Isu tuduhan kelulusan projek di bawah KASA

- Advertisement -

KASA merujuk kepada Kenyataan Media yang tular bertarikh 16 November 2022.

- Advertisement -

Selaras dengan Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2022 pada 11 Oktober 2022, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 18 Oktober 2022 berkaitan ‘Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker‘ serta Garis Panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022 yang antara lain menetapkan, apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji (undertaking) hendaklah dielakkan, termasuklah apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan baharu.

Sepaniang tempoh Kerajaan Caretaker iaitu selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, KASA telah menangguhkan proses pengeluaran Surat Niat (Letter Of Intent – LOl), Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor/perunding.

Bagi Projek Naik Taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan Klang Selatan, projek tersebut telah diluluskan pada November 2020 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2021 RMKe-12. Proses perolehan projek ini telah bermula sejak 6 Oktober 2021 (sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022).

KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh Kerajaan Caretaker ini. Justeru itu, kenyataan yang tular adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara Kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini.

KASA menegaskan bahawa surat yang didakwa kononnya dikeluarkan oleh MoF tersebut perlulah disiasat terlebih dahulu oleh pihak berkuasa dari segi ketepatan fakta dan keteraturannya dan bukannya dengan cara mendedahkan kepada rakyat secara umum bagi tujuan mewujudkan persepsi tidak baik kepada Kementerian semasa tempoh Kerajaan Caretaker.

Kenyataan pihak yang mendakwa bahawa pihak Kerajaan telah meluluskan projek selepas pembubaran Parlimen adalah satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali. Oleh itu, KASA sekali lagi menegaskan bahawa perkara ini perlu dibuktikan kebenarannya melalui siasatan oleh pihak berkuasa.

KEMENTERIAN ALAM SEKITAR DAN AIR
17 November 2022 – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -