Anwar makin galak promosi diri sebagai Perdana Menteri

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

- Advertisement -

Dalam hampir semua edisi ceramah kempennya pada PRU15, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa menegaskan bahawa beliaulah insan terbaik untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kali ini sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sukar untuk Rafizi Ramli meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Anwar adalah calon Perdana Menteri terbaik, kerana Timbalan Presiden PKR itu sendiri terlalu sibuk berdepan dengan isu yang dicetuskan oleh diri beliau sendiri, isu betapa ‘jutawannya’ diri beliau.

Terpaksalah Anwar sendiri ‘mengangkut bakul’ yang berisi dirinya sendiri itu.

Harga barang akan turun jika Anwar jadi PM

Dalam satu siri ceramah kempennya, beliau menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, tidak mampu turunkan harga barang. Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9 pun tak mampu menurunkan harga barang.

Tapi Anwar, hari ini angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, esok harga barang akan turun!

‘Simple’.

Kata-kata itu sama seperti ucapan beliau sebelum Pakatan Harapan (PH) menang dan mentadbir Putrajaya, “Hari ini saya angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, esok harga minyak turun RM1.50″.

Janji yang tak pernah tertunai pada zaman PH di Putrajaya. 

Dan ajaibnya ia pernah berlaku pada zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Walaupun sebabnya ialah kerana kejatuhan harga minyak dunia.

Anwar tak akan ambil gaji sebagai PM

Ini satu lagi janji populis Anwar. Beliau tak akan ambil gaji sebagai Perdana Menteri. Isteri dan anak beliau pun tak akan ambil gaji jika diberi jawatan pentadbiran dalam Kerajaan PH nanti.

Janji tak ambil gaji sering dimasyhurkan oleh Datuk Dr. Khairuddin At-Takiri. Bezanya At-Takiri menjanjikan hanya beberapa bulan tertentu, bukan sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri dan Ahli Parlimen. 

Dan biasanya janji itu dibuat kerana ada ‘kesilapan’ At-Takiri sebelum itu yang mengundang kemarahan netizen dan orang ramai.  

Ada juga ilmu yang Anwar belajar daripada At-Takiri. Bahkan Anwar janjikan lebih lagi daripada At-Takiri, dan sebelum membuat sebarang kesilapan. 

Sebenarnya sistem gaji dibuat untuk Perdana Menteri dan Ahli Kabinet bagi mengelakkan pemegang jawatan mudah dirasuah atau disibukkan dengan peribadi kerana memikirkan sumber-sumber pendapatan lain untuk dirinya. Jika gaji Perdana Menteri hanya RM400, entah berapa gaji yang patut dibayar kepada Ketua Setiausaha Negara, mungkin RM375?!

Anwar akan mampu mengawal DAP

Menjawab serangan PN dan BN bahawa Kerajaan PH di bawah pentadbiran Anwar akan berada di bawah telunjuk DAP, Anwar tegaskan beliau pun orang Melayu. 

Jadi, tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai isu Raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan lain-lain. Bahkan DAP pun sebenarnya turut menghormati peruntukan Perlembagaan itu.

Sekali lagi jawapan Anwar ‘simple’, mudah dan tak perlu dipersoalkan.

Masalahnya, kita telah melihat DAP berkeras untuk melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet Tun Mahathir mewakili PH. Banyak juga desakan DAP untuk menghapuskan tulisan Jawi, merendah tarafkan agensi-agensi berkait agama Islam, mengecilkan saiz perkhidmatan awam supaya lebih efektif seperti pengurusan syarikat korporat dan banyak lagi, yang hampir tak mampu ditangani oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri, ‘the Ultra Malay’.

Dengan PAN yang semakin kurang relevan, yang beberapa kerusinya di’rampas’ tanpa belas kasihan oleh DAP, Anwar tentu bakal sangat terhutang budi kepada DAP.

Mampukah Anwar yang bakal tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri itu untuk berkata ‘No’ kepada DAP?!

Prinsip Anwar

Anwar mendapat sokongan ramai sebelum ini kerana tertarik dengan karakter beliau sebagai orang yang berprinsip.

Beliau pernah menegaskan, Tun Mahathir adalah punca kerosakan negara Malaysia, bapa penyamun, pengamal kronisme dan nepotisme.

Prinsip itu beliau batalkan dengan bersetuju menjadikan Tun Mahathir sebagai Jeneral jentera pilihan raya PH dalam PRU14, seterusnya sebagai Perdana Menteri ke-7 mewakili PH.

Mengenai prinsip Anwar mengecam tuduhan mengaibkan kepada musuh politik dengan pertuduhan liwat dan bukti-bukti video rekaan yang menjatuhkan maruah, dibatalkan oleh Anwar dengan berbaik dengan penuduh salah laku terhadap beliau, iaitu Tun Mahathir. Sehingga bersetuju Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, asalkan beliau akan diberikan giliran sebagai Perdana Menteri ke-8 tidak lama sesudah itu.

Walhal Tun Mahathir tidak pernah meminta maaf daripada beliau.

Apabila Datuk Seri Mohamad Azmin Ali diserang oleh musuh politiknya di dalam PKR dengan video-video tidak senonoh, Anwar tidak bertegas dengan golongan itu dan tidak berada di sebelah Azmin dengan sepenuh hati seperti yang pernah dibuat Azmin untuk dirinya.

Hanya melayan Azmin seperti musuh politiknya sahaja.

Menguruskan ekonomi

Semasa krisis kewangan negara 1997-1998, Anwar sebagai Menteri Kewangan memilih strategi pemulihan ekonomi yang berbeza dengan Tun Mahathir.

Setelah krisis berakhir, ramai penganalisis berpandangan cara pemilihan ekonomi yang dibuat oleh Tun Mahathir adalah bersifat pemikiran di ‘luar kotak’. Ia dikaji oleh pelbagai institusi pengajian kewangan antarabangsa sehingga kini.

Strategi Anwar hanya sekadar bersifat di ‘dalam kotak’ dan telah pun termaktub dalam buku teks.

Jadi, sebenarnya tidak ada kebijaksanaan luar biasa Anwar dalam pengurusan ekonomi sebelum ini.

Kesimpulan 

Kita tak boleh nafikan Anwar adalah insan luar biasa dalam sejarah politik negara kita.

Namun sekarang beliau hanya seorang politikus populis, tidak lebih daripada itu. 

Beliau terlalu obses untuk menjadi Perdana Menteri, sehingga kita lihat banyak prinsip unggul beliau sebelum ini sudah sanggup dikompromi oleh beliau sendiri.

Jika anda mencari calon Perdana Menteri yang lebih baik daripada Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri – tetapi bukan Anwar – kita ada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diberi sokongan kuat oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Gandingan mereka berdua dalam PERIKATAN NASIONAL adalah tawaran terbaik untuk rakyat Malaysia. Jom undi PERIKATAN NASIONAL! 

ZAKARIA ISMAIL 
Marang
17 November 2022 – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -