Umno makin terhimpit di kubu kuat di Kelantan

- Advertisement -

EKSPRESI wajah merupakan salah satu bahasa tubuh. Kita bisa mengetahui kehendak seseorang hanya dengan melihat ekspresinya. Kita juga boleh amati kata-kata yang dikeluarkan.

- Advertisement -

Begitu juga emosi yang diekspresikan yang menggambarkan bahagia, sedih, marah, heran, bingung, takut, menghina, kaget, dan pelbagai lagi. Pada musim pilihan raya mungkinkah ekspresi serupa berlaku.

Apabila bendera parti tertentu lebih ghairah, penyokong begitu semangat, pos ada di sana sini, mungkinkah dapat digambarkan parti itu tidak kuat. Tentunya tidak.

Situasi seperti itu dapat digambarkan apa yang menimpa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Biar pun kajian badan yang dekat dengan PH memberi unjuran sebaliknya, namun teori ekspresi tidak dapat dilanggar.

Cuba kita teropong apa yang viral di media sosial. Tidak banyak ditemui konvoi anak muda yang megah mengibar bendera BN atau PH. Biarpun begitu ditemui juga konvoi anak muda membawa bendera BN di Bukit Gantang, Perak.

Di Kota Bharu bukan sahaja konvoi motosikal anak muda, sebaliknya van, lori, treler boleh ditemui membawa bendera bulan dan PN. Beberapa siri konvoi diadakan selepas penamaan calon 5 November lepas. Ia mengulangi apa yang pernah berlaku pada PRU lepas.

Fenomena serupa juga melanda Machang yang dikuasai Pengerusi Umno Kelantan Jazlan Yaakob sejak dua penggal lepas. Malam tadi ribuan penduduk memenuhi Dataran Kemahkotaan.

Sebelum itu ribuan penduduk berhimpun di Jalan Lama Machang-Kuala Krai di Dun Kemuning. Aura anak muda bangkit setidak-tidaknya meletak Jazlan dalam situasi kurang selesa.

Kemenangan dengan majoriti 2,824 undi pada PRU lepas membuatkannya tidak senang duduk. Ditambah pula semalam ada laporan polis dibuat Armada Machang.

Isu projek naiktaraf surau bernilai RM2.2 juta di tanah dipercayai milik isterinya dibongkar semula.

Isu itu didedahkan portal giaklian.wordpress.com. dengan mendakwa pemimpin Umno terbabit menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri Luar Bandar mempengaruhi KKLW bagi meluluskan projek di atas sebidang tanah persendirian di Bukit Tiu.

Wakil Armada Machang Ahmad Firdaus Nawi membuat laporan polis. Kata Ketua Pemuda PAS Machang Razuan Awang Hamad, ia bukan tuduhan, sekadar mahu polis menyiasat dakwaan portal berita terbabit.

PRU kali ini nasib Jazlan lebih mencabar. Beliau berdepan dengan Ketua Armada Bersatu Nasional Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal. Biarpun berasal dari Rantau Panjang, namun mempunyai ramai ahli keluarga di Machang.

Perkembangan yang berlaku itu, tentunya membantut usaha Umno bagi mempertahankan Machang. Tanah Merah yang juga dimenangi BN pada PRU lepas.

Foto ARJUNA BETA

Ikmal Hisyam Abdul Aziz menang di Tanah Merah atas tiket BN pada PRU lepas dengan majoriti 2,929. Beliau mendapat 28,152 undi di hadapan sedikit calon PAS Dr Johari Mat yang meraih 25,223 undi. Manakala calon PH Dr Fauzi Zakaria hilang deposit.

Namun, sekarang Ikmal bertanding tiket PN. Beliau berhijrah kepada Bersatu selepas PRU lepas. Ikmal juga bekas Ketua Bahagian Umno, seorang tokoh yang disegani. Pada PRU esok dia berdepan Adun Gual Ipoh Mohd Bakri Mustapha.

Ikmal dilihat tidak sukar untuk mempertahankan kerusi tersebut dengan andaian 25,223 undi yang diraih PAS pada PRU terus dipertahankan. Sekiranya Ikmal dapat menarik suku daripada undi BN, kedudukannya agak selesa.

Begitu juga di Jeli, Mustapa Mohamad meraih majoriti 6,647 undi pada PRU lepas. Pesaing terdekat ketika itu Cikgu Mat daripada PAS mendapat 15,018 undi. Mustapa menguasai parlimen Jeli sejak PRU 2004.

Kali ini beliau diganti Setiausaha Politiknya Zahari Kechik. Zahari dilihat tidak sukar mempertahankan kerusi Jeli di bawah PN. Abangnya Adhan Kechik merupakan Adun BN Bukit Bunga.

Biarpun kelibat Adhan tidak kelihatan membantu adiknya, namun abang sulung bersama Pok Zahari. Keluarga Adhan setidak-tidaknya akan berkiblat kepada adiknya yang mewakili PN.

Peluang Pok Zahari kurang berliku apabila BN mengetengahkan Norwahida Patuan, pemimpin wanita Umno yang kurang dikenali. Pada peringkat awal banyak pos Umno di Jeli tidak berfungsi kerana memprotes calon terbabit.

Tinggal sekarang peluang Umno di Gua Musang. Biarpun Tengku Razaleigh sebelum ini acap kali mengumumkan tidak lagi mahu bertanding, namun saat akhir beliau muncul juga.

Tindak tanduk itu menyebabkan pemimpin bahagian menjadi tawar hati. Khabarnya mereka kurang aktif menggerakkan kempen.

Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad dapat mengesan protes senyap berlaku di Gua Musang. Biarpun mereka tidak bertindak keluar parti, namun protes terhadap Ku Li berlaku.

“Ramai pimpinan Umno di peringkat akar umbi yang kami temui kecewa dengan Ku Li. Mereka memprotes dalam senyap. Begitu juga jentera kempen Umno Gua Musang hanya bergerak ketika Ku Li datang,” katanya.

Ku Li hanya menang 3,913 undi pada PRU lepas. Kehadiran pemimpin muda Mohd Azizi Abu Naim mampu memberi saingan.

Ketereh yang juga menjadi kubu Umno sejak 2004 juga dikesan tidak kuat lagi momentum. Ketiadaan Annuar Musa membuatkan cabaran BN kurang menyengat. Kehadiran Ketua Puteri Umno negeri Marzuani Ardila Ariffin tidak sama dengan Annuar.

Dalam sifir politik Kelantan, Annuar dan Mustapa disenangi kerana body dan bukannya parti. Kali ini kehadiran Mejar Jeneral (B) Khlir bertemu ruas dengan buku.

Pada PRU sebelum ini undi pos di kem tentera banyak menyebelahi Annuar. Sekarang situasi itu sukar dipertahankan. Lebih-lebih lagi Jeneral Khlir lebih dikenali di Kem Desa Pahlawan. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -