dan Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH) pada PRU15 ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -