Rakyat mahu pembaharuan di Putrajaya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Banyak pihak di Kelantan dapat merasakan gelombang luar biasa sokongan rakyat kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

- Advertisement -

Penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, ramai penduduk yang ditemuinya sepanjang tempoh kempen menyatakan mahukan pembaharuan di Putrajaya.

“Alhamdulillah momentum sejak hari penamaan calon setiap hari bertambah baik, sokongan kepada PAS amat memberangsangkan di Kota Bharu dan banyak tempat lain.

“InsyaAllah kita berkeyakinan dengan kerja kuat dan rekod, saya yakin mampu pertahankan Kota Bharu, namun ia bukan perkara mudah, tetap ada cabaran,“ katanya selepas Konvoi BEST Anak Muda Kota Bharu Bersama Datuk Taki di sini hari ini.

Lebih 500 anak muda menyertai konvoi motosikal mengiringi Takiyuddin mengelilingi bandar Kota Bharu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Kota Bharu, Muhammad Aminuddin Bunyamin berkata, momentum setakat dianggap dalam mood terbaik.

Katanya, Pemuda PAS melaksanakan pelbagai program dalam mendekati golongan muda yang akan menunaikan tanggungjawab mengundi buat pertama kali esok.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan, Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan, kami bersyukur Pemuda PAS Kota Bharu berjaya mendekati golongan terbabit.

“Kita sudah begitu lama dengan anak-anak muda, Alhamdulillah penerimaan anak muda memang jelas,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, PAS di setiap kawasan di Kelantan mengadakan ‘flash mob’ menyambut kepulangan anak-anak perantau termasuk dari ibu kota.

Mereka berkumpul di tepi jalan-jalan utama dengan mengibar bendera PAS dan PERIKATAN NASIONAL sebagai meraikan kepulangan perantau. – HARAKAHDAILY 18/11/2022

- Advertisement -