PRU15: Parti terbuka letak calon ‘boleh menang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon yang dipertandingkan pakatan parti bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih bersifat terbuka dan ‘boleh menang’.

- Advertisement -

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi, berkata situasi itu dinilai berdasarkan pencalonan bekas calon daripada parti lain yang sebelum ini menang, dicalonkan.

“Contohnya apabila Barisan Nasional (BN) sendiri mempertaruhkan bekas daripada calon PAS sendiri, iaitu Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Datuk Che Abdullah Mat Nawi di Kelantan.

“Calon yang dahulu menang dalam PAS, kemudian tidak diberikan pencalonan dalam PAS, akhirnya mereka diberikan pencalonan dalam BN.

“Ini menunjukkan parti-parti yang terlibat pada PRU kali ini terbuka untuk menerima bekas calon daripada mana-mana parti untuk bersama dengan pakatan mereka,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Lebih banyak calon muda

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM itu turut berpandangan calon yang dipilih kebanyakan parti ini, kebanyakan adalah calon muda.

Katanya, banyak calon muda ditandingkan berkemungkinan ingin menarik Undi 18 atau pengundi pertama kali serta mewakili suara anak muda.

Beliau juga melihat calon yang dikemukakan parti lebih bersifat penerimaan rakyat kepada calon, bukan terhadap parti lagi.

“Keterbukaan melibatkan semua pakatan apabila melihat kepada corak penerimaan rakyat tidak memilih kepada pakatan, tetapi memilih kepada calon-calon itu.

“Jadi, calon-calon yang terlibat itu adalah calon terbaik bagi mereka. Justeru, saya rasa untuk kali ini, pemilih akan lebih bijak untuk lebih memilih kepada calon, bukan kepada pakatan politik,” katanya.

Pakatan untuk kekalkan sokongan akar umbi

Menurut Dr Mohd Syakir lagi, empat pakatan besar, iaitu Perikatan Nasional, BN, Pakatan Harapan dan Gerakan Tanah Air, lebih bersifat kepada strategi untuk menarik sokongan akar umbi supaya kekal menyokong parti masing-masing.

“Siapa yang mempunyai akar umbi kuat, ia akan lebih memihak kepada pakatan-pakatan tertentu. Itu antara pandangan saya tentang strategi politik PRU kali ini,” katanya.

Sementara itu, bagi pengundi atas pagar pula katanya, mereka lebih memilih calon yang mampu bekerja di Parlimen.

Katanya, pengundi atas pagar tidak akan memilih calon yang banyak membuat onar di Parlimen contohnya lompat parti atau gagal menjalankan tugas dalam kabinet kerajaan.

Lebih 3 penjuru

Tambah beliau, perlawanan melebihi tiga penjuru di kebanyakan tempat merupakan satu proses demokrasi yang baik tetapi ia mempunyai kekurangan tersendiri setelah kerajaan dibentuk.

“Contohnya di Indonesia, ada banyak parti, tetapi kekurangannya adalah nanti akan banyak parti yang duduk dalam Parlimen.

“Kalau dari sudut demokrasi, memang agak terbuka, baguslah. Tetapi dari sudut kekuatan kestabilan politik, itu yang perlu dipersoalkan.

“Sebab kita sudah lihat, dari sudut kestabilan politik, apabila berlakunya pakatan yang bergabung, kemudian.. (tidak mendapat sokongan majoriti),” ujarnya.

Katanya, situasi itu boleh dilihat dengan situasi politik selepas pilihan raya umum lalu, iaitu PRU14 sehingga Malaysia mempunyai tiga Perdana Menteri ketika itu.

“Ini bermakna kepelbagaian pakatan itu menyebabkan ketidakstabilan politik dan kesannya kepada ketidakstabilkan ekonomi,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 4/11/2022

- Advertisement -