Pengundi sedia lakar perubahan di parlimen Kuala Kedah

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Rakyat di peringkat akar umbi di Kuala Kedah meluahkan mereka sedia membuat perubahan selepas tiga penggal diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

- Advertisement -

Perkara itu diluahkan penduduk kampung kepada petugas pilihan raya PAS Kuala Kedah ketika kempen yang diadakan dari rumah ke rumah.

Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, peluang sekarang perlu direbut untuk bertukar pula kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),19 November ini.

“Selama tiga penggal berturut-turut parlimen Kuala Kedah diwakili PKR. Rasanya cukup-cukuplah dan biar kali ini beri sokongan kepada PN pula,” katanya ketika ditemui ketika gerak kerja kempen di sini.

Beliau yang juga calon parlimen berkenaan berkata, perubahan itu perlu diterjemahkan di kertas undi pada 19 November ini bagi memudahkan lagi urusan berkaitan pentadbiran tempatan.

Katanya, apabila wakil rakyat peringkat parlimen sama dengan parti yang menerajui kerajaan negeri lebih memudahkan lagi urusan pentadbiran.

Pada PRU kali ini Parlimen Kuala Kedah menyaksikan Dr Ahmad Fakhruddin akan berentap dengan penyandang Dr Azman Ismail (PH), Syed Araniri Syed Ahmad (Warisan), Ulya Aqamah Husamuddin (Pejuang) dan Dato’ Dr Mashitah Ibrahim (BN).

Dr Ahmad juga berkata, pengundi muda perlu lebih bijak memilih parti yang akan menerajui negara selepas PRU15.

“Kesilapan memilih parti bukan sahaja membawa padah untuk tempoh lima tahun tetapi kesan terhadap generasi muda.

“Kesedaran perlu dipupuk dan disemai betapa pentingnya memilih pemimpin. Andai terlepas ke tangan yang tidak bertangggungjawab negara akan hancur.

“Negara ini perlu diwarisi kepada generasi yang ada kesedaran terhadap agama dan mempunyai keperibadian yang luhur,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi mengimbau kembali apa yang berlaku terhadap hak orang Islam dan Melayu ketika negara ditadbir PH selama 22 bulan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 6/11/2022

- Advertisement -