Rakyat perlu elak negara diterajui parti bermasalah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bersatu kini dianggap berjaya mencipta kehebatan sendiri bagi menggantikan Umno untuk membela nasib orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL Parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, Bersatu mampu menggantikan Umno memandangkan parti Melayu yang diasaskan pada 1946 itu banyak terpalit dengan isu rasuah dan penyelewengan.

Katanya, Bersatu boleh menjadi wadah perjuangan orang Melayu terutamanya anak-anak muda selepas mereka muak dengan salah laku pemimpin Umno sekarang.

“Rakyat perlu melakukan perubahan besar untuk menyelamatkan negara daripada parti yang dipimpin oleh pemimpin bermasalah.

“Sama ada dari Umno, PKR atau DAP semuanya sama sahaja,” katanya ketika meraikan kehadiran jentera Bersatu Pengkalan Chepa yang diketuai Ahmad Nas Ruddin Abdullah.

Seramai 200 ahli Bersatu yang juga bekas penyokong Umno turut membantu calon PAS bagi mempertahankan kerusi parlimen Pengkalan Chepa.

Mereka hadir bagi menyatakan sokongan padu terhadap Ahmad Marzuk.

Sementara itu, Nas Ruddin berkata, ahli Bersatu dan penyokongnya akan memberi sokongan penuh kepada Marzuk pada Sabtu ini.

“Jentera kita sudah digerakkan bagi memenangkan calon PN. Kita bekerja dalam satu keluarga, gerak kerja kita adalah untuk semua demi melahirkan sebuah negara yang bersih dan stabil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -