Wan Fayhsal kuasai DUN Kemuning, Jazlan bakal tewas

- Advertisement -

ANTARA asbab utama menangnya Datuk Jazlan dalam pilihan raya 9 Mei 2018 adalah kuatnya undi ‘split’ atau dalam gelaran daerahnya dipanggil ‘undi kekeng’. Secara jelas dan nyata di DUN inilah Jazlan mengaut kekuatan sehingga dipilih sebagai Ahli Parlimen kali kedua berturut-turut.

- Advertisement -

Dalam aspek kesetiaan, orang di Unit Daerah Mengundi (UDM) Pangkal Changgong adalah yang paling tegar PAS. Mereka memilih parti Islam itu di DUN dan mengundi juga PAS bagi kerusi Parlimen. Inilah satu satunya UDM yang solid PAS. Tiada pilihan lain bagi mereka untuk memimpin negeri dan juga memecah tembok kekuasaan di Putrajaya.

Manakala UDM yang kuat BN adalah Bukit Tiu dan Kampung Bunut. Dua lokasi ini terbukti sebagai kubu kuat orang Umno dalam DUN Kemuning. Bukit Tiu sendiri adalah lokaliti rumah kediaman calon BN. Mereka mengundi BN bagi kerusi DUN dan memilih BN juga sebagai calon pilihan bagi kerusi Parlimen. Kuatnya mereka menyokong BN bukan semata-mata pada kertas undi, tetapi juga dengan kibaran dan gantungan pelbagai jenis serta saiz panji berlambang dacing dalam dua UDM tersebut. Biru memenuhi segenap penjuru pada PRU lalu.

Baki 10 lagi UDM memperlihatkan situasi ‘kekeng‘ yang mana semua, saya tulis sekali lagi, semua 10 UDM memilih PAS di kerusi DUN tetapi semua mereka memilih pula BN untuk kerusi Parlimen. UDM Sungai Hala, Kweng Hitam, Bandar Lama, Bandar Bharu, Ulu Sat, Banggol Judah, Bakar, Kemuning, Cherang Hangus dan Kampung Pek dengan jayanya membuat undi ‘kekeng’.

Rakyat di 10 UDM ini pada 2018 percaya dengan rayuan, pujukan dan mainan taktik kempen BN kononnya undilah PAS bagi kerusi ‘state’ tetapi berilah BN laluan ke Putrajaya. Orang PAS Machang dan banyak juga di tempat lain, memang sebelum ini bermati-matian mahu mengekalkan Kelantan dengan pentadbiran Islam. Tetapi dalam masa yang sama, mereka kurang berminat atau kurang serius kepada angin perubahan yang berlaku di peringkat federal.

Tsunami rakyat khasnya yang berlaku di kawasan Pantai Barat Malaysia serta kawasan tengah Semenanjung yang disebut sebagai ‘The Malay Heartland‘ telah membawa kepada kejatuhan Umno Barisan Nasional. Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan di Selangor, merampas Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan banyak lagi negeri lain. Orang Machang akhirnya sedar, bahawa Umno BN mampu dikalahkan di Putrajaya. BN juga makhluk Allah yang lemah, ia ibarat gergasi tua penuh kudis dan berlumur noda yang akhirnya jatuh tersembam dek kuasa rakyat.

Pengundi kerusi P.029 Machang juga semakin celik. Rupanya wakil Umno yang mereka pilih ke Putrajaya, hanyalah seorang Ahli Dewan Rakyat yang berstatus pembangkang. Jazlan berada dalam blok musuh kepada PH. Pakatan Harapan mentadbir 22 bulan. Jazlan tiada fungsi dalam Kerajaan Persekutuan seperti sepatutnya yang orang Machang mahu.

Roda berputar, PH jatuh berganti dengan Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN). Jazlan kembali ke Blok Kerajaan namun tidak mendapat apa-apa posisi strategik dalam Kabinet Muhyiddin. Beliau hanya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang baharu, berkuat kuasa 8 April 2020 menggantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang telah berkhidmat sehingga 31 Mac 2020. Itupun tidak lama kerana Jazlan menarik sokongannya kepada Kerajaan PN pada 9 Januari 2021 dan meletakkan jawatan Pengerusi MPOB.

Orang Machang yang baru sahaja mahu ‘menumpang teduh’ Jazlan di bawah lembayung MPOB, merasa kecewa dan putus angin. Tempoh 10 bulan menjawat jawatan MPOB tidak memberi manfaat yang penuh kepada orang Machang.

FELCRA Berhad kemudiannya mengumumkan pelantikan Jazlan sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa 1 Oktober 2021. Sekali lagi rakyat Machang merasa terjerat dan tertipu. Apalah sangat jasa dan kebaikan yang mereka perolehi sepanjang Ahli Parlimen yang mereka pilih mengetuai FELCRA. Setahun berlalu tanpa banyak manfaat dan kini Parlimen telah dibubarkan.

Justeru, undi ‘kekeng‘ mereka dahulu adalah sia-sia dan tiada faedah. 22 bulan pertama PH memerintah, Jazlan hanyalah Ahli Parlimen Pembangkang, 17 bulan kemudian pada zaman Muhyiddin, Jazlan adalah pengerusi MPOB dan baki 14 bulan terakhir dalam penggal ini Jazlan menjadi Pengerusi FELCRA. Orang Machang khasnya di DUN Kemuning itu sendiri telah menilai dengan baik apakah fungsi Ahli Parlimen yang mereka pilih dalam penggal ini.

Pengundi DUN Kemuning yang telah memilih Jazlan di dua belas UDM merasa kecewa. Sebab itulah rata-rata mereka mulai kembali membuka pos-pos PAS di setiap ceruk dalam DUN Kemuning. Program ‘bbakar ayam’ dan jamuan laksa untuk majlis perkenalan Wan Fayhsal bersambut meriah di semua lokaliti. 

Lebih menggemparkan apabila ramai orang Umno sendiri telah berpaling arah ataupun disebut ‘bbalik‘ kepada PAS dalam tempoh seminggu terakhir ini. Wan Fayhsal tidak menang tangan dan berkejar memenuhi jemputan harian dengan ramainya penyokong Umno yang telah menunjukkan sikap dan minat kepada PERIKATAN NASIONAL. Ada yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Fayhsal, menolak Jazlan dan ramai juga bertemu dalam gelap, secara sulit, namun menyatakan taat setia untuk menyokong calon muda ini. 

Orang Kemuning yang dahulu menjulang naik Jazlan bagi penggal kedua sebagai Ahli Parlimen, kini mereka juga akan tarik turun Jazlan. Wan Fayhsal adalah taruhan baharu warga Machang untuk benar-benar menjadi suara rakyat di Dewan Rakyat.

Kini tinggal kurang 48 jam lagi sebelum hasrat dan impian rakyat Machang diterjemah ke atas kertas undi. Cukuplah dahulu tulisan 15 point ini sempena PRU-15 yang akan kita laksanakan Sabtu nanti. Akidah perjuangan orang Machang makin kuat dan tidak tergugat. Apatah lagi dengan syarat terbaru SPR yang tidak membenarkan telefon bimbit dibawa masuk ke dewan mengundi. Adakah ‘wang-wang politik’ yang dihulurkan tidak lagi mampu menjerat rakyat kerana bukti ‘pangkah dacing’ sudah tidak mampu dirakam? Wallahualam.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -